Menghayati pelayaran kapal haji
Alunan azan dan solat di atas
kapal melahirkan keinsafan peserta
MOHD. SHAH CHE AHMAD | 13
Februari 2015 3:01 PM
Norul Huda Din (depan)
memuhasabah diri menerusi Pelayaran UKE.
BUKAN sehari dua atau seminggu,
tetapi dikatakan ada yang mencecah tiga bulan tempoh perjalanan bagi jemaah di
negara ini untuk menunaikan ibadah haji dan umrah pada awal kurun ke-15 dengan
menaiki kapal laut.
Terpaksa mengharungi lautan dan
ombak badai, jemaah tanpa mengira umur dan bangsa terpaksa bersesak-sesak di
dalam kapal yang serba kekurangan, di samping terdedah dengan pelbagai situasi
serta cuaca yang tidak menentu sepanjang menuju ke Kota Suci Mekah itu.
Namun, segala kepayahan itu
bukan halangan bagi umat Islam terdahulu bagi melengkapkan tuntutan dalam rukun
Islam kelima itu walaupun terpaksa meninggalkan keluarga, menggadaikan harta
benda dan juga mengambil risiko kehilangan nyawa.
Begitulah antara perkongsian
pengalaman yang diperoleh oleh salah seorang peserta program Pelayaran Ustaz
Kazim Elias (Pelayaran UKE 2.0) anjuran syarikat pelancongan dan konsultasi
IntraTama (M) Sdn. Bhd., baru-baru ini dengan menaiki kapal laut.
Bagi Norazmi Hussin, 49, selain
menikmati keindahan dan mengagumi ciptaan Ilahi, pelayaran selama empat hari
tiga malam merentasi lautan Andaman itu memberikannya pelbagai pengajaran
bermakna yang tidak mungkin diperoleh di mana-mana.
Bukan sekadar percutian biasa,
ia tambahnya, mampu meningkatkan keimanan dan semangat peserta dalam menyakini
kehebatan ciptaan Allah SWT di samping memperingati susah payah yang perlu
diharungi oleh umat Islam dahulu untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.
“Berlayar menaiki kapal laut
bukan suatu perkara baru, tetapi pelayaran yang dipenuhi dengan aktiviti dan
pengisian keagamaan di sepanjang perjalanan adalah bukan perkara yang mudah
diadakan dan jarang sekali dianjurkan.
“Menerusi pelayaran ini, kita
dapat melihat kebesaran Allah SWT secara terus selain perkongsian ilmu oleh
Ustaz Kazim dan mengadakan qiamullail serta solat berjemaah di atas dek kapal.
Ia cukup membuatkan kita tersentuh sekali gus menjadi permulaan amalan ibadah
selepas ini.
“Namun, sesuatu yang tidak
dapat diperoleh di mana-mana ialah apabila mendengar alunan azan dan zikir di
atas kapal di tengah lautan membawa saya dan juga peserta menghayati pelayaran
sebagaimana kapal haji yang dinaiki oleh nenek moyang kita dahulu untuk ke
tanah suci,” katanya.
Norazmi yang merupakan ahli
perniagaan berkata, berbeza dengan kelengkapan kapal laut masa kini yang serba
lengkap dan selesa, kapal digunakan jemaah haji yang serba kekurangan pastinya
memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Sedangkan menaiki kapal
bertaraf mewah ini kita dapat rasakan kesesakan kerana terpaksa berasak-asak
dengan seramai 1,000 peserta lain, pastinya keadaan jemaah haji ketika dahulu
merupakan cabaran yang perlu ditempuhi oleh jemaah lebih-lebih lagi bagi warga
emas.
“Secara tidak langsung,
pelayaran ini juga mengajar saya erti kesabaran yang menjadi kunci kepada
kebahagiaan dan rahmat daripada Allah SWT,” katanya yang menyertai pelayaran
itu bersama isteri dan dua anaknya.
MENANAM cita-cita untuk
mengikuti Pelayaran UKE sejak yang pertama diadakan, bagi Aliah Talib, 28,
berusaha mengumpul dana bagi merealisasikan keinginan ibunya itu untuk
mendengar kuliah disampaikan oleh Ustaz Kazim secara terus.
Walaupun berstatus orang
kelainan upaya (OKU) tidak menjadi penghalang bagi anak kelahiran Alor Setar,
Kedah itu untuk mencari pendapatan bagi membiayai perbelanjaannya bersama
ibunya untuk menyertai pelayaran kapal mewah itu.
Sebaliknya dia merasa gembira
dan puas apabila melihat kegembiraan di wajah ibunya apabila berpeluang menyertai
pelayaran Kembara UKE 2.0 itu.
“Saya mendapat tahu mengenai
program pelayaran Islamik ini adalah melalui makcik saudara yang menyertai
Pelayaran UKE pertama. Selain saya, emak juga ingin mengikuti pelayaran ini
kerana ingin mendengar ceramah daripada Ustaz Kazim.
“Berbekalkan pendapatan hasil
lukisan yang dihasilkan, saya mengumpulnya untuk membawa emak sama-sama
menyertai pelayaran ini. Dan saya sangat gembira kerana dapat menunaikan hajat
dan membuatkan emak saya gembira,” katanya ketika ditemui.
Advertisement
Aliah yang kudung kedua belah
tangan mendapat sumber pendapatan menerusi lukisan yang dihasilkan menggunakan
kaki dan mulut melalui Persatuan Artis Lukisan Mulut dan Kaki (MFPA) iaitu
pertubuhan yang bertanggungjawab memasarkan lukisan yang dihasilkan oleh artis
mulut dan kaki.
Bermula mengasah bakat dalam
seni lukisan sejak berusia seawal lapan tahun, Aliah kini dapat menghasilkan
koleksi lukisan sebanyak empat hingga lima lukisan setiap bulan termasuk untuk
dipasarkan ke pasaran antarabangsa.
Pendapatan Aliah diperoleh
secara tidak menentu mengikut hasil jualan yang diperoleh menerusi hasil
lukisannya.
Aliah berkata, walaupun
bergelar OKU tetapi dia tidak sesekali merasa terpinggir daripada berhadapan
dengan masyarakat sebaliknya bangga kerana mampu berdiri sama tinggi bersama
orang lain.
“Sejak dilahirkan mempunyai
fizikal begini, saya sudah lali dengan keadaan persekitaran dan orang ramai.
Dan Alhamdulillah, peserta yang menyertai pelayaran ini semuanya baik dan tiada
memandang serong terhadap saya.
“Malah, pengisian yang
dilaksanakan di sini juga bertepatan dengan saya dan ibu . Insya-Allah, kalau
ada rezeki lebih, saya berhasrat untuk pergi mengikuti pelayaran ini lagi,”
tambahnya.
Kerdilnya manusia
BERADA di tengah lautan dengan
beratapkan langit nan luas telah melahirkan keinsfan buat Norul Huda Din, 46,
betapa kerdilnya manusia itu serta tidak mempunyai apa-apa selain pergantungan
kepada Allah SWT.
Namun katanya, hakikatnya masih
ramai manusia yang tidak menyedari perkara tersebut sebaliknya terus berbangga
dengan kelebihan diri masing-masing.
“Pertama kali mengikuti
pelayaran di atas kapal ini bukan sahaja memberikan pengalaman serta ramai
kenalan baharu dari seluruh negara termasuk dari Singapura, tetapi ia juga
mengajar saya banyak perkara.
“Sebagai contoh, betapa
kerdilnya kita apabila berada di tengah lautan pada malam yang gelap, tiada
siapa yang dapat membantu kita jika terjatuh berseorangan di lautan kecuali
Allah SWT, walaupun mempunyai wang yang banyak juga tidak berguna pada waktu
itu.
“Begitu juga, tiada apa di
dunia ini milik kita, kerana semuanya pinjaman daripada Allah SWT. Malangnya,
ramai yang tidak bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT itu
dan terus bermegah-megah dengan kemewahan dunia,” katanya yang berasal dari
Ampangan, Negeri Sembilan.
Norul yang ditemani kakak dan
anak buahnya pada pelayaran itu berkata, walaupun perlu bersesak dengan orang
ramai dan menunggu lama tidak akan membuatkan kita marah jika menganggap orang
lain mempunyai keutamaan daripada kita.
“Dengan bermusafir ini jugalah
membuatkan kita menjadi kuat dan tabah dengan segala cabaran. Apabila kita
berjumpa dengan ramai orang, kita juga akan berjumpa dengan pelbagai sikap
manusia. Dari situlah kita boleh mempelajari sikap masing-masing.
“Seperti di dalam pelayaran
ini, lebih 1,000 peserta yang terlibat termasuk kanak-kanak dan juga golongan
warga emas. Kita perlu sabar dan mengutamakan keperluan mereka terlebih dahulu
kerana mereka lebih memerlukan daripada kita,” katanya.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/rencana/agama/menghayati-pelayaran-kapal-haji-1.59136#sthash.xuPCea4v.dpuf
No comments:
Post a Comment