Oleh Aziman Rosdi
Kuala Lumpur: Skuad Harimau
Malaya perlu berdepan dua pasukan finalis Piala AFF dua tahun lalu, Singapura
dan Thailand di pusingan awal selepas undian semalam tidak memberi laluan mudah
kepada anak buah Dollah Salleh yang memburu misi ke final kali ini.
Dalam undian di Hanoi, Vietnam
semalam, Malaysia selaku juara 2010 berada dalam kumpulan maut apabila bakal
berdepan pasukan yang memiliki rekod hebat iaitu juara bertahan Singapura dan
Thailand selain pasukan juara pusingan kelayakan bagi saingan Kumpulan B yang
akan bermula pada 22 November.
Singapura tuan rumah Kumpulan
B, merangkul gelaran keempat dua tahun lalu dengan mengalahkan juara tiga kali
Thailand menerusi agregat 3-2 dan rekod pertemuan Malaysia dengan dua pasukan
finalis itu pada edisi terakhir, agak mengecewakan.Skuad kebangsaan yang ketika
itu dibimbing Datuk K Rajagobal tewas kepada Singapura 0-3 pada saingan
peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan kemudian kecundang
kepada Thailand pada separuh akhir dengan agregat 1-3.
Bagaimanapun penolong pengurus
Harimau Malaya Datuk Hamidin Mohd Amin yang hadir pada majlis undian itu tetap
yakin skuad kendalian Dollah mampu melepasi halangan pusingan awal dengan
menjadi dua pasukan terbaik peringkat kumpulan.“Dengan semangat jitu, saya
yakin pasukan kita akan mencapai tahap tinggi untuk mencapai kecemerlangan.
Usaha keras kena bermula dari sekarang bagi memastikan pasukan kita berada di
kemuncak prestasi pada November dan Disember ini,” katanya ketika dihubungi di
Hanoi semalam.
Dengan nada positif, beliau
yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap skuad
kebangsaan mendapat kelebihan beraksi dalam Kumpulan B di Stadium Nasional
Singapura berbanding bermain di Hanoi menentang Vietnam, Filipina, Indonesia
dan naib juara pusingan kelayakan dalam Kumpulan A.
“Kita memang berharap dapat
bermain di Singapura kerana boleh menggerakkan lebih ramai penyokong untuk
memberikan sokongan padu kepada pasukan kebangsaan bagi saingan peringkat
kumpulan di sana.
“Walaupun Singapura dan
Thailand bekas juara, kita perlu pandai menggunakan kelebihan apabila bermain
di Singapura nanti,” kata Hamidin.Selain Singapura dan Thailand, Malaysia juga
perlu berwaspada dengan ancaman satu lagi pasukan dari pusingan kelayakan bagi
melengkapkan persaingan empat penjuru dalam Kumpulan B.
Saingan peringkat kumpulan akan
bermula 22 hingga 29 November ini sebelum aksi timbal balik separuh akhir pada
6 hingga 11 Disember dan kemuncak pada 17 dan 20 Disember.
SUMBER-
Artikel ini disiarkan MYMETROpada
: 2014/08/06
No comments:
Post a Comment