Ad

Friday, 13 February 2015

Larangan menyambut Hari Kekasih

Larangan menyambut Hari Kekasih-Oleh MAHFUZ MOHAMAD
mahfuz.mohamad@kosmo.com.my

ISLAM melarang umatnya meraikan Hari Kekasih kerana mengangkat tokoh agama lain. – Gambar hiasan

BERKASIH sayang amat dituntut dalam ajaran Islam bagi mengeratkan hubungan antara ahli keluarga khasnya dan masyarakat umumnya.

Bagaimanapun, menurut ajaran Islam, tiada batas waktu mahupun hari-hari tertentu yang diperuntukkan untuk berkasih sayang, malah ia patut dipupuk sepanjang masa mengikut garis panduan yang ditetapkan syarak.

Tarikh 14 Februari setiap tahun diketahui ramai sebagai hari memperingati kekasih atau Valentine yang sinonim dengan masyarakat Kristian.

Amalan pada hari tersebut dilihat mempunyai unsur-unsur yang bercampur dengan perbuatan maksiat serta bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Justeru, Islam melarang umatnya untuk meraikan sambutan tersebut selain ia mempunyai elemen memperingati dan mengangkat tokoh agama lain.

Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata, terdapat pelbagai versi asal usul timbulnya perayaan itu.

Antaranya ialah berkisar mengenai perjuangan seorang pendeta Kristian yang dihukum bunuh kerana mengahwinkan pasangan kekasih sambil menyebarkan agama Kristian.

Merosakkan

“Apabila menyebut Hari Kekasih, sudah tentu yang menyambutnya terdiri daripada golongan muda-mudi yang masih belum bernikah dan sedang hangat bercinta.

“Kebiasaannya apabila berdua-duaan mereka akan terdorong melakukan maksiat.

“Gejala tidak bermoral tersebut jika tidak dibendung boleh merosakkan generasi umat Islam akan datang. Disebabkan perkara seperti itu, maka tidak ada kewajaran untuk menyambutnya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Selain itu, sambutan tersebut juga tidak wajar diraikan oleh umat Islam kerana ia dikatakan meraikan kekalahan tentera Islam oleh pihak Rom.

“Mengapa kita sebagai umat Islam perlu menyambut perayaan yang meraikan kejatuhan kerajaan Islam? Ia seolah-olah kita bergembira dengan kekalahan tersebut.

“Perkara ini adalah tidak patut dan tidak wajar kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip agama Islam,” ujarnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.” - Riwayat Abu Daud.

Baginda juga bersabda: “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.” - Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Menzahirkan perasaan kasih sayang antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tidak harus dilakukan secara berlebihan seperti keluar berdua-duaan kerana ia boleh mendorong kepada maksiat.

“Perkara seperti ini harus dielakkan bagi mencegah lahirnya anak luar nikah kerana statistik kelahiran anak luar nikah kini sudah mencapai empat orang setiap satu jam,” jelasnya.

Membantu isteri

Sementara itu, pasangan suami isteri yang berhasrat menyambut Hari Kekasih atas alasan sudah berkahwin dan halal untuk melakukan hubungan intim dan sebagainya dinasihatkan supaya tidak meneruskan niat mereka.

“Tiada kepentingan bagi pasangan suami isteri untuk meraikan cinta mereka pada hari tersebut kerana dari sudut amalannya ia tidak munasabah melainkan kebetulan pada tarikh tersebut merupakan ulang tahun perkahwinan atau sekadar ingin mengisi masa lapang pada hujung minggu.

“Saya ingin tegaskan, pasangan muslim yang sudah berkahwin tidak perlu menyambut Hari Kekasih kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam,” terangnya.

Mohammad Nidzam memberitahu, berkasih sayang antara pasangan suami isteri seharusnya tidak memerlukan waktu tertentu untuk dizahirkan sebaliknya perlu dipupuk setiap masa seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Cara menzahirkan rasa kasih sayang Rasulullah SAW antaranya adalah dengan membantu isteri baginda membuat kerja rumah, memanggil pasangan dengan kata-kata mesra dan berjalan berpegangan tangan antara satu sama lain.

Daripada Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Saling memberikan hadiah di antara kamu nescaya kamu akan berkasih sayang.”

“Salah satu cara untuk mendapatkan kasih sayang adalah dengan memberikan hadiah kepada orang yang disayangi seperti suami, isteri, anak, adik, kakak atau ahli keluarga yang lain.

“Pemberian tersebut tidak terbatas kepada ahli keluarga sahaja malah kepada sesiapa sahaja kerana ia juga merupakan sebahagian daripada bentuk sedekah,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3Rd7GRaHp Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment