Ad

Thursday, 19 February 2015

Selangor tak gentar

Selangor tak gentar-SUFIAN HADI MOHD. SOJAK  |  20 Februari 2015 12:24 AM
Andik VERMANSAH (tiga dari kanan) dan rakan-rakan sepasukannya
Andik VERMANSAH (tiga dari kanan) dan rakan-rakan sepasukannya
ANDIK VERMANSAH (tiga dari kanan) dan rakan-rakan sepasukannya bergurau ketika sesi latihan Selangor di Shah Alam semalam dalam persediaan mereka untuk melayan kunjungan JDT esok. – utusan/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

SHAH ALAM - “Jangan pandang rendah dengan JDT (Johor Darul Ta’azim).”
Itu gesaan pemain sayap lincah Selangor, Andik Vermansah kepada rakan-rakan seperjuangannya menjelang pertemuan dengan juara bertahan itu dalam perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Shah Alam esok.
Meskipun JDT dikejutkan de­ngan kekalahan 1-0 kepada pendatang baharu PDRM pada minggu lepas, namun ‘Messi Indonesia ‘itu yakin Selangor akan menghadapi laluan sukar untuk memungut tiga mata penuh pertama di laman keramat mereka itu.
“Sudah dua perlawanan Liga Super, tetapi kami belum lagi pernah menang. Mula-mula kalah (2-0 kepada Terengganu), selepas itu seri (1-1 dengan Pahang) dan harap aksi ketiga nanti kami peroleh kemenangan.
“Lagi pun, ini peluang terbaik untuk kami mengutip tiga mata pertama kerana kami berkelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri setelah dua kali bermain di tempat lawan.
“Biarpun JDT tewas minggu lepas, bukan bermakna mereka akan tewas lagi di sini (Stadium Shah Alam) kerana pasukan itu pasti cuba bangkit.
“Dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memberi tentangan sengit kepada mereka. Harap aksi pertama di sini beri tuah kepada pasukan Selangor,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di Stadium Shah Alam, semalam.
Andik, 24, muncul penyelamat Red Giants dengan menjaringkan gol penyamaan 1-1 sewaktu bertemu juara Piala Malaysia, Pahang di Stadium Darul Makmur Sabtu lalu sekali gus menjadi penjaring gol pertama Selangor musim ini biarpun pada waktu itu dia sebenar­nya masih dibelenggu kecederaan pangkal paha.
“Kecergasan saya pada masa itu belum pulih sepenuhnya, namun apa yang penting, kalau jurulatih (Mehmet Durakovic) memberi kepercayaan kepada pemain untuk beraksi, kita perlu buktikan dan jalankan tugas dengan penuh komited,” katanya.

Pada sesi latihan Selangor semalam, tiada kelibat jurulatih Durakovic mengendalikan anak-anak buahnya. Utusan Malaysia difahamkan dia terpaksa pulang ke Australia ke­rana salah seorang daripada adik beradiknya meninggal dunia.
Durakovic akan menyambung tugasnya semula pada petang ini.
Sementara itu, kapten Selangor, Shahrom Kalam mengakui langsung tidak berasa bimbang untuk berdepan dengan JDT dan meng­anggap perlawanan itu bagus untuk menguji kemampuan sebenar pasukannya.
“Ini tempat kami, kami tidak gentar dan kami menantikan kedatangan mereka di sini,” katanya.
Di tanya berhubung rungutan pengendali JDT, Bojak Hodak yang mempertikaikan kualiti padang Stadium Shah Alam, pemain ber­usia 30 tahun itu hanya terse­nyum.
“Awak sendiri boleh tengok kualiti padang ini macam mana. Kami sudah pun menjalani latihan di sini dan tiada sebarang masalah,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/selangor-tak-gentar-1.61426#sthash.rZISIxf4.dpuf

No comments:

Post a Comment