Ad

Friday, 6 February 2015

Tengku Abdullah kunci mulut, tapi tetap kecewa


SUFIAN HADI SOJAK  |  06 Februari 2015 1:07 AM
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tiga dari kanan) bersama Presiden
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tiga dari kanan) bersama Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat (kanan) dan pereka bangunan ibu pejabat AFF, Datuk Ar. Saifullizam Osman (dua dari kiri) melihat model ibu pejabat AFF pada majlis perasmian pecah tanah di Presint 5, Putrajaya semalam. – UTUSAN/ SAIFUL BAHARI ASHARI

PUTRAJAYA – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah enggan memanjangkan isu kain rentang bergambar (tifo) manusia berkepala anjing yang dipercayai bertujuan mengaibkan pemimpin badan induk bola sepak negara itu, tetapi tetap melahirkan rasa kecewa.
“Saya fikir saya tak perlu komen hal ini sebab banyak pihak sudah menyentuh tentang perkara ini. Saya ingin berdiam diri.
“Saya tiada komen tentang insiden ini dan saya simpan di dalam hati saya. Cuma saya (berasa) hampa sedikit,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pecah tanah bagi pembinaan ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) di Presint 5, di sini semalam.

Tengku Abdullah mewakili ayah­andanya, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden AFF dalam majlis itu.
Tengku Abdullah turut menyeru agar semua penyokong memikirkan tentang kualiti bola sepak tanah air di atas padang dan bukan di luar padang.
“Ayuh ke hadapan, kita tidak mahu kita dihantui oleh insiden tersebut (insiden Larkin) sebab semua pihak sekarang tertumpu kepada Malaysia.
“Jadi, tolonglah... Saya tidak mahu panjang-panjangkan isu yang tak mendatangkan manfaat,” katanya.
Ibu pejabat AFF itu, yang dibina dengan kos kira-kira RM90 juta di atas tanah berkeluasan hampir satu hektar, dijangka siap sebelum Malaysia menjadi tuan rumah kongres Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada pertengahan 2017.
Idea pembinaan ibu pejabat AFF itu diketengahkan oleh Sultan Ahmad Shah, yang merupakan sebahagian perancangan baginda untuk menubuhkan sekretariat atau pejabat tetap badan pentadbir bola sepak Asia Tenggara itu di Putrajaya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tengku-abdullah-kunci-mulut-tapi-tetap-kecewa-1.56413#sthash.V4mGpX3T.dpuf

No comments:

Post a Comment