Ad

Thursday, 26 February 2015

Chong Wei komited curah bakti



-Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

 WALAUPUN masih digantung daripada menyertai sebarang pertandingan, bekas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei (gambar) tetap komited mencurahkan bakti kepada skuad badminton kebangsaan apabila membantu pasangan beregu utama negara, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem sepanjang persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Siri Super Premier Seluruh England 2015 bermula 3 hingga 8 Mac depan.

Chong Wei yang dijemput berlatih bersama-sama skuad beregu, digandingkan dengan juara Seluruh England 2007, Tan Boon Heong untuk beraksi dalam satu perlawanan simulasi selepas menamatkan sesi latihan fizikal di kem latihan badminton negara di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Pemain tersebut yang digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan apabila diuji positif bahan terlarang dexamethasone ketika ujian doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lalu ternyata masih mampu mempamerkan aksi kompetitif untuk menewaskan pasangan itu dengan keputusan 21-18, 21-19.

Ketua jurulatih beregu negara, Jeremy Gan turut memuji sumbangan yang diberikan Chong Wei dan berharap pemain berusia 32 tahun itu akan terus memberikan sokongan, sekali gus membantu Wee Kiong dan V Shem kembali ke tahap terbaik selepas kali terakhir beraksi pada Terbuka India, Januari lalu.

Jelas Jeremy, bantuan Chong Wei untuk turut serta dalam sesi latihan beregu telah meningkatkan kualiti latihan kedua-dua pemain itu terutama selepas skuad beregu negara kehilangan Hoon Thien How dan Lim Khim Wah yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal bulan ini.

“V Shem baru kembali berlatih sejak dua minggu lalu selepas direhatkan kerana mengalami kecederaan lutut kiri. Dia kini sudah menunjukkan perkembangan yang sangat baik dan hari ini (semalam) Chong Wei telah memberikan bantuan apabila menerima pelawaan saya untuk menguji tahap permainan mereka.

“Chong Wei memiliki tahap permainan yang tinggi walaupun dia seorang pemain perseorangan tetapi dia boleh beraksi dengan baik sebagai pemain beregu. Walaupun hanya untuk satu perlawanan tetapi dia telah memberikan aksi terbaik dan ia sangat bagus untuk Wee Kiong serta V Shem dalam membuat persiapan ke Seluruh England.

“Kami akan mengajak dia untuk berlatih bersama skuad beregu lagi tetapi bukan secara tetap kerana saya juga tidak boleh mengganggu jadual fizikalnya,” kata Jeremy semalam.

Wee Kiong dan V Shem merupakan satu-satunya beregu lelaki negara yang akan beraksi pada kejohanan Seluruh England minggu depan, namun tidak diletakkan sasaran tinggi kerana waktu latihan sangat singkat.

“Kami tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kerana pencabar-pencabar mereka di sana juga bukan mudah untuk ditewaskan.

“Saya lebih suka melihat Wee Kiong dan V Shem memberikan saingan terbaik pada setiap perlawanan. Jika menang, ia sudah cukup baik untuk mereka meneruskan saingan,” tambah Jeremy.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3SrbXySxvHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment