17 Februari 2015 1:36 AM
KUALA LUMPUR – Pertembungan
antara dua gergasi Liga Super, Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang
dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Shah Alam besar kemungkinan
bakal diawalkan sehari.
Afandi Hamzah
Bagaimanapun, semuanya
bergantung kepada persetujuan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terhadap
rayuan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang menjadikan faktor jadual
perlawanan Piala AFC yang bermula 24 Februari ini sebagai punca mereka mahu
aksi itu diadakan pada Jumaat.
Bukan sekadar JDT, pasukan
Pahang yang turut bersaing dalam Piala AFC juga berdepan dilema yang sama
apabila mereka mahu aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur pada
1 Mac dilewatkan beberapa hari agar mereka mendapat rehat secukupnya sebelum
berdepan JDT.
Ujar Pengerusi Jawatankuasa
Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Seri Afandi Hamzah, mereka ada menerima
surat daripada JDT pada lewat petang semalam dan pihaknya akan meneliti dengan
lebih mendalam asas yang dikemukakan selain menunggu maklum balas FAS.
“JDT ada mengemukakan
permohonan agar aksi dengan Selangor pada Sabtu ini diawal sehari iaitu Jumaat
(20 Februari) kerana pada 24 Februari, mereka akan buka cabaran dalam Piala AFC
di tempat sendiri menentang East Bengal.
“Mereka mahu mendapat rehat
yang cukup sekurang-kurangnya tiga hari namun dalam hal ini, JKPT tidak boleh
sewenang-wenangnya membuat keputusan sebaliknya kena dapat persetujuan daripada
FAS, surat ini juga telah diberi kepada mereka.
“Jika FAS tidak bersetuju, maka
kami FAM tidak boleh berbuat apa-apa atau terpaksa mencari titik pertemuan
antara kedua-dua pihak,” katanya semalam.
Berkenaan Pahang, Afandi
berkata, skuad Tok Gajah terpaksa bertandang ke Myanmar bertemu Yanadarbon pada
25 Februari dan hanya pulang ke tanah air, dua hari kemudian.
“Satu lagi wakil yang akan
bersaing dalam Piala AFC, Pahang juga berdepan masalah kerana terpaksa
bertandang ke tempat lawan iaitu di Myanmar.
“Beberapa hari kemudian, mereka perlu bersaing
dalam Piala FA bertemu JDT, jadi PBNP (Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang) ada
meminta perlawanan di Stadium Darul Makmur itu dilewatkan.
“Berdasarkan cadangan awal,
tarikh 3 Mac mungkin paling sesuai untuk perlawanan pusingan pertama Piala FA
antara Pahang dan JDT, namun perkara itu kena dibincangkan terlebih dahulu
sebelum diluluskan, “ katanya.
Sementara itu, FAS yang
dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan mereka belum mendapat sebarang surat
daripada FAM berkenaan permohonan JDT mahu aksi di Shah Alam dilangsungkan
Jumaat ini.
Penolong Pengurus Selangor,
Noor Hisham Mohd. Ghouth, berkata, dia terkejut mendapat perkhabaran itu,
malahan jurulatihnya, Mehmet Durakovic yang ditemui pada petang semalam di sesi
latihan, juga tidak mendapat maklumat tersebut.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/aksi-selangor-jdt-ditangguh-1.60453#sthash.t0Zh8qwp.dpuf
No comments:
Post a Comment