Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my
KIM SWEE (dua dari kanan) dan
skuad kendaliannya bakal menghadapi tugas mencabar pada temasya Sukan Asia 2014
di Incheon, Korea Selatan bulan depan. - Gambar hiasan
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin Abu Bakar menganggap sasaran suku akhir yang ditetapkan oleh Majlis
Olimpik Malaysia (MOM) kepada skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) negara pada
Sukan Asia 2014 adalah realistik.
Menurut Khairy, sasaran tinggi
yang diletakkan MOM itu merupakan isyarat agar skuad kendalian Datuk Ong Kim
Swee tidak terus berada pada zon selesa dengan pencapaian sekadar menyertai
kejohanan tanpa sebarang kejayaan.
"Saya rasa (sasaran) suku
akhir yang diletakkan oleh MOM itu adil. Takkan selama-lamanya pasukan bola
sepak kita (yang beraksi) pada Sukan Asia sekadar berpuas hati di peringkat
pusingan awal.
"Kalau kita tidak letak
sasaran tinggi, pasukan bola sepak akan terus berpuas hati dengan sekadar
menyertai kejohanan saja," katanya di Kota Bharu semalam.
Skuad B-23 negara yang
bertanding atas tiket kategori B pada Sukan Asia kali ini, harus melayakkan
diri sekurang-kurangnya ke suku akhir jika mahu perbelanjaan mereka ke Incheon,
Korea Selatan ditanggung sepenuhnya oleh MOM.
Khairy menambah, sasaran tinggi
itu juga akan diletakkan kepada persatuan-persatuan sukan lain agar memberi
motivasi kepada mereka mencapai kejayaan di pentas Sukan Asia.
"Sasaran ini mungkin lebih
tinggi. Ini perubahan dan satu harapan baharu akibat daripada apa yang berlaku
pada Sukan Komanwel, Scotland baru-baru ini," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan,
Khairy berkata, langkah MOM menggugurkan enam acara sukan yang dilihat tidak
berpontensi mempamerkan kecemerlangan pada temasya Sukan Asia kali ini adalah
tepat.
"Pemilihan sukan dan
kontinjen ini perlu diperketatkan. Lebih baik hantar mereka (atlet) yang ada
peluang menang atau mendapat faedah pendedahan daripada sukan yang tidak
menunjukkan pretasi baik," katanya.
Rabu lalu, MOM mengambil
langkah drastik dengan menggugurkan seramai 128 atlet yang dicalonkan oleh
persatuan sukan masing-masing untuk menyertai Sukan Asia ke-17 kali ini.
Tindakan MOM itu menyaksikan
Malaysia kini menghantar kontinjen seramai 263 atlet dan 102 pegawai dalam 24
jenis sukan berbanding senarai asal iaitu 391 atlet dan 139 pegawai dalam 29
jenis sukan.
Selain itu, lima sukan
digugurkan iaitu kanu, lawan pedang, golf, tenis dan triatlon manakala satu
disiplin yang menerima nasib sama adalah acara berbasikal lebuh raya.
Kriteria pemilihan yang ketat
itu dilaksanakan oleh MOM berikutan kegagalan kontinjen Malaysia mencapai
sasaran tujuh pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.
KOSMO ONLINE 1.8.14
No comments:
Post a Comment