Ad

Friday, 20 February 2015

Ridhwan bintang dalam pembikinan

-Oleh TAUFIK SALIMIN
taufik.salimin@kosmo.com.my
 
RIDHWAN (tengah) bersama-sama krew pasukan berdiri megah dengan trofi selaku juara keseluruhan MSS Superstock B musim 2014.

MUHAMMAD RIDHWAN MOITHU KUTTI boleh dianggap masih baharu dalam sukan pemotoran, tetapi dia sudah memperlihatkan kematangan.

Walaupun baharu menjangkau usia 21 tahun, tetapi dia sudah mula menempa nama dalam bidang yang diceburinya selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan perlumbaan Malaysia Super Series (MSS) Superstock B tahun lalu.

Pencapaian pelumba yang menggalas cabaran Kelab Sukan Pemotoran Kostar itu ternyata telah membuka mata ramai pihak yang kini berminat untuk mendapatkan khidmatnya bersaing dalam perlumbaan yang lebih berprestij musim ini.

Begitupun, pelumba yang telah menjejak podium sebanyak lapan kali pada musim 2014 itu tetap dengan pendirian untuk terus setia dengan pasukan lamanya, Kostar.

KSPK telah banyak membentuk dia menjadi seorang pelumba yang matang, justeru dia bertekad untuk membawa lebih banyak kejayaan buat pasukannya itu.

“Berbekalkan pencapaian membanggakan musim lalu pada perlumbaan MSS, saya bercita-cita untuk beraksi pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bermula tahun depan kerana dalam tempoh tersebut saya sudah betul-betul bersedia.

“Buat masa ini, saya masih mahu memberi tumpuan pada perlumbaan tempatan sebelum melebarkan langkah bersaing di pentas Asia,” kata Ridhwan yang sudah berjinak secara serius dalam sukan tersebut sejak dua tahun lalu.

Hajat besarnya adalah untuk mengikut jejak langkah pelumba profesional negara, Zulfahmi Khairuddin yang sudah menempa nama di pentas antarabangsa.

Ridhwan yang boleh dianggap sebagai bintang dalam pembikinan, enggan terburu-buru merealisasikan impiannya itu kerana masih banyak lagi kelemahan yang perlu dia atasi, selain berdepan masalah kewangan.

“Langkah pertama yang mahu diatasi adalah mencari penaja supaya saya boleh melangkah ke satu tahap yang lebih profesional.

“Buat masa ini, saya masih bersama Kostar dan belum terfikir untuk berhijrah ke pasukan lain memandangkan saya semakin serasi dan selesa dengan krew pasukan.

“Bagaimanapun, saya berdepan masalah kewangan untuk melangkah lebih jauh kekangan dan mengharapkan ada pihak yang sudi menaja saya serta pengurusan pasukan dalam usaha membangunkan sukan pemotoran ini,” ujarnya.

Menjelang perlumbaan musim 2015, Ridhwan tetap bertekad untuk menambah lagi koleksi kejuaraan dan pada masa yang sama akan terus bekerja keras untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Biarpun dilihat seperti tiada pencabar, namun pelumba muda itu mengambil pendekatan berwaspada setiap kali melangkah ke litar perlumbaan agar hasilnya tidak mengecewakan.

Menurutnya, antara cara terbaik untuk memperbaiki prestasinya adalah memantapkan gaya tunggangan dengan menjadikan laman ‘youtube’ sebagai rujukan terbaik bagi memperkemaskan kemahiran.

“Sebelum perlumbaan, saya akan membuat pelbagai persediaan seperti menonton video perlumbaan daripada pelumba profesional kerana daripada situ, saya dapat mempelajari sedikit sebanyak cara mereka mengendalikan jentera.

“Selain itu, saya akan memastikan mental dan fizikal sudah bersedia sepenuhnya kerana ia adalah pendorong untuk mengekalkan momentum dalam perlumbaan,” jelasnya.

Tidak dinafikan, keselesaan bersama Kostar juga menjadi faktor kejayaannya pada musim 2014 lalu.

“Saya cukup yakin dengan pengurusan pasukan dan mengharapkan kerjasama ini berterusan untuk beberapa tahun akan datang.

“Saya kagum dengan segala kemudahan yang diberikan seperti penggunaan minyak pelincir yang mana saya begitu selesa dan menjadikan enjin jentera lebih ringan, mudah dan paling penting membantu daya pecutan setiap kali berada di atas litar,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3SIgK4WWk Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment