Oleh ABDUL YAZID ALIAS,
ZULKIFLI SAINUDDIN dan FAZRINA AYU RADUIAN
pengarang@utusan.com.my
Abdul Khalid Ibrahim mengadakan
sidang media khas di pejabatnya selepas menghadap Sultan Selangor di Istana
Alam Shah Klang, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM 11 Ogos - Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim untuk terus kekal sebagai Menteri Besar walaupun telah dipecat
keahliannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sabtu lalu.
Perkenan baginda itu diumumkan
sendiri oleh Abdul Khalid dalam sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan
(SUK) di sini hari ini selepas Dewan Diraja Selangor mengadakan mesyuarat
hampir empat jam di Istana Alam Shah, Klang bagi membincangkan kedudukan
jawatan Menteri Besar Selangor.
Menurut Abdul Khalid, dalam
mesyuarat itu, Sultan Selangor berpuas hati dengan penjelasan beliau ketika
menghadap baginda mengenai statusnya yang ketika ini masih lagi memperoleh
kepercayaan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) walaupun
menjadi wakil rakyat Bebas.
"Duli Yang Maha Mulia
Tuanku (Sultan Selangor) telah bertanyakan sama ada saya masih lagi memperoleh
kepercayaan majoriti ADUN. Saya telah menjelaskan (kepada baginda) di sebalik
pemecatan saya sebagai ahli PKR, saya masih memperoleh kepercayaan majoriti
ADUN.
"Sehubungan itu, baginda
berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan dan baginda selanjutnya
telah memperkenankan untuk saya terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar
Selangor.
"Maka, sehingga ada
perkembangan terbaharu, saya masih kekal sebagai Menteri Besar dan menjalankan
tugas seperti biasa," katanya.
Ditanya mengenai status barisan
ahli susulan daripada keputusan hari ini, Abdul Khalid memberitahu, berdasarkan
Artikel 53(2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, beliau berhak
menasihati baginda untuk melantik sekurang-kurangnya empat atau tidak lebih
daripada 10 orang ADUN sebagai exco.
Buat masa ini jelas Abdul
Khalid, empat exco kerajaan negeri daripada Pas sedia ada telah mengumumkan
menerusi media menyokong kepemimpinan beliau sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun, beliau sedia
mengkaji semula kedudukan enam lagi ahli exco iaitu masing-masing tiga daripada
PKR dan DAP.
"Untuk menjalankan
pentadbiran negeri dan mesyuarat exco, sekurang-kurangnya perlu ada empat
anggota exco. Buat masa ini empat ahli exco daripada Pas bersama-sama dalam
kerajaan negeri di bawah kepemimpinan saya. Oleh itu saya boleh teruskan
mengadakan mesyuarat exco.
"Sekiranya ada perubahan
anggota exco, saya akan cadangkannya kepada Sultan Selangor, namun buat masa
ini, saya akan jumpa setiap daripada mereka terlebih dahulu untuk mengetahui
sama ada mereka menyokong saya atau tidak.
"Sekiranya mereka
merasakan tiada lagi kepercayaan terhadap saya sebagai Menteri Besar, adalah
lebih baik mereka tidak lagi menjadi exco," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Abdul Khalid
ketika ditanya sama ada beliau mengadakan perbincangan dengan Sultan Selangor
mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau menjelaskan, perkara
tersebut tidak dibangkitkan.
Malah katanya, baginda juga
tidak menerima apa-apa laporan setakat ini mengenai usul undi tidak percaya
terhadapnya.
"Untuk undi tidak percaya
terhadap saya, proses mengikut tatacara undang-undang perlu dilakukan iaitu
mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika ADUN memutuskan tiada majoriti
sokongan terhadap saya, saya perlu membawa keputusan tersebut kepada Sultan
Selangor dan saya nasihatkan baginda mengenai apa-apa perkara yang perlu dibuat
pada masa itu. Mengenai pembubaran DUN, siapa sebenarnya yang inginkan perkara
itu dilakukan, bukan saya," ujarnya.
Sumber-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140812/po_01/Sultan-perkenan-Khalid-jadi-MB#ixzz3AAhuuFoV
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment