Ad

Friday, 13 February 2015

Nik Aziz hembus nafas terakhir


 Oleh JULIA ISMAILjulia.ismail@kosmo.com.my
 
Pegawai perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia mengangkat Nik Aziz ke dalam ambulans untuk dibawa pulang ke kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu semalam.
Advertisement

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kanser prostat tahap empat di kediamannya di Pulau Melaka di sini malam tadi.

Menurut anaknya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohd. Abduh, Mursyidul Am Pas itu meninggal dunia di sisi ahli keluarga kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian malam semalam.

“Ayahanda meninggal dunia di sisi ahli keluarga pukul 9.40 malam tadi. Saya akan maklumkan urusan seterusnya kemudian. Urusan sembahyang jenazah dan pengebumian akan dilakukan esok (hari ini). Insya-Allah.

“Saya berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan arwah ayahanda,” katanya ketika menemui wartawan di luar pekarangan rumah mereka di sini semalam.

Allahyarham dikatakan menghidap penyakit kanser prostat sejak lima tahun lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati tidak sampai setengah jam selepas beliau diberitakan meninggal dunia, kediaman bekas Menteri Besar Kelantan itu dibanjiri ribuan rakyat yang bersedih dengan pemergiannya.

Jalan-jalan menuju ke Pulau Melaka di sini mulai sesak sejak pukul 9 malam apabila orang ramai berpusu-pusu ke kediaman Allahyarham selepas men­getahui Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka selama lima penggal itu dibawa keluar dari HUSM kerana semakin tenat.

Tidak ketinggalan terdapat ramai orang yang sanggup berjalan kaki beberapa kilometer untuk ke Pulau Melaka kerana jalan yang terlalu sesak.

Terdahulu, Nik Mohamad Abduh pada sebelah petang menerusi laman Facebooknya turut memaklumkan kesihatan Nik Abdul Aziz semakin merosot.

“Tahap kesihatan ayahanda menurun selepas menjalani rawatan pada ulsernya semalam.

“Saya tidak pasti sama ada ayahanda akan dibenarkan pulang pada pagi esok sebagaimana dijadualkan,” katanya.

Nik Abdul Aziz merupakan antara tokoh pe­mimpin Pas yang paling dihormati apabila dilantik sebagai Mursyidul Am Pas sejak tahun 1995, malah menyandang jawatan Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun.

Allahyarham yang pernah mendapat pendidikan di Universiti Lahore, Pakistan dan Universiti Al-Azhar, Mesir meninggalkan seorang balu, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, 67, dan 10 orang anak.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3RcKzoknF Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment