Kediaman paling unik, indah Oleh Hartini Mohd
Nawihartini@mediaprima.com.my
Tiga kali dilanda banjir besar
iaitu pada 1926, 1971 dan tahun lalu cukup menguji ketahanan rumah tradisional
berusia 91 tahun ini untuk diangkat antara kediaman paling unik dan sarat
dengan nilai keindahan.
Tidak hairanlah rumah lama itu
menarik perhatian Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk
dijadikan Âkhazanah tradisional untuk tatapan generasi akan datang.
Pihak media diundang Rabu lalu
untuk melihat sendiri proses membuka atau menanggalkan semua bahagian rumah itu
sebelum ia dipindahkan dan dibina semula di Muzium Warisan Melayu, UPM,
Serdang, Selangor.
Turut hadir Ahli Parlimen
Jerantut, Pahang, Ahmad Nazlan Idris.
Pengarah Muzium Warisan Melayu
UPM, Dr Muhammad Pauzi Abd Latif berkata, rumah itu cukup istimewa kerana
selama terbabit dengan pencarian rumah lama, inilah satu-satunya yang mempunyai
balai dan struktur kayunya masih utuh walaupun berusia 91 tahun.
Beliau berkata, ada perahu
jalur berukuran enam meter antara sampan terpanjang dihasilkan daripada kayu
balak.
Rumah di Kampung Kelola itu
terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Jerantut.
Kami terpaksa berjalan satu
kilometer untuk sampai ke rumah itu dalam kawasan berlumpur tapi sebaik tiba,
segala masalah terungkai apabila melihat keindahan seni bina rumah lama itu.
Memasuki rumah lama itu suatu
pengalaman yang sukar dilupakan penulis, ibarat masuk ke rumah di era
kesultanan Pahang 91 tahun lalu.
Sejarah rumah serambi Pahang
Rumah tradisional ini milik
penghulu Mukim Kelola, Allahyarham Ismail Khatib Bakar dan isterinya,
Allahyarham Tijah Dolah.
Ia dibina sendiri Ismail pada
1924 dan beliau dikatakan ada pertalian darah dengan Tok Pahlawan Gendut iaitu
antara pejuang Pahang yang menentang pendudukan Inggeris di Tanah Melayu.
Anak bongsu Ismail, Zaharah,
69, mengakui seolah-olah pengalaman silam suka duka menghuni rumah itu berada
di hadapan mata sebaik hadir hari itu.
"Siapa boleh melupakan
kehidupan di rumah ini kerana di sinilah saya dilahir dan dibesarkan bersama
enam adik beradik lain," katanya yang kini tinggal di Kampung Bukit
Nikmat, Jerantut itu.
Pengalaman itu turut dikongsi
suaminya, Mat Yunus Itam, 74, yang mengakui rumah tradisional itu mempunyai
khazanah dan sejarah tidak sama dengan rumah lain.
Uniknya, rumah yang dibina
berasaskan kayu cengal dan merbau itu masih utuh seni binanya dan tidak pernah
terusik dek serangan anai-anai.
"Rumah ini mempuÂnyai
bahagian balai, serambi, rumah induk sebagai ruang privasi keluarga dan dapur.
"Ia dipasang secara pasak
tanpa paku selain tiada Âpengubahsuaian kecuali Âbahagian dapur," kata
Zaharah.
Biarpun ditinggalkan begitu
lama, ruang dalaman dan elemen hiasan seni bina masih utuh, antaranya cermin
hiasan berlakar motif menarik masih tergantung pada dinding di serambi.
Almari dan bidai kain dengan
kerangka besi juga berada di rumah induk.
Dinding rumah yang dibina
memanjang dengan teknik selit masih utuh dan ada penyangkut pelbagai guna.
Paling menarik beberapa cawan
dan gelas bercorak klasik yang membawa perlambangan penghuninya golongan
berada.
Artikel ini disiarkan pada :
Sabtu, 7 Februari 2015 @ 5:01 AM
RUMAH tradisional ini bakal
ditempatkan di Muzium Warisan Melayu, UPM.
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/29166#sthash.R42ERj9y.dpuf
No comments:
Post a Comment