Ad

Monday, 25 August 2014

Gandingan Rashid, Chong Wei ada 'ramuan Merdeka'

Oleh V Ashok
asokan@bh.com.my

'Detik terakhir' hadir secara kebetulan untuk dua personaliti badminton negara - Datuk Lee Chong Wei dan Rashid Sidek di Kejohanan Dunia di Copenhagen.

Rashid yang difahamkan bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), akhir tahun ini mahu membantu Chong Wei menjadi juara kerana beranggapan ia sebagai peluang terakhir untuk jaguh kebangsaan berbuat demikian tahun ini pada usia 32 tahun.

Kedua-dua adalah jaguh dalam acara perseorangan pada era berbeza tapi memiliki pencapaian hampir sama, termasuk menjadi pemain nombor satu dunia - cuma Chong Wei dapat bertahan lebih lama, iaitu sejak 21 Ogos 2008.

Kedua-dua ikon ini juga memenangi pingat di Sukan Olimpik (Rashid menang gangsa pada 1996 di Atlanta dan Chong Wei menang perak dua kali di Beijing 2008 dan London 2012).

Pengalaman dan kejayaan diterokai harus membantu mereka membentuk gandingan baik di Denmark kerana satu bertindak sebagai pemain harapan negara dan satu lagi jurulatih yang tenang dan penuh karisme.

Mungkin sentuhan Rashid kali ini boleh memberi penyudahan terbaik buat Chong Wei dalam acara perseorangan di kejohanan elit yang bermula di Ballerup Super Arena, hari ini, tambahan pula tanpa kelibat Lin Dan - musuh tradisinya yang sentiasa menjadi penghalang pada kejohanan utama.

Tanpa mahu memperkecilkan kemampuan dua lagi jurulatih - Tey Seu Bock dan Hendrawan - hakikatnya Rashid pernah beraksi di pentas terbesar dan pernah menang pingat. Cuma dia gagal emas di Olimpik, Sukan Asia atau kejohanan dunia.

Ini boleh menjadi satu faktor utama untuknya tampil mengapikan cabaran Chong Wei memburu sebutir emas dalam Kejohanan Dunia 2014, akhirnya. Rashid juga mahu berundur dari BAM dengan satu rekod iaitu membantu pemain negara menang kejuaraan dunia dan membuktikan 'gelora Glasgow' bukan ciptaannya.

Kita harap Rashid akan disuntik satu semangat baru di Copenhagen untuk pulang dengan kejayaan terbesar dalam kerjayanya selaku jurulatih iaitu gelaran untuk Chong Wei. Jika berjaya dalam misi ini kita harus anggap mereka berdua adalah wira negara.

Chen Long turut beraksi dan seperti Chong Wei dia juga tertekan kerana menggalas tanggungjawab besar tanpa Lin Dan kali ini. Keyakinan dan fokus pemain tinggi lampai dari China ini juga dikatakan terjejas selepas Piala Thomas.

Ada pihak dalam pasukan menyalahkan dia sebagai punca kenapa pasukan negara itu gagal menjadi juara di New Delhi.

Namun, Rashid harus tahu pemain seperti Chen Long 'tidak akan tidur lama' kerana dia umpama naga yang akan kembali garang menebus duka. Ini satu amaran juga untuk Chong Wei tapi apa yang lebih penting pemain negara kita harus memberi tumpuan kepada setiap halangan dulu dan bukan Chen Long.

Di sini, Rashid ada peranan besar mengawal emosi anak didiknya dan jika kedua-dua personaliti dapat membentuk gandingan padu, ada sinaran bakal memancar di Copenhagen pada 31 Ogos ini. Kebetulan ia menyusul ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan yang bermakna.

Selamat berjaya!

Sumber-Berita Harian Online 25.8.14

No comments:

Post a Comment