SUFIAN HADI MOHD. SOJAK | 11
Februari 2015 1:20 AM
SHAH ALAM – Bermula dengan
langkah kiri dalam perlawanan pembukaan Liga Super musim ini memang terlalu
pahit untuk ditelan oleh Selangor, namun kekalahan sulung itu dijadikan titik
permulaan oleh Mehmet Durakovic dan Red Giants untuk mengesan kelemahan di
peringkat awal dan bangkit dalam perlawanan seterusnya.
Mehmet Durakovic
Setelah tewas 2-0 kepada
Terengganu di tempat lawan, mereka sekali lagi akan berhadapan dengan cabaran
getir, menentang juara bertahan Piala Malaysia, Pahang di Stadium Darul Makmur
Sabtu ini.
Selangor kemudiannya akan
menentang juara bertahan dan pemenang perlawanan sumbangsih, Johor Darul Ta’zim
(JDT) sebelum bertemu pendatang baharu Liga Super, PDRM yang merupakan juara
Liga Perdana musim lalu.
Pemain pertahanan Selangor,
Azmi Muslim berkata masih terlalu awal untuk menilai keseluruhan prestasi dia
dan rakan-rakannya musim ini berdasarkan hanya satu perlawanan, tetapi dia
yakin skuad Red Giants belum cukup panas dan mampu bangkit pada perlawanan akan
datang.
“Bagi saya dalam perlawanan
pertama kami memiliki banyak peluang, cuma gagal memanfaatkannya. Selangor
masih berpeluang untuk bangkit dan kami akan cuba memperbaiki bahagian serangan
dan pertahanan kami supaya tidak dibolosi lagi pada masa akan datang.
“Tidak dinafikan, Pahang
merupakan pasukan yang kuat dan mereka dibarisi pemain berpengalaman. Jadi
buat masa ini kami cuba memperbetulkan segala kesilapan, mudah-mudahan kami dapat
buat yang terbaik apabila bertemu skuad Tok Gajah,” katanya ketika ditemui
selepas sesi latihan di Padang SUK, di sini semalam.
Selangor sekali lagi ditimpa
ujian apabila bintang sayap Indonesia, Andik Vermansah akan diketepikan dalam
aksi kedua di Stadium Darul Makmur nanti kerana mengalami kecederaan pada kaki
kiri.
Jurulatih Selangor, Durakovic
masih tercari-cari pengganti yang sesuai untuk mengisi posisi pemain sayap
kanan itu yang dikenali dengan gelaran Messi Indonesia.
“Kami cuba mencari pemain yang
boleh menggantikannya menerusi latihan. Rasanya, hari Jumaat nanti (sehari
sebelum perlawanan) saya akan putuskan.
“Cuma apa yang pasti dalam
perlawanan pertama kita banyak peluang. Tetapi kalau mencipta peluang sahaja
tetapi gagal diterjemahkan dengan jaringan akan menghalang sesebuah pasukan itu
mencatat kemenangan. Apa pun kami akan cuba menamatkan kemarau jaringan
secepat mungkin,” katanya.
Sumber-Utusan Malaysia online
11.2.15
No comments:
Post a Comment