Ad

Tuesday, 10 February 2015

Padang sintetik hidang resah


Johor Bahru: Lantunan bola mengelirukan di padang rumput sintetik merisaukan S Kunanlan, namun bek kanan itu optimis Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mampu melakar kemenangan pada aksi play-off kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2015.

Bagi Kunanlan, pertembungan menentang Bangkok Glass FC di Stadium Thanyaburi, Pathum Thani, Thailand, malam ini dianggap misi penting bukan saja buat dirinya malah kesebelasan utama skuad Harimau Selatan.

Katanya, peluang tetap ada untuk mencipta kemenangan selepas perancangan taktikal lebih rapi dibuat ketua jurulatih Bojan Hodak untuk berusaha melangkah ke play-off ketiga menentang kelab dari China, Beijing Guoan, 17 Februari ini sebelum layak bersaing di peringkat kumpulan ACL.

“Tidak dinafikan apabila beraksi di padang rumput sintetik, pergerakan dan lantunan bola lebih pantas dan kami perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap dan saya akan gunakan pengalaman beraksi di Stadium Jalan Besar ketika Piala Suzuki AFF untuk perlawanan itu nanti,” katanya.

Menurutnya, keyakinan diri sendiri juga memainkan peranan dan kemenangan ke atas Bengaluru FC, baru-baru ini memberi tonik kepada kesemua pemain untuk meneruskan cabaran.

“Apapun kami harus positif dan tidak terlalu menghormati lawan kerana sedar barisan pemain Bangkok Glass FC mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri,” katanya.

Kunanlan juga menaruh tekad untuk membantu Johor DT memburu kemenangan dengan mempamerkan aksi terbaik bagi menghalang pemain sayap kiri lawan.

Katanya, selepas menonton rakaman video aksi Bangkok Glass FC ternyata barisan pemain kelab dari Thailand itu kerap beraksi dengan corak permainan pantas dan sering melakukan hantaran pendek dan lintang.

“Kena beri tumpuan dan tidak boleh leka kerana pemain pasukan itu cukup licik dan bijak memperdayakan pertahanan. Malah ketika menonton rakaman video permainan kelab itu jelas mereka mengamalkan taktikal umpanan bola pantas.

“Apapun kami sudah pergi jauh dan tidak mahu pulang kecewa,” katanya.

SUMBER HARIAN METRO ONLINE : Selasa, 10 Februari 2015 @ 6:59 AM

KAPTEN Johor DT Safiq Rahim (dua dari kiri) bersalam dengan pemain Bangkok Glass Peeraphong Pichitchotirat.

No comments:

Post a Comment