SAFEE (kiri) kembali mendapat
keyakinan setelah menjaringkan gol pertama pada musim ini.
PERCATURAN ketua jurulatih
Johor Darul Takzim (Johor DT), Bojan Hodak yang menurunkan Safee Sali pada aksi
pertama Kumpulan F Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ternyata
membuahkan hasil apabila penyerang negara itu membalas kepercayaannya dengan
menyumbang satu gol menarik ketika membenam wakil India, East Bengal FC 4-1 di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.
Gol menerusi aksi akrobatik
Safee, 31, pada minit ke-53 jelas memberi makna yang besar buat pemain
kelahiran Kajang, Selangor itu selepas kredibilitinya sebagai penyerang
prolifik negara mula menjadi persoalan ramai setelah kerap kali memanaskan
bangku simpanan skuad Harimau Selatan ekoran kecederaan serta kemerosotan
prestasi.
Namun, pemain yang pernah
menerima gaji lumayan ketika bersama pasukan Indonesia, Pelita Jaya pada
2011/12 itu berjaya menutup mulut pengkritiknya apabila kembali menemui
sentuhan pertamanya tahun ini menerusi gol menarik tersebut selepas Nazrin
Nawi, Safiq Rahim dan S. Chanturu masing-masing memberi kelebihan buat Harimau
Selatan pada minit kesembilan, ke-37 dan ke-47.
“Dalam bola sepak, sesuatu
keputusan dan tindakan yang dibuat dengan pantas adalah sesuatu yang penting.
Ketika melihat bola tersebut menuju ke arah saya, ketika itulah saya telah buat
keputusan untuk melakukannya (tendangan akrobatik) dan tidak fikir terlalu
lama.
“Saya pernah melakukannya
ketika beraksi pada Liga Bola Sepak Indonesia dan syukurlah malam ini (malam
kelmarin) saya sekali lagi berjaya menjaringkannya,” jelas Safee ketika diminta
mengulas tentang jaringannya itu selepas perlawanan berakhir.
Mengakui masih mencari-cari
rentak dalam permainannya, Safee yang membantu skuad Harimau Malaya menjuarai
Piala Suzuki AFF pada 2010 mendedahkan bahawa dia kini berharap gol tersebut
akan menjadi penyuntik kepada moral dan perjalanan kariernya bersama Johor DT
musim ini.
“Memang pada awal permainan
saya masih mencari-cari rentak kerana tidak beraksi dalam beberapa perlawanan
tahun ini.
“Apa yang penting ialah saya
mendapat kembali keyakinan selepas menjaringkan gol ini. Saya amat berterima
kasih kepada rakan sepasukan yang lain kerana banyak membantu saya dalam
latihan dan perlawanan. Apa pun, saya sudah bersedia jika diturunkan pada
perlawanan selepas ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Hodak meluahkan
kegembiraannya apabila menyaksikan percaturannya menurunkan Safee sebagai
penyerang tunggal malam tersebut membuahkan hasil.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3SrFF4zjQ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment