Ad

Monday 9 February 2015

Aksi Man. United membosankan


10 Februari 2015 1:10 AM

PENYERANG Manchester United, Radamel Falcao (tengah) gagal melepasi penjaga gol West Ham, Adrian dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Upton Park, London semalam. – AP

LONDON - Walaupun Manchester United hanya tewas sekali dalam 17 perlawanan terakhir Liga Perdana Ingge­ris musim ini, namun aksi ke­seluruhan yang dipamerkan skuad Red Devils itu amat membosankan.
Rumusan tersebut dibuat penganalisis bola sepak England, yang meng­anggap di bawah bimbingan Louis van Gaal, Uni­ted bukan lagi pasukan yang mengamalkan corak permainan menyerang se­perti sebelum ini.
Menurut akhbar Daily Mail, biarpun berada pada kedudukan yang baik apabila menghuni tangga keempat liga, namun penyokong kelab sukar menerima gaya membosankan yang ditampilkan oleh Van Gaal.

Aksi hambar United turut ditunjukkan ketika pasukan itu seri 1-1 dengan West Ham di Upton Park, semalam.
Namun, Van Gaal mempertahankan taktik yang digunakan, malah menegaskan ia amat berkesan pada masa ini.
“Kami menggunakan pendekatan mengawal bola dan bermain dengan kesabaran tinggi dalam semua perlawanan di tempat lawan,” kata jurulatih kelahiran Belanda itu.
Van Gaal turut memuji semangat yang ditunjukkan pemainnya dalam perlawanan semalam ke­rana masih mampu meraih satu mata selepas meraih gol penyamaan lewat minit.
Cheikhou Kouyate membuka jaringan Hammers empat minit selepas babak kedua bermula dan meningkatkan keyakinan skuad bimbingan Sam Allardyce untuk mengutip tiga mata penuh.
Bagaimanapun, pemain antarabangsa Belanda, Daley Blind menyumbat gol pada minit terakhir perlawanan menerusi voli bagi membolehkan United membawa pulang satu mata.
“Saya dapat menyaksikan semangat dan perwatakan yang ditunjukkan pasukan saya selepas mereka ketinggalan 1-0.
“Pada separuh masa pertama kami tidak bermain de­ngan cukup bagus, kami gagal mengawal bola dengan baik dan sebab itu juga kami gagal menangani tekanan yang diberikan oleh West Ham,” kata Van Gaal kepada BBC Sport.

 “Aksi Manchester United sekarang terlalu bosan untuk ditonton.
“Ini bukan United yang saya kenali,” kata bekas bintang pertahanan United, Gary Neville. – AGENSI

No comments:

Post a Comment