TENGKU Abdullah (kanan)
dan Rahim menziarahi jenazah JOJIANA Allahyarham Hasbullah di IJN, Kuala Lumpur
semalam.
PEMERGIAN pengulas sukan
terkenal negara, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, 63, semalam merupakan satu
kehilangan besar buat industri sukan negara.
Demikian titah Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Baginda bertitah, negara
kehilangan ikon penyiaran sukan yang berkaliber dan kredibiliti arwah dalam
membuat ulasan sukan perlu dicontohi pengulas sukan yang ada sekarang.
Tengku Abdullah mengakui
terkejut ketika dimaklumkan tentang kematian pengulas sukan tersohor negara itu
ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM,
Kelana Jaya, Petaling Jaya.
“Saya masih ingat lagi masa
zaman muda-muda dulu, saya mengenali beliau (Allahyarham) sebagai seorang yang
mahir dalam bidang sukan. Saya minat dengan gaya ulasan beliau,” titah baginda
kepada pemberita di bilik mayat Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara
semalam.
Sebaik mendapat
perkhabaran tersebut, baginda bergegas ke IJN dan sempat menziarahi jenazah
arwah sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Bukit Naga, Shah Alam
untuk urusan pengebumian.
Turut berada di IJN bagi
memberi penghormatan terakhir ialah Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia
(MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad, penggiat seni dan bekas pengulas sukan, Datuk
Rahim Razali selain rakan dan sanak-saudara Allahyarham.
Allahyarham yang menjalani
rawatan di IJN akibat komplikasi jantung sejak 4 Februari lepas, meninggal
dunia pada pukul 12.20 tengah hari dan meninggalkan isteri, Datin Hazida Alang
Ahmad, 58, selain empat anak serta tujuh cucu.
Sementara itu, anak
sulungnya, Jojiana, 37, ketika ditemui pemberita berkata Allahyarham amat tekun
dan sangat mencintai kerjayanya.
“Dia seorang ayah yang
bertanggungjawab, penyayang, mengambil berat dan sangat merendah diri. Dia
sebenarnya seorang yang pemalu, orang ramai ingat dia seorang yang banyak
cakap. Daripada segi kerja, dia seorang yang tekun dan bersungguh-sungguh
terhadap kerja.
“Malah masa masuk ke
hospital pun, dia masih nak laptop (komputer riba) untuk menaip skrip,”
katanya.
Menurut Jojiana, masalah
komplikasi jantung yang dihidapi Allahyarham dikesan ketika membuat pemeriksaan
di sebuah klinik berhampiran kediaman mereka selepas Allahyarham mengadu sakit
di bahagian kaki dan sukar untuk berjalan.“Bila menjalani pemeriksaan di
hospital selepas itu, memang ada tiga saluran darah tersumbat pada jantung dan
kemudiannya dirujuk ke IJN. Kami ingat boleh buat bedah pintas (bypass) di IJN
tetapi doktor kata tidak boleh buat dan hanya boleh dilakukan pembedahan
memasukkan belon ke dalam saluran darah.
sumberArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3Rddcsasp
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment