SYED HESHAM SYED IDRIS | 03
Februari 2015 2:00 AM
NURSYUHADA JOHARI
TAIPING 2 Feb. - Masalah
hubungan cinta dipercayai menjadi punca seorang pelajar perempuan Universiti
Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang maut dalam keadaan menyedihkan apabila
lehernya dipercayai dikelar oleh teman lelakinya hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul
12 tengah hari di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit
Gantang di sini, mangsa, Nursyuhada Johari, 20, disahkan meninggal dunia
selepas dua jam bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala
Kangsar.
Pemangku Ketua Polis Daerah
Taiping, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kejadian berlaku ketika mangsa
dan teman lelakinya berusia 25 tahun, menaiki kereta jenis Proton Perdana
menghala arah selatan.
Menurut beliau, sebelum
kejadian, terdapat saksi melihat pasangan tersebut bertengkar di dalam
kenderaan berkenaan sebelum kereta itu berhenti.
“Saksi kemudiannya melihat
seorang perempuan keluar dari tempat duduk pemandu dan terjatuh ke atas lebuh
raya. Seorang penumpang lelaki kemudian keluar dan cuba menarik gadis terbabit
ke kiri jalan.
“Kejadian itu menarik perhatian
pengguna lebuh raya lain yang turut berhenti untuk membantu,” katanya ketika
dihubungi di sini hari ini.
Ismail memberitahu, selepas
menarik mangsa, lelaki berkenaan melarikan diri ke hutan berhampiran, namun
datang semula ke lokasi kejadian untuk mengambil telefon bimbitnya yang
tertinggal di dalam kereta.
Ujarnya, orang ramai yang
menyedari kejadian itu bertindak memberkas suspek dan menyerahkannya kepada
polis.
Tambahnya, punca sebenar mangsa
dikelar masih dalam siasatan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian
berpunca daripada masalah percintaan.
“Pemeriksaan di tempat kejadian
menemukan sebilah pisau lipat yang dipercayai dibuang oleh suspek di bawah
bukit di tepi lebuh raya berkenaan.
“Kita masih menunggu laporan
bedah siasat,” katanya yang turut mengesahkan kes tersebut disiasat di bawah
Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu menurut saksi kejadian
yang merupakan ejen insurans, dia mendengar suspek berkata ‘tak mampus lagi
ke?’ selepas ternampak seorang perempuan keluar dari tempat pemandu kereta
Proton Perdana di lorong kiri lebuh raya,
Katanya, selepas itu dia
melihat seorang lelaki keluar dari kereta dan menarik mangsa ke tepi besi
penghadang lalu melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.
“Lelaki itu kemudiannya kembali
ke tempat kejadian dan mengambil telefon bimbit di dalam kereta.
“Suspek menelefon seseorang
sambil meminta maaf dengan berkata dia telah buat silap.
“Dia kemudian melihat mangsa
sambil berkata: “Dia belum mampus ke?,” katanya.
Suspek dipercayai menghubungi
ahli keluarganya dan memberitahu perbuatannya itu.
Menurut saksi itu lagi, lelaki
tersebut kemudian cuba melarikan diri ke dalam hutan semula tetapi berjaya
diberkas oleh orang ramai.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pelajar-uitm-mati-selepas-leher-dikelar-1.55478#sthash.6mvHZ4wU.dpuf
No comments:
Post a Comment