Ad

Friday, 13 February 2015

Liga Perdana: JDT II, NS dan Sabah terus garang

SABTU, 14 FEBRUARI 2015 @ 12:09 AM
Liga Perdana: JDT II, NS dan Sabah terus garang
Oleh-Faizul Azlan Razak, Amin Jalil, Syafiq Aznan dan Willie Jude Junaidi - bhsukan@bh.com.my
 
PEMAIN Sabah, El Hadji Diouf (kiri) cuba melepasi kawalan pemain DRB-Hicom, Godwin Antwi Birago (tengah) dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Negeri Sembilan dan Sabah menyambung rentak garang merakamkan kemenangan kedua berturut-turut dalam kancah bola sepak Liga Perdana, hari ini.

JDT II tunjuk taring membelasah KL SPA 5-1 untuk mendahului carta liga manakala Negeri Sembilan menewaskan UiTM FC 2-0 di gelanggang sendiri untuk berada di tangga kedua dan Sabah di tempat ketiga hasil kemenangan 3-2 ke atas DRB-Hicom di laman sendiri.

Kedah yang garang pada perlawanan pembukaan sekadar mengutip satu mata apabila seri 2-2 ketika menentang Kuantan FC di Stadium Darul Makmur - begitu juga T-Team yang terikat 0-0 ketika menentang Pulau Pinang di Kuala Terengganu.

 Kuala Lumpur kembali semula ke landasan kemenangan selepas menewaskan PKNS FC 2-1 dalam perlawanan sebelah petang di Stadium UiTM, Shah Alam.
 
PEMAIN JDTII, Leandro Sebastian (jersi putih) cuba mengatasi penjaga gol KL SPA, Muhammad Nur Aizat pada perlawanan Liga Perdana di Stadium MPPJ Kelana Jaya di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, JDT II pulang ceria dengan kemenangan besar, termasuk jaringan hatrik daripada Shafiq Shaharuddin pada minit ke-47,63 dan 82 manakala dua gol lagi sumbangan, Leandro Dos Santos (m-34) dan Nicolas Delmonte (m-79).

Gol tunggal KL SPA adalah sumbangan Michael Chukwubunna (m-91).

Di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, dua ledakan daripada pemain import, Francis Forkey Doe pada minit ke-38 dan 80 sudah cukup buat skuad Rusa melakar kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team selaku tuan rumah gagal mengaut peluang di hadapan penyokong sendiri apabila terpaksa berpuas hati seri 0-0 menentang Pulau Pinang.

Sabah terus garang dengan kemenangan 3-0 ke atas DRB-Hicom dengan penyerang import dari Senegal, El Hadji Diouf membuka tirai jaringan pada minit ke-18 di Stadium Likas.

Azizan Nordin menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-79 sebelum Shafuan Adli menyumbang gol ketiga pada minit ke-84 manakala dua gol pelawat jaringan Ivan Babic pada minit ke-2 dan gol sendiri oleh Abdoulaye Faye pada minit ke-21.


PEMAIN Kuantan FA, Muhd Razren Jesni diasak pemain Kedah pada perlawanan Liga Perdana 2015 di antara Kuantan FA dan Kedah di Stadium Darul Makmur hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
Di Stadium Darulmakmur, Kedah mendahului selesa 2-0 menerusi jaringan Keith M Nah pada minit ke-4 dan Baddrol Bakhtiar, minit ke-9 untuk memberi bayangan pasukan Helang Merah itu mampu pulang membawa satu lagi kemenangan.

Namun, Kuantan FA menafikan hajat itu apabila bangkit garang pada babak kedua dengan gol daripada Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-22 dan Milan Purovic, minit ke-33 untuk menyamakan kedudukan dan berkongsi satu mata.

Sementara itu, Kuala Lumpur mengesahkan mata penuh menerusi jaringan Kallam Sone Mosoe pada minit ke-16 dan Choi Hyu Yeon (m-61) untuk mengatasi PKNS 2-1. Gol tunggal pelawat adalah jaringan Gonzalo Manuel Soto, minit ke-45.


PEMAIN Kuala Lumpur, Iyanul Ezekiel Ogunboye (belakang) cuba menghalang pemain PKNS FC, Gonzalo Manuel Soto (depan) dalam saingan Liga Perdana di Stadium UiTM Shah Alam hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Sumber-BERITA HARIAN ONLINE 14.2.2015

No comments:

Post a Comment