Ad

Tuesday, 17 February 2015

Sonia, Jin Wei di landasan tepat


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan wanita negara, Wong Tat Meng mengaku puas hati dengan prestasi dipamerkan dua pemain negara berbeza generasi, Sonia Cheah (gambar) dan Goh Jin Wei.
Menurut Tat Meng, aksi sulung Sonia di Cabaran Antarabangsa Iran 2015 minggu lalu selepas berehat hampir setahun setengah amat membanggakan apabila mara sehingga ke suku akhir.
“Ini pertandingan pertama buat dia, kita hanya mahu melihat situasi dan keadaannya. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran,” katanya di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.
Jelasnya, sasaran ke separuh akhir diletakkan Sonia sendiri untuk mencabar dirinya selepas bergelut dengan masalah kecederaan tendon Achilles sejak Ogos 2013.
“Apabila pulang nanti kita akan tengok bagaimana keadaannya dan apa yang dia rasa selepas sekian lama tidak beraksi di kejohanan kompetitif.
“Saya ada berhubung dengannya dan dia beritahu agak tertekan untuk menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan seperti sebelum ini,” katanya.
Ujar Tat Meng, ada beberapa kejohanan lagi yang bakal menjadi ujian buat Sonia termasuk Cabaran Antarabangsa Poland dan Cabaran Antarabangsa Orleans (Perancis) sebelum Piala Sudirman serta Sukan SEA 2015 Singapura.
“Setiap kejohanan disertai dia harus mencari semula sentuhan dan suasana pertandingan,” kata bekas pemain negara itu.
Sementara itu, mengenai prestasi Jin Wei yang meraih gelaran Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur 2015, Tat Meng berkata, sesuatu yang amat bagus apabila pemain berusia 15 tahun muncul juara di kejohanan bertaraf senior.
“Satu prestasi yang amat menggalakkan. Memang kita sentiasa berlatih bersama antara pemain pelapis dan senior. Sejak dua tahun lalu kami sudah memulakan sistem seperti ini.
“Hasilnya pemain muda semakin menghampiri pemain senior dari segi prestasi. Kita sekarang sedang menikmati hasilnya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:34 AM

Sumber-HARIAN METRO ONLINE 17.2.15

No comments:

Post a Comment