Ad

Friday 20 February 2015

SEJARAH PENERBITAN PENGASUH 1918-1955

OLEH- AHMAD BIN YAAKOB


1.0   PENGENALAN
Akhbar-akhbar Melayu yang diterbitkan sejak abad ke-19 merupakan satu sumber sejarah kerana setiap satunya merakam peristiwa sejarah semasa masing-masing. Menurut Khoo Kay Kim, “Akhbar memang biasa digunakan sebagai sumber sejarah; tetapi tidak ramai sebenarnya yang banyak bergantung kepada akhbar Melayu untuk menulis sejarah masyarakat Melayu pada hal bilangan akhbar Melayu, sepanjang abad ke-20, melebihi bilangan akhbar Inggeris…”.[1] Bagi Roff pula, “…untuk seorang ahli sejarah akhbar dan majalah yang lama-lama itu merupakan suatu alat perakaman yang amat mustahak dan berguna. Mustahak, bukan saja kerana pada halaman-halamannya diriwayatkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku, tetapi adalah kerana akhbar-akhbar itu menggambarkan dan menjelaskan  fikiran dan perasaan orang-orang yang hidup ketika itu.”[2]  Manakala menurut Ahmat Adam, akhbar amat penting “…untuk meluahkan rasa prihatin masyarakat terhadap pihak berkuasa atau pemerintah mengenai sesuatu dasar dan tindakan yang melibatkan kepentingan umum.[3]

      Seterusnya, makalah yang terkandung di dalam akhbar-akhbar itu ada juga menghuraikan peristiwa-peristiwa sejarah sebelumnya. Contohnya, akhbar Chahaya Pulau Pinang yang menyiarkan makalah riwayat hidup Stamford Raffles yang bertajuk “Darihal Pegawai Yang Mengambil Akan Singapura.” [4] Pengasuh pula menyiarkan rencana  yang bertajuk, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam.”[5] Segala perkara yang terakam dalam akhbar itu dapat menyumbang kepada timbunan sumber sejarah. Walaupun sebahagian daripada rakaman tersebut asalnya bukanlah sebenarnya catatan sejarah. Walau bagaimanapun makalah yang terdapat di dalam akhbar itu perlu dinilai ketepatan fakta sejarah supaya objektif kebenaran sejarah adalah sah.

      Unsur historiografi atau pensejarahan yang terkandung atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar Melayu kuat dipengaruhi oleh pendirian individu, pengaruh zamannya, dasar kerajaan pada zaman penjajahan British yang menyekat kebebasan akhbar dan organisasi,[6] atau pengarang yang membuat penilaian moral dan komen mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri.

            Memandangkan akhbar merupakan bayangan falsafah hidup masyarakat setempat, maka lahirlah akhbar-akhbar yang mencerminkan falsafah itu. Misalnya  Pengasuh, Neracha dan Saudara mencerminkan unsur keagamaan. Isi kandungan Neracha dan Saudara, “…cenderung ke arah perjuangan reformasi Islam,iaitu satu gerakan untuk memurnikan kembali ajaran Islam dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam dan umatnya.”[7] Menurut Md. Sidin Ahmad Ishak, “…terdapat editor dan penulis Pengasuh yang turut memperjuangkan idea Kaum Muda.”[8] Bagi Khoo Kay kim pula, akhbar-akhbar bercorak keagamaan ini membincangkan segala masalah orang Melayu “…daripada perspektif agama Islam.”[9] Dari segi karya pensejarahan pula akhbar-akhbar ini, “…memberi tumpuan penulisannya adalah kepada pensejarahan Islam.”[10] 

      Manakala menurut Muhd. Yusuf Ibrahim, akhbar yang sekular orientasinya seperti Chahaya Pulau Pinang, Lembaga Melayu,Utusan Melayu, Warta Malaya, Warta Ahad dan Lembaga Malaya “…penulisan pensejarahan itu tidak tertumpu kepada pensejarahan Islam, malah kepada peristiwa sejarah seperti sejarah tempatan, sejarah Eropah, tokoh,peperangan, malah sejarah akhbar/ majalah itu sendiri.”[11] Roff pula menyatakan, “ terdapat surat-surat khabar mingguan dan harian yang tiada hubungan dengan agama bernama Utusan Melayu (1907-21) dan Lembaga Melayu (1914-31). Kedua-dua unsur tersebut adalah bentuk-bentuk nilai yang menyelubungi masyarakat Melayu ketika akhbar-akhbar itu berperanan.

            Selain dari itu kecenderungan pengisian bahan-bahan penulisan di dalam akhbar-akhbar juga ditentukan oleh jangka hayat sesebuah akhbar, dasar kerajaan, batasan sumber kewangan atau pembiayaan dan sambutan pembaca. Contohnya Jawi Peranakkan yang jangka hayatnya agak panjang iaitu 19 tahun telah menyiarkan berita-berita yang berlaku “…di negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan di daerah -daerah seperti Lingga, Jawa Barat, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Sumatera Timur dan Brunei. Untuk kaum pedagang Jawi Peranakan menyiarkan harga barang-barang dagangan seperti timah, gambir,lada hitam, lada putih…”.[12] 

      Akhbar Peridaran Syamsu Wal-Kamar, Nujumul Fajar dan Idaran Bintang Timor gagal menyaingi Jawi Peranakan dan “…tidak sempat hidup lama lantaran kepicikan pelanggan.”[13] Akhbar Pemimpin Warita (1895-1897) juga tidak panjang umurnya “…kerana kesulitan mendapat sokongan pembaca dan langganan yang tetap, Pemimpin Warita diberhentikan penerbitannya pada penghujung bulan Ogos 1897.”[14]   

      Sementara itu, Cahaya Pulau Pinang (1900-1908) yang cuma mempunyai empat halaman turut memuatkan pensejarahan tempatan dan luar negeri. Contohnya “Darihal Duli Tengku Diauddin Yang Maha Mulia”[15] dan “Istanbul”.[16] Tetapi akhbar ini cuma hidup lapan tahun setengah dan terkubur pada 28 Mac 1908,[17] kerana tidak mendapat sambutan. Bagi mengulas fenomena ini, Khoo Kay Kim menegaskan, “…mengeluarkan akhbar dan majalah pada masa dahulu bukanlah satu jenis perniagaan yang begitu viable. Bukan hanya pasarannya terbatas bahkan pengedarannya sudah tentu menimbulkan masalah terutamanya pada waktu sebelum Perang Dunia II kerana sistem perhubungan masih belum begitu efisien.”[18]

      Pendapat ini diperkukuhkan lagi oleh Hj.Muhammad Mohd. Said yang mengatakan; “…kehidupan surat-surat khabar Melayu dan lainnya, sekiranya tiada siapa yang gemarkannya dan tiada pula dibayar  wang yuran langganannya tentulah ia tiada hidup dengan berpanjangan umur.”[19] Beliau juga menegaskan bangsa Melayu yang berpendidikan ketika itu menganggap, “…membaca surat khabar itu disifatkan suatu perkara yang tiada memberi faedah dan jauh sekali mereka itu hendak berlanggan dan membayar yurannya.”[20]

      Manakala Utusan Melayu dan Lembaga Melayu yang pro-kerajaan hidup segar kerana dibantu oleh akhbar Inggeris Singapore Free Press dan Malaya Tribune. Pengasuh pula walaupun mengalami kerugian akibat langganan tidak dibayar terus juga diterbitkan kerana ia merupakan lidah rasmi  Majlis Ugama dan Istiadat Melayu Kelantan.[21]

      Berdasarkan contoh-contoh tadi jelaslah bahawa makalah pensejarahan Melayu dimuatkan berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa dan batasan kewangan. Ini kerana pelanggan akhbar ketika itu tidak ramai dan lebih meminati karya sastera seperti pantun, cerpen, syair, cerita adat dan hikayat. Contohnya akhbar Jawi Peranakkan yang mempunyai empat halaman tidak mementingkan makalah pensejarahan, sebaliknya “…separuh isinya dipenuhi dengan iklan.”[22] Natijahnya dari sudut historiografi, maka nilai pensejarahan yang terkandung atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar turut dipengaruhi oleh unsur-unsur yang disebutkan tadi.

