Ad

Friday, 20 February 2015

Helang Merah hormati T-Team

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my
BADDROL berada pada tahap terbaik dan bersedia diturunkan pada aksi menentang T-Team malam ini.

REPUTASI T-Team yang pernah berada di persada Liga Super musim lalu membuatkan Kedah lebih berhati-hati apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Penolong jurulatihnya, Nizam Adha Yusoff berkata, pasukannya tidak akan memberi laluan mudah kepada skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu yang pastinya akan berjuang habis-habisan berikutan kegagalan mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan Liga Premier musim ini.

Menurut Nizam Adha, dia dan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan tersebut memandangkan T-Team bukan sebuah pasukan yang boleh dipandang ringan.

“Kita hormat pasukan T-Team yang dibarisi ramai pemain berpengalaman, lagipun mereka pernah beraksi dalam Liga Super musim lalu.

“Bagaimanapun, pemain kita akan berjuang habis-habisan dalam perlawanan malam esok (hari ini) bagi mencari kemenangan, sekali gus mencerahkan laluan ke peringkat seterusnya.

“Kita yakin dengan kelebihan bermain di gelanggang sendiri serta sokongan padu para peminat skuad yang mendapat jolokan Helang Merah, impian memburu tiga mata akan tercapai,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Kenanga, Stadium Darul Aman semalam.

Tambah Nizam Adha, beliau gembira pasukannya kini bebas daripada sebarang masalah kecederaan, sekali gus mampu menurunkan kesebelasan terbaik dalam perlawanan itu nanti.

“Beberapa pemain utama dalam pasukan seperti Baddrol Bakhtiar, Mohd. Farhan Roslan dan Syazwan Zainon termasuk empat pemain import kita kini berada dalam kondisi terbaik dan bersedia diturunkan pada bila-bila masa.

“Kita mengharapkan gandingan mereka ini mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan sekali gus memastikan kemenangan pasukan akan tercapai,” katanya.

Sementara itu, Steinbruckner pula berkata, pasukannya turun dengan misi untuk meraih mata pertama selepas dikecewakan dalam dua perlawanan terdahulu.

“Kami bermain dengan baik dalam kedua-dua perlawanan menentang Selangor PKNS FC dan Pulau Pinang sebelum ini namun dikecewakan kerana kegagalan jentera serangan melakukan tindakan penyudah.

“Apa pun, kami akan mengatasi kelemahan ini dan yakin untuk mencatatkan sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan malam esok (malam ini),” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3SIecKxpK Hakcipta terpelihara


No comments:

Post a Comment