Ad

Wednesday, 25 February 2015

Lupakan kekalahan kepada PDRM’



-Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my
APEK tekad mempamerkan aksi terbaik bagi mengelakkan gawang The Red Warriors dibocori pada perlawanan menentang Sarawak pada kempen Piala FA di Kuching, Jumaat ini.

PENJAGA gawang The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat mahu rakan-rakan sepasukannya melupakan kekalahan mengaibkan 0-4 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabtu lalu, sebaliknya fokus untuk menentang Sarawak pada aksi pusingan kedua Piala FA di Kuching, Jumaat ini.

Khairul Fahmi atau Apek berkata, kekalahan kepada PDRM hujung minggu lalu wajar dijadikan sebagai pengajaran dalam usaha kembali memperkasakan pasukan untuk berdepan skuad Bujang Senang.

Menurut Apek, semangatnya dan rakan-rakan sepasukan tidak pernah luntur untuk meneruskan perjuangan dalam saingan Piala FA nanti.

“Saya dan rakan-rakan berjanji akan memberikan aksi terbaik pada pertemuan dengan Sarawak walaupun ia bukanlah satu tugas yang mudah, ditambah beraksi di tempat lawan.

“Sarawak cukup kebal di gelanggang sendiri, jadi kita perlu waspada dengan keupayaan mereka pada pertemuan itu nanti,” katanya kepada Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Apek memberitahu, Sarawak bukan sahaja memiliki pemain tempatan yang hebat, malah tonggak import mereka cukup bahaya jika diberikan banyak ruang.

“Kita perlu mengurangkan kesilapan pada perlawanan tersebut dan bermain penuh bersemangat kerana ini merupakan pertemuan hidup mati bagi saingan Piala FA 2015,” ujarnya.

Menurut Apek, Kelantan perlu menang pada pertemuan itu sekiranya mahu merebut kejuaraan Piala FA musim ini.

Katanya, dia optimis rakan-rakan sepasukan mampu bangkit berdepan dengan Sarawak dan mampu melakar keputusan positif dalam perlawanan itu nanti.

“Setiap peluang yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan kita tidak boleh mempersia-siakannya jika mahu melangkah lebih jauh,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3SlsSTxDmHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment