Ad

Friday, 29 July 2016

Pengalaman bertempur dengan 400 pengganas komunis di Gubir

ARKIB : 02/04/1998
Tetapi bayangkan jika anda bersama 60 rakan tentera bertempur dan berbalas tembakan dengan 400 musuh dalam hutan, tentunya suatu pengalaman yang sukar dilupakan.

Inilah yang dialami oleh Kapten Sudirman Ahmad, 49, ketika bertugas dalam Rejimen Gerak Khas (RGK) atau komando sekitar tahun 1970-an.

Pengalaman menggempur kem pengganas komunis di sebuah perkampungan kecil di sempadan Malaysia-Thailand, 24 tahun lalu, masih segar dalam ingatan Sudirman.

Ketika itu, beliau berusia 23 tahun, dan tidak dapat melupakan detik-detik cemas bersama anggota-anggotanya yang terpaksa bertarung dengan maut untuk menghapuskan musuh negara.

Sudirman yang mengetuai skuadron bersama 60 anggota komando, diarahkan ke Gubir untuk menyerang kem komunis yang terbesar di kawasan sempadan, yang dipercayai dihuni 400 pengganas komunis.

Oleh kerana perkampungan tersebut dikawal ketat oleh pihak pengganas serta dipercayai dipasang dengan 3,600 jerangkap samar, kesemua anggota pasukannya dihantar untuk menyerang kem tersebut menggunakan helikopter pada waktu malam.

Menurut beliau, segala-galanya berjalan lancar sehingga kedatangan mereka disedari pihak pengganas dan bermulalah pertempuran di antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, pertempuran hampir setengah jam antara kedua-dua belah pihak telah mengorbankan 11 anggotanya.

''Bayangkanlah kekuatan anggota kami hanya 60 orang dan pengganas ketika itu menyerang dengan kekuatan 400 anggota.

''Namun kami tetap bertahan walaupun 11 dari kami telah terkorban,'' katanya mengingati detik-detik cemas ketika operasi di Gubir pada tahun 1974.

Bagaimanapun katanya, 22 pengganas berjaya ditewaskan dan ini menyemarakkan lagi semangat mereka untuk terus bertempur sehingga enam hari enam malam bagi melumpuhkan kekuatan pengganas, walaupun tidak mendapat sebarang bantuan pada waktu itu.

Hari seterusnya kata beliau, sebuah helikopter bersama 11 anggota tentera termasuk dua orang anggota komando menyerang dari udara tetapi malangnya kesemua mereka terkorban kerana helikopter tersebut meletup akibat serangan balas dari pengganas.

Selepas peristiwa itu katanya, mereka diarahkan berundur seketika setelah kawasan pertempuran dimusnahkan dengan tembakan meriam daripada pasukan bantuan dari luar kem.

''Kami terpaksa maju ke hadapan walaupun diarah berundur kerana tiada tempat yang selamat dan hampir kesemua kawasan dipasang jerangkap samar,'' katanya.

Beliau sendiri tercedera akibat terkena tembakan dan hampir terkena jerangkap samar tetapi nasib masih menyebelahinya dan beliau terselamat.

Akhirnya kata beliau, mereka sampai ke kawasan bukit dan berlindung di atas kawasan itu sementara menunggu bantuan datang.

Pada sebelah malam katanya, sebuah helikopter datang untuk mengeluarkan mereka dari kem tersebut dengan melakukan 14 penerbangan ulang-alik.

Tetapi katanya, 15 orang anggotanya terpaksa bertahan di atas bukit kerana pihak pengganas telah mengetahui kedatangan bantuan udara itu dan mereka terpaksa menghentikan penerbangan kerana kawasan bukit telah dikepung.

Kesemua 15 anggotanya terpaksa berundur dan melarikan diri menuju hutan dan sesat selama dua hari di situ. ''Sepanjang dua hari itu, mereka telah bertembung dan bertempur dengan pengganas beberapa kali, sebelum diberi bantuan keluar dari hutan berkenaan,'' katanya menamatkan cerita.

Kini, walaupun telah bersara beliau masih aktif dengan menganggotai Kelab Bekas Komando dan menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat di samping mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan.

Oleh: AZIAN ABD AZIZ

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz4Fqdm63qY © Utusan Melayu (M) Bhd

Iswara Aeroback baru dijual lebih murah

ARKIB : 01/04/1998
KUALA LUMPUR 31 Mac - Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) akan menjual kereta baru model Iswara Aeroback bukan automatik pada harga RM29,683 seunit mulai esok.

Penolong Pengurus EON, T.Khirlinah T. Khadtap berkata, harga tersebut jauh lebih murah dari harga asal dan tawaran istimewa itu dibuat bagi meringankan beban orang ramai yang ingin memiliki kereta baru.

''Harga seunit kereta berkenaan dibuka seiring dengan sambutan 'April Fool' dan akan berterusan sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, mulai 1 April semua pembeli kereta Iswara Aeroback berhak untuk menikmati harga berkenaan tanpa sebarang keraguan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_05.htm#ixzz4FqUkGnJL © Utusan Melayu (M) Bhd

P. Ramlee...kekayaannya tidak disingkap

ARKIB : 01/04/1998
Pada 22 Mac lalu adalah ulang tahun kelahiran seniman tersohor, P. Ramlee. Dan kalau hayatnya masih ada, P. Ramlee telah berusia 70 tahun. Tahun ini juga masyarakat pelbagai kaum dan darjat telah suku abad kehilangan seniman yang disifatkan sebagai milik rakyat ini.

Pelbagai gelaran diberikan kepada P. Ramlee termasuk seniman agung dan Tan Sri; gelaran paling tinggi yang pernah dimiliki oleh seniman negara ini.

Sekalipun telah suku abad meninggal dunia tetapi poskad P. Ramlee tentang isu sosial seperti dalam Antara Dua Darjat, Penarik Beca, Semerah Padi atau trilogi Bujang Lapuk terus ditatap oleh generasi hari ini.

Bagi kebanyakkan orang, P. Ramlee adalah seniman besar yang pernah dilahirkan oleh dunia kepulauan Melayu ini. Beliau menguasai semua bidang dalam seni; berlakon, menyanyi, berlawak mengarah dan mencipta lagu.

Bakat P. Ramlee memang luar biasa dan sukar dimiliki oleh seniman lain kalau mengambilkira penguasaannya dan penerimaan masyarakat terhadap karya filem dan muziknya.

Baru-baru ini sempena memperingati hari lahir P. Ramlee ada dianjurkan persembahan Pandanglah Lihatlah. Antara isi kandungan persembahan itu ialah memperagakan pakaian P. Ramlee dan Saloma serta menyanyikan lagu-lagu P. Ramlee.

Majlis seperti ini bukannya tidak boleh dianjurkan sebagai memperingati P. Ramlee tetapi sewajarnya ada acara lain yang lebih mengenengahkan atau membongkarkan pemikiran luar biasa P. Ramlee.

Karya-karya P. Ramlee adalah milik masyarakat dan P. Ramlee perlu diketengahkan sebagai seniman yang menjadikan zaman kegemilanganya di Jalan Ampas sebagai ruang untuk mengubah pemikiran masyarakat.

Sejak 25 tahun lalu hingga kini nampaknya belum ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk memartabatkan P. Ramlee sebagai seniman besar setaraf dengan khazanah seni yang ditinggalkan.

Lebih malang lagi bagi sesetengah pihak isu royalti karya P. Ramlee lebih penting daripada menyelongkar ''kekayaan'' dalam karya-karya P. Ramlee. Isu royati P. Ramlee boleh diselesaikan dengan saluran yang betul dan itu bukan isu masyarakat.

Malanglah bagi P. Ramlee kalau khazanah yang ditinggalkan tidak ditelaah oleh generasi anak cucunya. Bagi seniman sehebat dan dihormati seperti P. Ramlee, nilai karyanya bukan terletak kepada royalti kerana itu bukan isu sejagat.

Banyak orang terlupa bahawa P. Ramlee dalam konteks kita adalah John Wayne atau Orson Welles. Dan di mana-mana tempat di dunia tidak mempunyai banyak manusia seperti P. Ramlee. Kerana itu masyarakat dan negara wajar berbangga memiliki P. Ramlee.

Berbangga sahaja tidak ada membawa karya P. Ramlee ke martabat sewajarnya kalau tidak dirangsang ke arah membuat kajian yang menyeluruh ke atas seniman ini. Bayangkan setelah suku abad P. Ramlee meninggal dunia, belum ada usaha ke arah apresiasi untuk melihat P. Ramlee dalam konteks cinema dunia.

Saban tahun, P. Ramlee hanya dilihat daripada sudut yang membangkitkan nostalgia. Sedangkan tidak semua orang mempunyai nostalgia itu sekalipun mereka terpegun dengan sinikal Bujang Lapuk kritikan tajam dalam Antara Dua Darjat. Atas alasan itu, P. Ramlee perlu dilihat secara retrospektif.

Masyarakat tidak perlu merasa tersinggung kalau ada kalangan generasi muda yang melihat P. Ramlee daripada sudut pandangan yang agak provokatif. Barangkali masyarakat juga perlu realistik kalau ada generasi muda menganggap P. Ramlee mendahului pengagum Marxist atau sosialis mengecam golongan bangsawan.

Ada sesetengah pula menganggap, P. Ramlee bertanggungjawab menjadikan orang Melayu berjiwa kecil. Lihat sahaja imej manusia kaya yang digambarkan dalam filem P. Ramlee, mereka semua berpekerti buruk, tamak dan penindas yang tidak berperikemanusiaan.

Kekayaan bagi orang Melayu adalah suatu yang negatif malah boleh menjadikan seseorang itu menjadi seburuk Haji Bakhil dalam filem P. Ramlee.

Benarkah kesan daripada ketaksuban terhadap filem-filem P. Ramlee menjadikan orang Melayu kecil dan kerdil jiwa mereka? Ini kerana yang baik pekerti dan budinya adalah yang miskin melarat dan papa seperti watak lakonan P. Ramlee dalam filem-filemnya. Benarkah?

Sewajarnya ada apresiasi tentang P. Ramlee yang membuka atau mengupas tanggapan seperti ini tanpa sebarang segan silu. Kalau tangapan ini tidak benar, apa pula yang sebenarnya?

Apakah P. Ramlee berfahaman sosialis apabila melihat semua golongan bangsawan atau orang kaya sebagai musuh nombor satunya? Semua ini menuntut pengkajian yang menyeluruh tentang P. Ramlee. Karya P. Ramlee harus dilihat sebagai arkib yang merakamkan pengaruh seniman dalam budaya popular pada zaman awalnya.

Tentunya ia tidak ada terjawap kalau sekadar persembahan dan artis generasi hari ini memakai kaca mata hitam imej Panca Sitara atau sketsa filem komedi P. Ramlee. Sebagai seniman besar, P. Ramlee perlu dilihat dengan pemikiran yang lebih besar daripada isu remeh yang mengaibkan P. Ramlee.

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_02.htm#ixzz4FqL7kvPS © Utusan Melayu (M) Bhd

Lenggong bandar kecil bersejarah

RKIB : 01/04/1998
Daerah kecil Lenggong terbentang dari utara, iaitu dari Kenering yang terletak 25 kilometer dari pekan Lenggong, sehingga ke Pulau Kemiri di selatan, yang juga terletak kira-kira 25 kilometer dari pekan Lenggong. Jarak sejauh 50 kilometer itu adalah mengikut jalan raya yang bengkang bengkok.

Lenggong juga dikelilingi oleh banjaran gunung yang indah pemandangannya. Sesekali kita dapat melihat kabus tebal menutup puncak banjarannya. Jika menaiki kereta dari Kuala Kangsar, satu-satunya jalan raya dari bahagian selatan, akan kelihatan Banjaran Gunung Bintang di sebelah kiri jalan.

Gunung Bintang merupakan puncak tertinggi di banjaran tersebut. Tinggi puncak gunung tersebut melebihi 1,860 meter. Di sebelah kanan, terdapat pula Banjaran Gunung Titiwangsa yang agak jauh ke timur letaknya. Dari banjaran ini mengalir Sungai Perak.

Kerana dilingkungi oleh banjaran gunung itulah daerah kecil ini dinamakan 'Lenggong', yang berasal daripada perkataan 'lengkung'. Lengkung bermakna kawasan yang dilingkungi banjaran gunung. Akhirnya perkataan itu disebut 'Lenggong' oleh orang luar, terutamanya orang Siam yang datang dari utara.

Terdapat juga cerita lisan yang menyatakan perkataan 'Lenggong' disebut oleh orang putih yang masuk ke daerah Lenggong pada zaman awal penjajahan Inggeris di Perak. Orang putih sukar menyebut 'lengkung'.

Kerana pelat, orang putih menyebut 'lengkung' sebagai 'Lenggong'. Inilah cerita tentang asal usul 'Lenggong'.

Ada satu cerita lain pula, kononnya terdapat kayu yang terselit di celah batang sebuah pokok besar.

Kedudukan batang kayu yang terpanggung itulah bermulanya perkataan 'lengkung', kemudian disebut 'Lenggong'. Sebagai mengingati perkara itu, satu replika kedudukan kayu itu dibuat di Taman Rekreasi Kg. Raban dekat Lenggong.

Di daerah kecil Lenggong ini terdapat ratusan kampung Melayu tradisional. Ada kampung yang terletak di sepanjang tebing Sungai Perak. Ada pula di sepanjang jalan raya, bermula dari Kampung Pulau Kemiri di selatan hinggalah ke Kampung Sumputan di sebelah utara.

Saya hanya ingat beberapa buah kampung yang terletak di sepanjang tebing Sungai Perak, seperti Kampung Bukit Sapi, Chepor, Kampung Beng, Kampung Luat dan Kampung Temelong.

Di sepanjang jalan raya, beberapa kampung yang mempunyai ramai penduduk ialah Kampung Chain, Kampung Kota Tampan, Kampung Changkat Berangan, Kampung Banggul Belimbing, Kampung Gelok, Kampung Sekolah Lama (atau disebut juga Kampung Masjid Lama), Kampung Kubang Jambu, Kampung Senerelai, Kampung Sira, Kampung Telok Batu, Kampung Labit, Kampung Kota, Kampung Bukit Nangka, Kampung Lohor, Kampung Tasik, Kampung Hulu Lenggong, Kampung Hulu Jepai, Kampung Sumpitan dan kampung-kampung lain.

Kampung Masjid tempat saya dilahirkan mempunyai sejarah yang tersendiri. Di kampung inilah masjid pertama di daerah kecil Lenggong didirikan. Dikatakan masjid itu didirikan pada pertengahan abad ke-19 oleh sekumpulan orang Melayu dari Patani, di Selatan Thailand. Mereka datang ke kampung saya kerana berundur daripada serangan kerajaan Siam.

Kampung Masjid juga dikenali Kampung Sekolah, kerana di kampung inilah juga sekolah Melayu pertama didirikan, iaitu pada tahun 1880. Di sekolah inilah orang tua saya mula dididik pada 1916.

Ketika Inggeris mula-mula menjajah Perak, Kampung Masjid menjadi pusat pentadbiran daerah kecil Lenggong. Sebab itulah Kampung Masjid Lama Lenggong dipilih bagi didirikan Sekolah Melayu pertama dan masjid pertama. Di kampung ini juga didirikan rumah kadi daerah Lenggong. Kadi Lenggong pada zaman Inggeris, Haji Hashim, pernah tinggal di rumah kadi yang terletak berhadapan Sekolah Melayu Lenggong. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Sufian Hashim, anak Haji Hashim, pernah tinggal di rumah tersebut semasa kecil.

Berdekatan dengan rumah saya ada gunung kecil, iaitu gunung Tasik dan Gunung Gajah. Tidak jauh dari kedua-dua gunung itu, terdapat pula banjaran gunung yang bersambung dengan Banjaran Gunung Bintang.

Semua penduduk kampung tahu bahawa gunung kecil di belakang rumah saya yang terletak kira-kira 300 meter dari ruang dapur rumah mempunyai gua yang boleh dimasuki. Di pintu selebar kira-kira tiga meter lebih terdapat pula sebuah batu sebesar badan kerbau yang terbujur ke luar dari dindingnya.

