Ad

Monday, 16 February 2015

Nazirul tak ‘lemas’

 

Kelana Jaya: Kapten skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Nazirul Naim Che Hashim percaya dia dan rakan sepasukan tidak lemas dengan pujian susulan kejayaan diraih baru-baru ini sebaliknya kekal fokus dengan misi sebenar kejohanan kelayakan AFC B-23 bulan depan.

Skuad kendalian Razip Ismail itu dijulang selepas merangkul Piala Emas Bangabandhu di Bangladesh 8 Februari lalu dan harapan lebih tinggi kini diletakkan di bahu pemain untuk merealisasikan misi utama pada kelayakan itu nanti.

Bagi Nazirul, 21, dia percaya kejayaan awal diraih itu tidak membuatkan mereka cepat ‘besar kepala’ kerana mereka masih berpijak di bumi nyata.

“Peringatan akan selalu diberikan jika ada pemain bersikap sedemikian, tapi saya yakin semua pemain tetap fokus dengan misi sebenar. Kejayaan di Bangladesh itu kami anggap hanyalah aksi persahabatan sebagai persiapan bagi pusingan kelayakan (AFC B-23) kerana itu sasaran utama kami,” katanya kepada Arena Metro.

Skuad B-22 berlepas ke Surabaya semalam bagi perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Indonesia Selasa ini sebelum dijadual bertemu skuad B-20 Fiji pada 23 Februari dan skuad B-23 Pakistan tiga hari selepas itu di Kuala Lumpur.

“Saya lihat peningkatan semangat berpasukan dalam kalangan pemain. Mereka tidak cepat mengalah dan memberikan komitmen lebih 100 peratus.

“Namun masih ada banyak perkara yang perlu diperbaiki, kami perlu kurangkan kesilapan mudah,” katanya.

Pemain kelahiran Perak itu pernah mengikat kontrak dengan kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu bersama seorang lagi bekas pemain Harimau Muda A Wan Zack Haikal pada 2003 selama hampir setahun sebelum kembali ke Malaysia.

Pada pusingan kelayakan AFC B-23 di Stadium Shah Alam, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan I bakal bertemu Vietnam pada 27 Mac, diikuti Macau (29 Mac) dan Jepun (31 Mac).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 7:20 AM

NAZIRUL harap rakan mampu pamer aksi kosisten pada kelayakan AFC B-23.

SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/31205#sthash.8u32JhQV.dpuf

No comments:

Post a Comment