Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI dan ZAAIN ZIN
sukan@utusan.com.my
Penyerang JDT, Amri Yahyah meraikan jaringan ketiga
pasukannya bersama Jorge Pereyra Diaz pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium
Larkin, Johor Bahru, malam tadi. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Advertisement
KUALA LUMPUR - Johor Darul Ta'zim (JDT) memenuhi reputasi
sebagai calon juara Piala Malaysia apabila hanya selangkah lagi untuk
menghampiri suku akhir selepas membelasah Pulau Pinang 5-0 di Stadium Tan Sri
Hassan Yunos, Larkin semalam, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai
pendahulu Kumpulan C.
JDT mampu menjadi pasukan pertama mengesahkan tiket ke
suku akhir seandainya Kelantan berjaya menumpaskan ATM dalam satu lagi
perlawanan Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, malangnya dua gol pada 12
minit terakhir permainan membolehkan The Gladiators mengejutkan The Red
Warriors 2-1.
Turun bersama reputasi selaku juara Liga Super, JDT tidak
menunggu lama untuk membuka jaringan selepas serangan pantas mereka berjaya
menghasilkan gol seawal minit kedua apabila Jorge Pereyra Diaz memperdaya
penjaga gol, G. Jeevananthan.
Gol kedua tuan rumah hadir melalui sepakan penalti yang
disempurnakan Luciano Figueroa pada minit ke-28 setelah Diaz dijatuhkan di
kotak penalti.
Amri Yahyah menjadikan kedudukan 3-0 selepas
menyempurnakan hantaran Diaz pada minit ke-37.
JDT terus mengganas sebaik saja babak kedua bersambung
sekali lagi menerusi sepakan penalti apabila Figueroa dijatuhkan penjaga gol
lawan.
Pemain import dari Argentina itu tiada masalah untuk
menyempurnakan gol keempat tuan rumah pada minit ke-54 selepas tendangannya
gagal ditampan kemas Jeevananthan.
Hariss Harun yang masuk menggantikan Figueroa pada minit
ke-70 turut mencetak nama sebagai penjaring menerusi tandukan di minit ke-83
hasil hantaran Amri.
Sementara itu di Kota Bharu, The Gladiators menghukum
kealpaan tuan rumah di penghujung permainan apabila mencipta dua jaringan
menerusi tonggak import, Juan Arostegui pada minit ke-78 dan pemain veteran,
Hairuddin Omar, empat minit sebelum tamat perlawanan.
Beraksi di atas permukaan padang yang basah, tuan rumah
terlebih dulu membuka jaringan menerusi Forkey Doe pada minit ke-43.
Begitupun kegagalan mempertahankan gawang ketika
permainan hampir tamat menyebabkan Kelantan terpaksa akur mengalami kekalahan
kedua dalam Kumpulan C.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140827/su_01/Harimau-Selatan-mengganas#ixzz3BXy17yHH
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment