Selesaikan post mortem
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD
HIDZIR
pengarang@utusan.com.my
Rashid Sidek
KUALA LUMPUR - Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) sewajarnya menunggu laporan daripada Rashid Sidek dan
mengadakan post mortem berhubung prestasi pemain di Sukan Komanwel XX di
Glasgow sebelum menyalahkan mana-mana pihak mengenai kegagalan pemain perseorangan
negara membawa pulang pingat emas.
Bekas pemain perseorangan
negara, Roslin Hashim berkata, langkah itu merupakan pendekatan terbaik untuk
mengakhiri episod pergeseran yang berlaku di antara ketua jurulatih
perseorangan Rashid dan Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang
dilihat hanya akan menyukarkan kem badminton negara sekiranya tidak ditangani
segera.
Katanya, pergeseran yang
berlaku pada waktu ini menyaksikan hanya Rashid seorang menjadi mangsa atas
kegagalan skuad badminton mempertahankan pingat emas dalam acara perseorangan
lelaki sedangkan pihak persatuan masih belum mendapatkan laporan dan mengadakan
pertemuan dengan jurulatih itu.
"Kebiasaannya selepas
tamat sesebuah kejohanan, pihak persatuan akan mengadakan post morterm bagi
mengesan punca masalah dan mencari jalan penyelesaian terbaik sebagai
persediaan untuk kejohanan akan datang.
"Apa yang saya lihat di
sini, hanya Rashid menjadi mangsa sedangkan saya percaya dia masih belum sempat
untuk mengemukakan laporan penuh atau masih belum sempat untuk membuat laporan
penuh berhubung prestasi pemain yang menyertai Sukan Komanwel kerana baru balik
dari sana.
"Saya melihat perkara ini
semakin cenderung ke arah isu peribadi, bukan lagi melibatkan kerjaya
profesional. Sekiranya persatuan merasakan kegagalan itu berpunca daripada
Rashid 100 peratus, singkirkan dia kalau berani dan perkara akan selesai,"
kata bekas pemain nombor satu dunia itu ketika dihubungi Utusan Malaysia
semalam.
Kegagalan Malaysia mengekalkan
penguasaan selama 24 tahun dalam acara perseorangan lelaki Sukan Komanwel di
Glasgow baru-baru ini menyebabkan Rashid menjadi mangsa kritikan Tengku
Mahaleel.
Pemenang pingat gangsa Olimpik
1996 itu juga tidak dipanggil bagi membincangkan perancangan badminton negara
untuk menghadapi Kejohanan Dunia, Sukan Asia dan Olimpik 2016.
Difahamkan pergeseran antara
Rashid dan Presiden BAM sudah bermula sebelum Sukan Komanwel apabila Tengku
Mahaleel dikatakan enggan menghantar Rashid menemani pemain di Glasgow tetapi
akibat kesuntukan masa, jurulatih itu dibenarkan menyertai skuad negara.
Keadaan semakin tegang selepas
perseorangan negara, Liew Daren gagal beraksi baik, sekali gus memusnahkan
impian negara untuk mempertahankan emas yang dikuasai dalam acara itu sejak
1990.
Seorang lagi pemain negara,
Chong Wei Feng turut tersingkir di suku akhir.
Rashid kelmarin tidak menolak
kemungkinan akan mengikut jejak langkah abangnya, Datuk Misbun untuk
meninggalkan skuad badminton negara jika berasakan khidmatnya tidak diperlukan
lagi.
Roslin berkata, segala
permasalahan itu berpunca daripada Tengku Mahaleel sendiri yang terus menuding
jari menyalahkan Rashid sejurus skuad badminton negara pulang dari Glasgow
tanpa mengadakan sebarang pertemuan dengan jurulatih itu.
Katanya, pergeseran itu perlu
diselesaikan segera kerana ia secara tidak langsung bakal menjejaskan
persediaan skuad kebangsaan untuk berdepan cabaran Kejohanan Badminton Dunia
dan Sukan Asia di Incheon selepas ini.
"Insiden seperti ini tidak
perlu diperbesarkan dan sewajarnya diselesaikan di peringkat dalaman kerana
episod tuding menuding jari ini tidak akan selesai kerana apabila satu pihak
bersuara, satu lagi akan bertindak mempertahankan diri," katanya.
Sumber-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140810/su_01/Selesaikan-ipost-mortemi#ixzz3A4aQEd7v
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment