Ad

Wednesday, 25 February 2015

Johor DT mula langkah bergaya



Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my
 
SAFEE (kiri) meraikan kejayaan Safiq menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti ketika membantu Johor DT menewaskan East Bengal 4-1 dalam aksi Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam tadi.

SEPAKAN akrobatik penyerang negara, Safee Sali menghiasi persembahan bergaya skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) apabila wakil negara itu memulakan kempen Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan menewaskan wakil dari India, East Bengal FC 4-1 pada aksi pertama Kumpulan F di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam tadi.

Turun pada penampilan sulung dalam kempen kelab di Asia itu, skuad kendalian Bojan Hodak memburu kemenangan pertama dalam tiga perlawanan selepas tewas 0-1 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seri 1-1 dengan Selangor dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu.

Setelah merombak hampir keseluruhan skuad yang seri dengan Selangor tempoh hari dengan merehatkan tiga pemain import, Luciano Fiugueroa, Jorge Pereyra Diaz dan Marcos Antonio, percaturan Hodak menurunkan Safee Sali buat kali pertama sebagai penyerang mereka membuahkan hasil apabila pemain itu menyumbang gol pertamanya buat Johor DT dengan sepakan akrobatiknya.

Sebelum itu, strategi 4-5-1 yang digunakan Hodak jelas berhasil apabila pasukan juara Liga Super 2014 tersebut terlebih dahulu memperoleh tiga gol menerusi Nazrin Nawi, Safiq Rahim dan S. Chanturu sebelum tendangan akrobatik Safee melengkapkan tiga mata pertama mereka di hadapan lebih 12,000 penyokong sendiri.

Pada perlawanan semalam, kedua-dua pasukan bermula agak hambar pada awal permainan dengan saling menguji benteng pertahanan lawan masing-masing dengan hantaran jauh.

Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan mula mendapat rentak yang dicari apabila melancarkan beberapa percubaan tepat ke atas pintu gol East Bengal FC menerusi percubaan Safee, Safiq dan Chanturu.

Johor DT akhirnya berjaya memperoleh gol pertama pada minit kesembilan apabila Nazrin Nawi menewaskan penjaga gol lawan, Abhijit Mondal menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti selepas Chanturu dijatuhkan.

Namun, pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35 selepas sepakan penyerang import Nigeria, Soleye Ranti Martins menerusi sepakan percuma tertampan kepada pemain Johor DT, sekali gus menewaskan penjaga gol Mohd. Izham Tarmizi.

Begitupun kedudukan 1-1 itu tidak bertahan lama apabila Johor DT kembali di depan hasil sepakan penalti Safiq dua minit kemudian selepas bola terkena tangan pemain pertahanan East Bengal FC.

Namun, babak kedua mula menyaksikan Harimau Selatan bermula dengan garang dengan meledakkan gol ketiga menerusi Chanturu yang menerima hantaran cantik Jasazrin Jamaluddin setelah pemain itu bijak melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-47.

Selepas itu tiba pula giliran penyerang negara, Safee untuk menggamatkan stadium Larkin ini apabila menambah gol keempat Harimau Selatan dengan sepakan akrobatiknya selepas menerima hantaran lambung yang cantik daripada pemain sayap, Nazrin.

Meskipun East Bengal FC cuba mengejar kedudukan dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah pintu gol tuan rumah, namun keputusan itu terus kekal sehingga tamat permainan.

Selepas ini, Johor DT akan berkunjung ke Stadium Jalan Besar pada 10 Mac depan untuk menentang wakil Singapura, Balestier Khalsa bagi aksi kedua Kumpulan F.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3SlmFTFdeHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment