Ad

Saturday, 28 February 2015

PDRM jinak Rhinos

-Oleh Azlan Muhammad Zainazlanmz@hmetro.com.my
 
Shah Alam: PDRM tidak berdepan kesukaran melangkah ke pusingan ketiga Piala FA apabila menyingkirkan Sabah 3-0, malam tadi.

Tiga jaringan pada babak pertama sudah cukup menceritakan dominasi The Cops pada 45 minit pertama.

Pelawat kendalian Justin Ganai bertandang ke Stadium Shah Alam tanpa menurunkan bekas bintang Liverpool FC, El Hadji Diouf dalam kesebelasan utama dengan pemain berkenaan sekadar memanaskan bangku simpanan.

Selepas 28 minit beraksi di depan kira-kira 5,000 penyokong, pasukan tuan rumah kendalian Azman Adnan akhirnya membuka jaringan menerusi Ashfaq Ali untuk menghidupkan suasana perlawanan.

Kebangkitan yang cuba dijelmakan pelawat tidak berhasil walaupun mengambil keputusan menurunkan Diouf pada penghujung babak pertama.

The Cops melebarkan jaringan menerusi Dramane Traore yang meledak dua gol pada minit ke-41 dan 45 bagi memastikan kelebihan tiga jaringan.

Persembahan lebih agresif cuba dipamerkan Sabah selepas rehat dengan memiliki beberapa peluang menerusi Diouf dan Eamon Zayed namun tidak membuahkan hasil.

Malah PDRM yang meneruskan rentak serangan terutamanya menerusi gerakan pemain lincah Mohamadou Sumareh menyukarkan usaha Sabah mengatur gerakan.

Keputusan 3-0 kekal apabila penjaga gol PDRM, Badrulzaman Abdul Halim mempamerkan persembahan cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya pelawat hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:26 AM

ASHFAQ (kiri) mengasak penjaga gol Sabah Mohd Fazli Paat di Stadium Shah Alam.


- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/33681#sthash.1ewYtbJL.dpuf

No comments:

Post a Comment