            Salah sebuah akhbar penting yang menyumbang kepada pensejarahan Melayu ini baik secara positif dan negatif ialah Pengasuh. Bagi memahami peranan Pengasuh dari segi pensejarahan Melayu ada lebih baik kita tinjau kedudukan peranan dan sumbangan akhbar lain yang wujud sebelum dan semasa dengan Pengasuh. Dengan ini kita dapat membuat penilaian sejauh manakah akhbar-akhbar yang wujud menjadi penyumbang kepada pensejarahan Melayu dalam bentuk atau kebolehan masing            -masing apabila dibandingkan dengan akhbar Pengasuh yang menjadi fokus utama kajian ini.

      Kaedah ini akan meningkatkan lagi cara pengukuran terhadap Pengasuh dari segi historiografi kerana Pengasuh umumnya merupakan sebuah akhbar yang sensitif kepada keperluan rakyat dan menjadi sumber sejarah orang awam serta kepada penulisan sejarah dari bawah yang melibatkan rakyat biasa. Antara sumbangan Pengasuh kepada pensejarahan Melayu ialah menyumbangkan   pensejarahan sosial, pensejarahan riwayat hidup tokoh, pensejarahan politik dan ekonomi, kemasyarakatan, keagamaan, tatanegara, peperangan dan pensejarahan bahasa.



              [1] Khoo Kay Kim, Majalah dan Akhbar Melayu Sebagai Sunber Sejarah, Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1984,  hlm.5.
              [2]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, Monograf Persekutuan Bahasa Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1967,hlm.7.
              [3]Ahmat Adam, Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas , hlm.30.
              [4] Chahaya Pulau Pinang, 29 Disember 1900, hlm.2-3.
              [5]Syed Abu Bakar Abdullah Al-Attas, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam, Pengasuh, Bil.611, 20 Mei 1937, hlm. 1-2.
              [6]Undang-undang hasutan diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat  di bawah Ordinan No.11,1915 apabila dunia antarabangsa sedang mengalami peperangan. Pihak berkuasa kolonial di Malaya semakin berhati-hati tentang sentimen anti-British. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu,kawalan penerbitan yang mengendungi unsure hasutan dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi di bawah Public Emergency Enactment 1917. Untuk keterangan lanjut lihat Md. Sidin Ahmad Ishak, Penerbitan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, KualaLumpur, 1998, hlm.253-266.
              [7]Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia , Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2001, hlm.324.
              [8]Editor tersebut ialah Tok Kenali dan Hj.Muhammad bin Muhammad Said. Lihat Md. Sidin Ahmad Ishak, Penerbitan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998,hlm.61.
              [9]Khoo Kay Kim, Majalah dan Akhbar Sebagai Sumber Sejarah, hlm.7.
              [10] Muhd. Yusuf Ibrahim,Pensejarahan Melayu 1800-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,1994, hlm.143.
              [11]Ibid., hlm.143.
              [12]Ahmat Adam, Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1994,  hlm.59.
              [13]Ibid., hlm.62.
              [14]Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu ,hlm. 1776.
              [15]Chahya Pulau Pinang, 26 Januari 1901, hlm.2. 
               [16]Chahya Pulau Pinang, 6 Ogos 1904, hlm.2.
              [17]Chahya Pulau Pinang, 28 Mac 1908, hlm.1.
              [18]Khoo kay Kim, Majalah dan Akhbar Melayu Sebagai Sumber Sejarah, hlm.6.
              [19]Rencana Pengarang, “Kehidupan Surat-Surat Khabar Melayu dan Kemajuannya,”Pengasuh, Bil.52, 30 Julai 1920, hlm.1.
              [20]Ibid., hlm.1.
              [21]Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dieja Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan kerana ejaan tersebut merupakan ejaan asal yang terdapat di dalam Pengasuh.
              [22]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu,hlm.9.

No comments:

Post a Comment