MARLISSA MOHAMMAD KAMAL
3 Februari 2015
Onoda Onoda
BELIAU dikenali kerana sifat
taat setianya berjuang untuk maharaja Jepun dan menjadi tentera terakhir yang
bersembunyi di dalam sebuah hutan di Filipina walaupun Perang Dunia Kedua telah
tamat. Hiroo Onoda bersama tiga lagi rakan seperjuangannya tetap mematuhi
arahan pegawai atasannya selama hampir tiga dekad selepas dikerah ke Lubang
pada 1944.
Kehidupan Awal
Onoda dilahirkan pada 19 Mac
1922 di perkampungan Kamekawa, daerah Kaiso di wilayah Wakayama, Jepun.
Beliau berasal daripada
keturunan samurai dan bapanya pernah berkhidmat dalam unit tentera berkuda,
namun terkorban dalam pertempuran di China pada 1943.
Ketika berusia 17 tahun, Onoda
bekerja dengan syarikat perdagangan Tajima Yoko di Wuhan, China sebelum
menyertai Tentera Infantri Imperial Jepun setahun kemudian.
Dikerah ke Filipina
Onoda dilatih sebagai pegawai
risikan di kelas komando Futamata sebelum dikerah ke Pulau Lubang di Filipina
pada 26 Disember 1944.
Beliau diarahkan supaya
menangkis serangan musuh termasuk memusnahkan landasan pesawat dan dermaga di
pelabuhan di pulau tersebut.
Selain itu, beliau juga tidak
dibenarkan menyerah diri dalam apa jua keadaan sekalipun.
Ketika tiba di pulau tersebut,
Onoda menyertai sekumpulan tentera Jepun lain, namun beberapa pegawai dalam
pasukan terbabit bertindak menghalang beliau daripada melaksanakan tugasnya.
Tindakan itu, bagaimanapun
telah memudahkan misi Amerika Syarikat dan pasukan Komanwel Filipina untuk
menawan pulau tersebut selepas mereka mendarat pada 28 Februari 1945.
Onoda yang telah dinaikkan
pangkat sebagai leftenan bertindak mengarahkan anggotanya supaya lari
bersembunyi.
Terus bersembunyi
Onoda bersama tiga anggotanya
terus bersembunyi di kawasan hutan terbabit dan mereka melancarkan perang
gerila selama beberapa tahun kerana masih tidak percaya peperangan telah tamat.
Kesemua mereka enggan menyerah
diri walaupun telah diarahkan berbuat demikian menerusi beberapa risalah yang
turut mengesahkan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada 1945.
Pada Disember 1959, Tokyo
akhirnya mengisytiharkan kesemua mereka sudah meninggal dunia selepas gagal
mengesan Onoda bersama tiga anggotanya.
Bagaimanapun, pada 1972, beliau
terlibat dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera Filipina hingga
menyebabkan rakan seperjuangannya maut, namun Onoda sekali lagi berjaya
melarikan diri.
Serah diri selepas tiga dekad
Selepas bersembunyi selama tiga
dekad, Onoda telah bertemu dengan seorang warga Jepun, Norio Suzuki yang
berhasrat untuk menjejakinya pada Februari 1974.
Onoda masih enggan menyerah
diri walaupun Suzuki sudah memujuknya dan menjelaskan bahawa peperangan sudah
berakhir.
Beliau menegaskan hanya akan
berbuat demikian jika menerima arahan daripada pegawai atasannya.
Suzuki kembali semula ke Jepun
bersama beberapa keping gambar sebagai bukti dan kerajaan segera menjejaki
bekas pegawainya, Mejar Yoshimi Taniguchi yang telah bersara dan menjadi
penjual buku.
Taniguchi diterbangkan ke
Lubang pada 9 Mac dan bertemu dengan Onoda untuk memenuhi janji yang telah
dibuat pada 1944, ‘Walau apa jua berlaku, kami akan kembali mencari kamu’.
Onoda akhirnya menyerah diri
dan beliau turut mendapat pengampunan daripada Presiden Filipina, Ferdinand
Marcos.
Berhijrah ke Brazil
Beliau mendapat tumpuan banyak
pihak dan namanya terus menjadi sebutan selepas Onoda kembali ke Jepun.
Pada April 1975, beliau
memutuskan untuk mengikut jejak langkah abangnya yang berhijrah ke Brazil.
Onoda melangsungkan perkahwinan
kira-kira setahun selepas itu dan menjadi pemimpin masyarakat Jepun di Terenos,
Mato Grosso do Sul.
Bagaimanapun, beliau kembali
semula ke Jepun pada 1984 susulan kes seorang remaja yang bertindak membunuh
ibu bapanya dengan kejam pada 1980.
Susulan daripada kejadian
menggemparkan itu, Onodoa menubuhkan kem pendidikan Onoda Shizen Juku yang
dikhaskan untuk golongan remaja di beberapa lokasi di seluruh negara.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE
3.2.15
No comments:
Post a Comment