SABTU, 7 FEBRUARI 2015 @ 11:18
PM
KUALA LUMPUR: Dua kuasa Pantai
Timur - Terengganu dan Kelantan - masing-masing memulakan kempen Liga Super
2015 dengan kemenangan, malam ini.
Turut melakar kemenangan ialah
Perak yang membenam pasukan berstatus kelab, Sime Darby 2-0 di Stadium Ipoh,
Perak.
Terengganu menggunakan
sepenuhnya aksi di laman sendiri, Stadium Sultan Ismail dengan membenam
Selangor juga dengan keputusan 2-0 dengan gol yang dicipta pada setiap babak
permainan.
PEMAIN Terengganu, Ismail
Faruqi (kiri) diasak oleh pemain Selangor, Muhd Shahrom pada Perlawan Liga
Super 2015 antara Terengganu bertemu Selangor di Stadium Sultan Ismail, Kuala
Terengganu. - Foto Aswadi Alias
Selepas Ismail Faruqi meledak
jaringan pembukaan pada minit ke-38, gol daripada pemain import, Gustavo Lopez
melengkapkan jumlah jaringan tuan rumah.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, Negeri Sembilan, ATM gagal menggunakan kelebihan di laman sendiri
apabila tumbang 2-0 kepada Kelantan.
Kelantan yang dibimbing
jurulatih, George Boateng meledak gol pembukaan menerusi Mohd Noor Hazrul
Mustafa pada minit ke-12 sebelum menggunakan kelebihan ATM yang beraksi 10
pemain dengan menambah jaringan menerusi Erwin Carrillo (m-61).
PEMAIN Perak, Fikri Sudin
(kiri) dihalang oleh pemain Sime Darby semasa pertemuan mereka dalam perlawanan
bolasepak untuk Liga Super 2015 di Stadium Perak. - Foto Supian Ahmad
Di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang, pendatang baharu Liga Super, FELDA United diikat seri 3-3 oleh
Sarawak.
Beraksi di laman lawan, Sarawak
terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Billy Mehmet pada minit ke-11.
FELDA menyamakan kedudukan juga
menerusi pemain import, Bojan Miladinovic pada minit ke-35 dan memasuki babak
kedua, Makechr Dumba meletakkan tuan rumah di depan.
PEMAIN Kelantan, Erwin Albeiro
Carillo diasak pemain ATM, Raja Mohd Ridhzuwan dan K Ruben dalam perlawanan
pembukaan Liga Super Malaysia 2015 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi - Foto
Hazreen Mohamad
Sarawak tidak mengalah apabila
kembali menyamakan jaringan menerusi Mohd Hairol Mokhtar pada minit ke-76 namun
FELDA sekali lagi di depan menerusi jaringan Edward Junior Wilson, enam minit
sebelum perlawanan tamat.
Ketika FELDA seakan hampir
dinobat pemenang, Mohd Shahrol Saperi muncul penyelamat Sarawak dengan meledak
gol penyamaan pada minit ke-87.
Di Ipoh, Perak jelas tidak mahu
duka musim lalu diulang dengan kemenangan 2-0 dengan gol disumbangkan Muhd
Nurridzuan Abu Hassan (m-28) dan Namkung Woong (m-84).
Pada aksi lebih awal, Lions XII
menewaskan juara Liga Perdana, PDRM 5-3.
KAPTEN pasukan Felda United,
Muhammad Shukor Adan cuba membuat percubaan keatas gawang pasukan Sarawak pada
Piala Super di Stadium Selayang. - Foto Yazit Razali
No comments:
Post a Comment