17 Februari 2015
spm
PUTRAJAYA - Keputusan
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 akan diumumkan pada 3 Mac ini,
kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM dalam kenyataan hari ini
berkata, calon-calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM mereka dari
sekolah masing-masing selepas 10 pagi hari yang sama.
Calon persendirian akan
dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri
tempat mereka mendaftar dahulu, kata kenyataan itu.
KPM juga menyediakan
perkhidmatan semakan keputusan peperiksaan SPM melalui mySMS 15888 dengan
menaip SPM jarak taip nombor kad pengenalan jarak taip angka giliran dan hantar
ke 15888.
Perkhidmatan tersebut akan
diaktifkan bermula 10 pagi, 3 Mac dan ditamatkan pada 11.59 malam, 9 Mac.
Kenyataan itu juga menyebut
majlis pengumuman analisis keputusan SPM 2014 akan diadakan pada hari sama,
pada 9 pagi di Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E di sini.
Seramai 455,839 calon mendaftar
untuk menduduki SPM 2014 di 3,655 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu 400,351
adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan
kerajaan; 8,241 calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM (contoh:
Maktab Rendah Sains MARA); 7,957 calon sekolah menengah agama negeri; 12,066
calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM; 25,701 merupakan calon
persendirian manakala baki 1,523 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat. – Bernama
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE
17.2.15
No comments:
Post a Comment