Ad

Friday 20 February 2015

Haruskah berdiam?

-fahd@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Saya berada dalam dilema kerana sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan Penasihat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), haruskah saya bersuara atau berdiam,” kata Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kenyataan itu dimuat naik dalam laman Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Johor Southern Tigers (JST) kelmarin.

Tunku Ismail mengambil keputusan drastik dengan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Penasihat FAM.

Menurut kenyataannya itu, Tunku Ismail meluahkan rasa tidak puas hati selepas melihat layanan berbeza diberikan FAM terhadap pasukan Johor DT dan Pahang untuk menunda perlawanan ketika masing-masing terbabit dalam persaingan Piala AFC.

Tunku Ismail mengingatkan mengenai tanggungjawab FAM adalah mengurangkan beban pasukan bola sepak dalam negara dan memberi bantuan sewajarnya kepada pasukan yang mewakili negara dalam pertandingan AFC.

“Apa yang berlaku, permohonan Johor DT untuk meminda tarikh perlawanan daripada 21 kepada 20 Februari menentang Selangor ditolak, begitu juga untuk perlawanan dengan Sarawak pada 7 kepada 6 Mac.

“Sebaliknya permohonan Pahang untuk menunda tarikh perlawanan mereka daripada 1 kepada 2 Mac bagi Piala FA pula diluluskan. Alasan kedua-dua pasukan pada asasnya sama, terbabit dengan saingan Piala AFC,” katanya.

Tunku Ismail berkata, pihaknya tidak faham bagaimana boleh wujud keputusan berbeza apabila permohonan Johor DT ditolak sebaliknya Pahang diterima.

“Apakah yang membezakan setiap persatuan negeri sehingga berlaku sedemikian. FAM sepatutnya berlaku adil dan bersikap profesional demi pembangunan bola sepak tanah air,” katanya.

Tunku Ismail berkata, beliau bukan berniat mencipta kontroversi, tetapi apabila FAM tidak bersikap konsisten dalam membuat keputusan, tindakan mereka jelas menunjukkan berlakunya berat sebelah.

“Tujuan asas saya demi profesionalisme dan integriti badan induk bola sepak negara dan menyeru FAM supaya lebih bersikap adil kepada persatuan negeri, kelab serta pasukan dalam pelbagai isu termasuk penundaan tarikh perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:29 AM
HARIMAU Selatan kepenatan dengan jadual padat Liga Super dan saingan Piala AFC.

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/32177#sthash.pSHEHtC0.dpuf

No comments:

Post a Comment