05 Februari 2015 1:32 AM
Barisan pemain Kelantan
memperagakan jersi baharu pasukan The Red Warriors musim 2015 dalam majlis di
Kota Bharu semalam. – UTUSAN/JAZALY AMRY JAAFAR
KOTA BHARU – Penyerang Harimau
Muda, Muhammad Ferris Daniel Mat Nasir mungkin boleh melupakan hasratnya untuk
menabur bakti bersama Felda United musim ini apabila Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA) enggan melepaskannya.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar
Musa berkata, jawatankuasa pengurusan yang bermesyuarat semalam mengambil
ketetapan bahawa tonggak Harimau Muda itu sah milik The Red Warriors.
“Hasil mesyuarat itu, KAFA
telah gariskan tiga pendekatan berhubung perkara berkenaan, pertama mengesahkan
Ferris milik Kelantan seperti yang telah diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) sebelum ini.
“Kedua, KAFA akan memaklumkan
kepada FAM mengenai kedudukan terkini status pemain berkenaan dan ketiga
membuka ruang kepada Felda United untuk mengadakan perbincangan secara rasmi.
“Sekiranya berminat untuk
mendapatkan khidmat pemain berkenaan, mereka boleh datang untuk berbincang
dengan KAFA dan kita sedia menerima kunjungan mereka,” katanya kepada pemberita
di sini semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan
majlis memperkenalkan jersi dan pemain pasukan Kelantan bagi musim 2015.
Utusan Malaysia kelmarin
melaporkan status Muhammad Ferris Daniel yang menjadi rebutan antara The Red
Warriors dengan Felda United akan ditentukan selepas jawatankuasa pengurusan
KAFA mengadakan mesyuarat hari ini.
Polemik melibatkan pemain itu
tercetus apabila namanya telah didaftarkan oleh Felda sebelum 5 Disember lalu
biarpun Kelantan telah mengumumkan bahawa penyerang Harimau Muda itu ada dalam
perancangan Kelantan.
Bagaimanapun, pemain itu telah
menandatangani kontrak bersama Felda United dan sudah pun menjalani latihan
bersama finalis Piala FA musim lalu itu.
Dalam perkembangan lain, Annuar
memberitahu sehingga kini pihaknya masih belum menerima pelawaan secara rasmi
dari Felda United untuk mengadakan perbincangan berhubung perkara berkenaan.
Katanya, pengurusan Felda
United hanya menghantar mesej sistem pesanan ringkas (SMS) kepada beliau untuk
mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kami bersedia untuk berbincang
dan perlu dilakukan mengikut cara yang betul. KAFA cukup menitik beratkan sikap
profesional berkaitan dengan pengurusan pasukan,” ujarnya.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kafa-enggan-lepaskan-ferris-daniel-1.56084#sthash.ABGockof.dpuf
No comments:
Post a Comment