Ad

Sunday, 8 February 2015

Penantian Malaysia berakhir


Jinakkan Thailand untuk muncul juara Siri Super ISTAF
NURSURAYA ZULKIFLI  |  09 Februari 2015 12:57 AM
 
MELAKA - Selepas gagal dalam sembilan percubaan, Malaysia akhirnya merasai nikmat bergelar juara Kejohanan Sepak Takraw Siri Super ISTAF buat kali pertama apabila menjinakkan musuh tradisi, Thailand 2-0 dalam perlawanan akhir Pusi­ngan 2 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam.
Kemenangan itu bukan saja menghadiahkan kejuaraan pertama buat pasukan negara sejak kejohanan diperkenalkan pada 2011, malah membalas dendam terhadap kekalahan kepada Thailand dalam Siri Super ISTAF Pusingan 1 di Nay Phi Taw, Myanmark, November lalu.
Biarpun berdepan skuad utama lawan, namun anak-anak buah Abdul Talib Ahmad berjaya melenyapkan ego gergasi sepak takraw dunia itu.

Malaysia yang dibarisi kapten, Farhan Adam (pengumpan), Hanafiah Dollah (perejam) dan tekong, Syahir Rosdi menampilkan permainan mantap di set pertama apabila menang mudah 21-7.
Servis kencang Syahir yang mencecah 74 kilometer sejam menjadi kunci kemenangan pa­sukan negara, yang menjinakkan Thailand hanya dalam tempoh 50 minit.
Selepas gagal memberi tentangan sengit pada set pertama, Thailand terpaksa menukar strategi dengan memasukkan tekong, Siriwat Sakha untuk menggantikan Kritsanapong Nontakote bagi bergandingan dengan Panupong Petlue dan Thawisak Thongsai.
Perubahan itu bagaimanapun tidak menganggu rentak Malaysia walaupun diberi tentangan hebat oleh regu lawan yang meletakkan dua perejam.
Kedua-dua pasukan saling mengejar mata, namun pada akhirnya skuad negara menang 21-19.
“Pemain menunjukkan permainan sebenar. Ini yang saya katakan sebagai ‘berani mencuba’. Mereka berjaya mengeluarkan segala ilmu yang dipelajari.
“Saya beritahu pemain, Thailand bimbang dengan servis kita. Alhamdullillah... Melaka kini ada satu lagi sejarah untuk dibanggakan,” kata Abdul Talib.
Abdul Talib berkata, dia memasukkan Khairol Zaman di set kedua kerana melihat Thailand terlalu memfokuskan kepada hadangan sisi kiri. Khairol memiliki lompatan yang sangat tinggi.
Selepas 10 Siri Super ISTAF dipertandingkan, Thailand meraih lapan kejuaraan, manakala Thailand dan Korea Selatan berkongsi satu gelaran.
Malaysia tidak pernah menewaskan Thailand dalam kejohanan utama sejak kali terakhir meraih pingat emas pada Sukan SEA 2005.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/penantian-malaysia-berakhir-1.57513#sthash.o5QqtLlu.dpuf

No comments:

Post a Comment