Ahad, 1 Mac 2015 @ 12:48 AM
Oleh Wan Fakhrul Bakar-Faizul Azlan Razak Bashah Zainol Abidin dan Anis
Nabila Md Wazilah
bhsukan@bh.com.my
PEMAIN Selangor, Guilherme De
Paula (kanan) diasak pemain FELDA United, Shukor Adan dalam perlawanan Piala FA
di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Selangor bernafas
lega apabila bangkit secara dramatik untuk mara ke pusingan ketiga Piala FA
selepas menewaskan FELDA United 4-2 menerusi sepakan penalti dalam pertarungan
sengit di Stadium Selayang, malam ini.
Satu ketika, bekas juara itu
seperti mahu tersingkir apabila lawan mendahului 2-0 tapi berjaya memberi
cabaran untuk terikat 2-2 dan mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum ia
ditentukan menerusi penalti.
T-Team turut bergelut pada
saingan pusingan kedua apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0
pada masa tambahan selepas permainan 90 minit pertama berakhir tanpa jaringan
di laman sendiri.
Pasukan lain yang mara adalah
Terengganu yang mudah menewaskan Melaka 3-1 di Stadium Hang Jebat manakala
Lions XII dari Singapura membaham PB Melayu Kedah 4-0 di Alor Setar dan Pulau
Pinang menang tipis 1-0 ke atas Perlis.
Terdahulu pada masa sebenar,
gol pertama FELDA United kendalian bekas jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu
Salim hadir pada minit ke-47 menerusi sepakan penalti Bojan Miladinovic selepas
Makeche dijatuhkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.
Belum sempat Selangor bernafas,
FELDA United menambah gol kedua pada minit ke-50 menerusi rembatan kencang
Makeche yang gagal diselamatkan Norazlan.
Selepas FELDA mengendurkan
asakan, Selangor berjaya mencuri kesempatan itu dengan merapatkan kedudukan
menerusi rembatan kencang Ahmad Hazwan Bakri dalam kotak penalti pada minit
ke-78 menewaskan Farizal Harun.
Ketika Selangor di ambang
penyingkiran, De Paula berjaya menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-88
untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
PEMAIN T-Team, Mohd Nor Hakim
Hassan (dua dari kanan) diasak oleh pemain ATM, Hairuddin Omar pada aksi Piala
FA di Stadium Sultan Ismail, Kuala Terengganu malam ini. - Foto Aswadi Alias
Di Kuala Terengganu, ATM
menggigit jari apabila tersingkir selepas tunduk 0-3 kepada T-Team di Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Perlawanan terpaksa dilanjutkan
di masa tambahan selepas menyaksikan kedua pasukan terikat tanpa jaringan
hingga tamat 90 minit permainan.
Jaringan yang ditunggu-tunggu
akhirnya menjelma hasil tandukan Farhod Tadjiev berpunca sepakan sudut pemain
gantian, Muhammad Safawi Rasid minit ke-100.
Muhammad Safawi mempamerkan
aksi cemerlang apabila melepaskan rembatan lencong terus menerjah jaring minit
106.
Dua minit berselang, Farhod
terus menghukum pasukan yang beraksi dalam Liga Super itu apabila melepaskan
rembatan deras menewaskan penjaga gol, Razi Effendi Suhit.
Di Georgetown, Pulau Pinang
mara ke pusingan ketiga selepas menewaskan Perlis 1-0 di Stadium Bandaraya, di
sini.
Gol tunggal skuad Harimau
Kumbang itu dihasilkan oleh Mohd Faiz Subri melalui sepakan percuma pada minit
ke-71 perlawanan.
Percubaan Lee Gil Hoon dan Mohd
Azinee Taib untuk menambah jaringan untuk Pulau Pinang gagal apabila sepakan
masing-masing terkena palang dan berjaya diselamatkan penjaga gawang Perlis.
PENJAGA gol Kedah United, Mohd
Sheril Anuar menepis keluar bola dalam perlawanan Piala FA menentang Lions XII
di Stadium Darulaman malam ini. - Foto Amran Hamid
Di Stadium Darulaman, Kedah
United memulakan perlawanan dengan begitu yakin dan hampir memperoleh gol
pertama pada minit ke-23 tetapi sepakan kencang Wan Syukri terkena palang gol
pelawat dan terselamat seketika pintu gol Lions XII.
Akhirnya pelawat berjaya
menghukum Kedah United apabila bola tendangan sudut oleh Mohd Faris Ramli
berjaya ditanduk oleh rakan sepasukannya, Mohd Afiq Yunos melepasi jangkauan
penjaga gol tuan rumah, Mohd Sheril bagi Lions XII mendahului 1-0.
Pelawat menjaringkan gol kedua
pada minit ke-47 menerusi Mohd Afiq Yunos apabila tandukannya hasil sepakan
sudut diambil oleh Mohd Faris Ramli melepasi jangkauan Mohd Sheril.
Pada minit ke-62 pemain
pelawat, Quak Jun Yi berjaya menewaskan Sheril sekali lagi dan menolak bola
masuk ke pintu gol yang sudah terbuka luas bagi mengukuhkan kedudukan pasukan
pelawat.
Lions XII terus menambah
penderitaan Kedah United apabila tandukan Mohd Shahril gagal di selamatkan oleh
penjaga gantian tuan rumah, Firdaus Che Ani yang baru beraksi selama 10 minit
sebelum jaringan ini.
PENJAGA gol Perlis, Muhd
Fakhrul cuba menyelamatkan bola daripada serangan pemain Pulau Pinang (jersi
biru) dalam perlawanan Piala FA pusingan kedua di Stadium Bandaraya di sini,
hari ini. - Foto BERNAMA
sumber-BERITA HARIAN ONLINE 1.3.2015
No comments:
Post a Comment