MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 06
Februari 2015 2:45 AM
Kain rentang bergambarkan
manusia berkepala anjing dibentangkan di kawasan tempat duduk penyokong JDT
oleh sekumpulan penyokong, disyaki sebagai tanda protes sebahagian penyokong
JDT kepada FAM sewaktu perlawanan sumbangsih di Johor Bahru pada Sabtu lalu.
KUALA LUMPUR - Seperti
diramalkan, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bakal mendapat surat
tunjuk sebab daripada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) berkaitan insiden kain rentang gambar manusia berkepala anjing
ketika perlawanan sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang Sabtu
lalu.
Menurut Pengerusinya, Datuk
Seri Afandi Hamzah, PBNJ diberi masa tujuh hari untuk menjawab surat berkenaan
dan kes itu bakal dibincangkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM sekiranya
jawapan yang diberikan oleh pihak JDT menuntut pembelaan.
“Dalam mesyuarat sebentar tadi,
pihak JKPT mencapai keputusan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada JDT
dan mereka diberi masa selama tujuh hari untuk menjawab.
Advertisement
“Surat itu berkaitan dengan isu
kain rentang yang terdapat gambar anjing semasa perlawanan sumbangsih di
Stadium Larkin, Sabtu lalu dan apa jua tindakan akan dilihat selepas itu,”
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Bagi mengelakkan insiden sama
berulang dalam perlawanan akan datang, Afandi berkata, mesyuarat juga
memutuskan untuk mengeluarkan surat pekeliling sekali lagi kepada semua pasukan
yang bertanding bagi mengingatkan mereka mengenai Garis Panduan dan Prosedur
Operasi Standard (SOP) terhadap penggunaan sepanduk yang dibenarkan.
“Pihak JKPT mengambil serius
akan hal ini dan berpendapat kami perlu mengeluarkan satu lagi surat pekeliling
kepada semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia berkenaan penggunaan
ayat dalam sepanduk semasa perlawanan berlangsung.
“SOP ini perlu dipatuhi oleh
semua pasukan bagi mengelakkan ayat atau gambar yang dianggap sensitif serta
boleh mengundang provokasi pihak lawan demi mengelak insiden yang berlaku di
Larkin pada Sabtu lalu berulang,” katanya.
Sabtu lalu, sekumpulan
penyokong JDT membentangkan tifo gergasi yang memaparkan gambar anjing sebagai
tanda melepaskan kekecewaan terhadap FAM sewaktu perlawanan merebut Piala
Sultan Ahmad Shah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru.
Insiden itu mendapat perhatian
meluas banyak peminat dan pemerhati yang menyifatkan perbuatan itu tidak
menghormati tatasusila dan adab orang Malaysia.
Dalam kes berlainan, Afandi
mengesahkan dua pemain Harimau Muda, D. Saarvindran dan Mohd. Ferris Danial
tidak boleh beraksi selagi status mereka masih tergantung namun mereka
mendapat pengecualian istimewa untuk didaftarkan ketika liga masih berlangsung.
“Buat masa ini, kami di JKPT
masih belum boleh mendaftarkan nama kedua-dua pemain ini kerana belum ada jalan
penyelesaian antara pihak yang berkaitan dalam kes ini.
“Walaupun saya dengar akan
diselesaikan secara baik antara Pahang dan Selangor dalam kes Saarvindran
manakala Ferris pula melibatkan Felda United dan Kelantan, kami akan tunggu
sehingga mendapat kata rasmi daripada pihak yang terlibat.
“Tiada masalah sekiranya nama
mereka didaftarkan semasa liga masih berlangsung sekali pun, tidak perlu tunggu
hingga pintu perpindahan kali kedua pada April kerana pihak JKPT memberikan
kelonggaran buat pemain Harimau Muda dalam hal ini,” katanya.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/fam-beri-jdt-surat-tunjuk-sebab-1.56568#sthash.SVY4ZRhy.dpuf
No comments:
Post a Comment