Ad

Tuesday, 19 August 2014

'4 perlawanan tak cukup lagi'

 Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Jordan, Syria, Vietnam dan Indonesia sudah sah akan menguji Harimau Malaya dalam siri aksi persahabatan namun Dollah Salleh merasakan empat perlawanan itu jauh daripada mencukupi dalam perancangannya memantapkan pasukan.

Sehubungan itu Dollah berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar mendapatkan lagi beberapa perlawanan untuk Harimau Malaya mengasah taring dan kuku mereka sebelum Kejohanan AFF bermula 23 November depan.

Katanya, skuadnya memerlukan sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan pada September walaupun turut berdepan dengan dilema kerana Sukan Asia 2014 di Incheon bulan depan akan menyebabkan dia kehilangan beberapa pemain.

Tugas mendapatkan lagi perlawanan persahabatan itu dilihat cukup penting kepada Dollah yang berkata, dia tiada pilihan lain kerana hanya memiliki masa tiga bulan untuk memastikan anak-anak buahnya dapat menyerap corak latihan serta taktikalnya.

"Kalau diikutkan, mana cukup lagi aksi persahabatan yang saya mahukan walaupun saya sudah dapat empat perlawanan setakat ini iaitu Jordan, Syria, Vietnam dan Indonesia. Saya masih memerlukan lagi perlawanan supaya pemain betul-betul dapat serasi dengan corak taktikal yang saya mahu bawa.

"Sebagai contoh pada bulan September, saya mahukan sekurang-kurangnya tiga perlawanan namun sekarang saya baharu dapat satu iaitu berdepan Indonesia pada 14 September.

"Itupun mereka pada mulanya mahukan perlawanan pada 9 September tetapi terpaksa ditolak kerana kami hanya ada beberapa hari untuk mengadakan latihan pusat kerana semua pemain akan mula berkumpul pada 4 September.

"Selain itu, saya kena tengok juga Sukan Asia yang akan diadakan pada 19 September dan sudah tentu saya akan kehilangan beberapa pemain dengan Mohd. Fadhli Shas memang pasti akan berada dalam pasukan selain tiga pemain senior lain. Ini akan menyebabkan perancangan saya serba sedikit terjejas namun saya tiada pilihan.

"Saya dan pihak pengurusan akan terus bekerja keras lagi mendapatkan beberapa lagi perlawanan persahabatan sebelum Piala AFF bermula terutama pada bulan September," katanya ketika dihubungi semalam.

Selepas berjumpa Indonesia pada 14 September, Harimau Malaya dijadualkan akan berdepan Jordan pada 11 Oktober diikuti Syria (11 November) dan Vietnam (16 November).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin kelmarin mengesahkan perlawanan dengan New Zealand yang dijadualkan pada 18 November telah dibatalkan.

Menyentuh kegagalan mengadakan aksi persahabatan dengan New Zealand yang menduduki ranking 98 dunia, Dollah berkata, dia tidak berasa terlalu kecewa namun keputusan itu terpaksa diambil demi kepentingan Harimau Malaya yang akan memulakan kempen dalam Kejohanan AFF lima hari kemudian.
SUMBER-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140819/su_02/4-perlawanan-tak-cukup-lagi#ixzz3Ap6opUid © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment