Ad

Wednesday, 4 February 2015

Tiru semangat Nicol


  Oleh Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tidak ada masalah buat pemain skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol David mara ke final Kejohanan Cleveland Classic 2015 selepas menumpaskan Omneya Abdel Kawy di separuh akhir, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, Nicol terpaksa berhempas pulas pada set pertama untuk menjinakkan wakil Mesir itu sebelum mencatat kemenangan 11-8, 11-2, 11-7.

Penyandang juara itu bakal berdepan seorang lagi pemain Mesir, Raneem El Welily yang berjaya mengalahkan pilihan kedua, Laura Massaro 11-13, 11-7, 15-13, 11-9, 12-10.

“Anda harus percaya strategi digunakan bakal membuahkan hasil jika terus berusaha. Semua pemain pada kejohanan ini sukar untuk dikalahkan,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Jelas Nicol, sebagai pilihan utama kejohanan, semua pencabar akan cuba sedaya upaya mengalahkannya.

Kelmarin dia mencipta sejarah apabila berada di ranking pemain nombor satu dalam tempoh 106 bulan mengenepikan pemegang terdahulu Susan Devoy dari New Zealand (105 bulan).

Sementara itu, bekas Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Datuk Syed Mustaffa Syed Ali berkata, rakyat harus berbangga dengan apa yang diraih Nicol.

“Kita harap pemain muda mengambil contoh kejayaan dikecapi Nicol. Mereka perlu lihat semua aspek bukan hanya setakat corak permainan, tetapi kekuatan mental, fizikal dan disiplin dalam latihan.

“Sebagai juara dunia, Nicol sudah tahu apa yang perlu dilakukan untuk terus mengekalkan status nombor satu,” katanya yang kali terakhir mengetuai badan induk itu pada Jun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 6:19 AM


- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/28396#sthash.suGJv7Bb.dpuf

No comments:

Post a Comment