Pada zaman dahulu kala, menurut cerita orang tua kampung saya, batu itu dianggap keramat. Sesiapa sahaja yang mempunyai hajat dan memohon kepada batu itu, seperti meminjam pinggan mangkuk dan kuali, biasanya hajatnya akan dipenuhi.

Kononnya, menurut orang kampung saya lagi, kerana ada orang yang meminjam tidak memulangkan apa yang dipinjamkan, lama kelamaan batu yang dianggap keramat itu tidak dapat memenuhi permintaan yang dipohon kepadanya.

Tidak jauh dari Gua Tasik, terdapat pula gua Gunung Runtuh. Padanya terdapat dinding batu yang sentiasa retak dan runtuh, lalu orang kampung menamakannya sebagai 'Gunung Runtuh'. Profesor Datuk Siti Zarina Abdul Majid, seorang pakar kaji purba (Arkeologi) dari USM, Pulau Pinang pernah membuat kajian di gua Gunung Runtuh. Khabarnya satu rangka manusia telah ditemui di situ.

Di Banjaran Gunung Gajah, terdapat banyak pokok paku aji yang agak ganjil kerana tumbuh di celah-celah batu dan tidak pula tumbang ketika hujan lebat. Ada orang kampung mencari rezeki di gunung tersebut dengan mengambil pokok paku aji untuk dijual. Pokok paku aji yang tingginya tidak lebih satu atau dua meter dijual dengan harga antara RM100.00 hingga RM300.00 sebatang.

Menurut cerita pencari pokok paku aji, kebanyakan pembeli datang dari Kuala Lumpur. Mereka berminat dengan pokok yang rupa daunnya semacam pokok paku, dan batangnya seperti batang kelapa. Tumbuhan ini ada juga ditanam di beberapa buah taman di Kuala Lumpur, Ipoh, dan Pulau Pinang. Barangkali tempat asalnya ialah di Gunung Gajah.

Banjaran Gunung Bintang terletak sekitar tiga empat kilometer dari rumah saya. Sewaktu bersekolah, saya menatapi banjaran itu dengan penuh perasaan. Pada waktu pagi, puncak banjaran itu sentiasa diselaputi kabus. Jika terdapat kabus, minyak nyiur yang digunakan oleh emak saya untuk menggoreng ikan menjadi beku. Kabus dari banjaran yang sejauh itu sampai juga ke kampung saya.

Ramai penduduk kampung dan orang luar yang datang ke Lenggong mengetahui tentang beberapa buah gunung kecil yang bersambung dengan Banjaran Bintang. Agak jauh sedikit dari Gunung Tasik dan Gunung Gajah, ada beberapa buah gua yang bersejarah. Ahli-ahli sejarah dan kaji purba amat tertarik dengan Gua Gendang, Gua Badak, Gua Puteri, Gua Kajang, Gua harimau, Gua Ular, Gua Tukang dan puluhan gua lagi yang terdapat di sekitar rumah saya.

Saya masih ingat, beberapa pakar arkeologi dari Barat pernah datang mengkaji gua tersebut. Kononnya, gua tersebut tempat tinggal manusia zaman purba.

Bukan Orang Putih sahaja datang mengkaji gua tersebut, bahkan para penyelidik tempatan pernah juga datang membuat kajian. Gua Puteri dan Gua Kajang yang jauhnya kira-kira dua kilometer dari kampung kelahiran saya sangat istimewa bagi penduduk kampung. Kononnya pada zaman dahulu Gua Puteri ialah sebuah dewan istana yang sangat indah dengan segala macam perhiasan.

Menurut cerita lisan yang tersebar luas di kalangan ahli masyarakat kampung saya pada masa dahulu ada seorang yang sangat masin mulutnya, bernama 'Sang Kelembai'. Jika dia menegur sesuatu pastinya yang ditegur itu akan menjadi batu.

Kononnya pada suatu hari Sang Kelembai sampai ke istana raja. Ketika itu upacara perkahwinan seorang puteri raja sedang berlangsung. Semasa puteri raja sedang bersanding di atas pelamin Sang Kelembai tiba serta menegur puteri raja yang sedang bersanding itu.

Serta merta puteri raja dan suaminya bertukar menjadi batu. Hingga sekarang lembaga puteri bersanding dalam istana itu masih ada di dalam gua yang sekarang dipanggil Gua Puteri.

Gua Puteri itu selalu saya lawati. Lembaga atau tuan puteri yang sedang bersanding itu telah dirosakkan oleh pelawat yang tidak bertanggungjawab. Sebahagian hidung, telinga, tangan dan jari kaki telah dipatah-patahkan.

Berhampiran Gua Puteri itu terdapat sebuah lagi gua, iaitu Gua Kajang. Menurut orang tua saya, mulut gua itu menjadi tempat kami sekeluarga berlindung semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Gua ini tidaklah begitu besar. Namun gua tersebut juga menjadi tapak kajian purba oleh Profesor Datuk Dr. Siti Zarina Abdul Majid.

Beliau menemui bermacam-macam artifak seperti kapak batu, periuk, belanga dan berbagai-bagai lagi.

Terdapat beberapa gua lagi yang ada hubung kait dengan zaman purba. Sebuah gua yang terletak jauh sedikit dari kampung ialah gua Lognai. Letaknya kira-kira 25 kilometer ke utara dari kampung saya. Menurut cerita orang kampung, Sang Kelembai terkurung di dalam gua itu dan tidak dapat keluar kerana pintu gua sekonyong-konyong tertutup oleh seketul batu besar.

Dekat rumah saya terdapat sebuah tasik yang terletak di kaki Gunung Tasik. Orang tua saya pernah mengatakan kepada saya bahawa tasik kecil di belakang rumah itu banyak menyimpan legenda. Selain beberapa jenis ikan yang tidak terdapat di tempat lain, di dalam tasik itu juga terbenam pinggan mangkuk dan barangan antik. Artifak itu ada yang dibuang oleh orang tertentu atas sebab tertentu pula.

Orang tua saya juga pernah menceritakan kepada saya sewaktu tentera Jepun masuk ke Hulu Perak, ramai orang kampung lari ke hutan. Ada yang bersembunyi di dalam gua, termasuk keluarga saya yang berlindung di Gua Kajang.

Seorang pegawai Melayu yang bekerja di Pejabat Tanah Lenggong, daripada keluarga Diraja Perak, terpaksa meninggalkan rumah sewanya yang terletak berdekatan dengan masjid lama Lenggong.

Pemilik rumah tersebut ialah Haji Hamid yang sudah lama bermastautin di Mekah. Beberapa orang pencuri memasuki rumah yang ditinggalkan itu. Mereka mencuri pinggan mangkuk dan perkakas rumah milik keluarga Diraja tersebut. Pinggan mangkuk tersebut semuanya ada lambang diraja Perak.

Atas beberapa sebab tertentu, pencuri tersebut membuang segala pinggan mangkuk yang dicuri itu ke dalam tasik. Orang tua saya melihat sendiri bagaimana pencuri tersebut membaling satu demi satu pinggan mangkuk ke dalam tasik. Tentulah segala khazanah antik itu masih tersembunyi di dasar tasik tersebut.

Tetapi orang tua saya juga memberitahu bahawa di dasar tasik itu terdapat banyak banyak bom tangan dan segala macam peluru, senapang yang dibuang oleh tentera Jepun sebelum menyerah diri pada 1945.

Berhampiran kampung saya, ada sebuah kampung, Kampung Jambu. Jauhnya kira-kira satu kilometer dari rumah kelahiran saya. Kampung Kubang Jambu ialah tempat moyang dan datuk sebelah ibu saya bermastautin.

Di Kampung Kubang Jambu juga terdapat sebuah tasik. Di dalamnya tumbuh sejenis pokok yang kayunya lembut dan boleh dibuat penyumbat (tutup botol). Orang kampung menamakannya pokok jambu laya. Daripada nama pokok itulah tasik tersebut diberi nama Kubang Jambu, tanpa disebut tasik. Mengapa demikian halnya tidaklah pula saya ketahui dengan jelas.

Nama 'kubang' lebih sesuai kerana banyak kerbau yang berkubang di situ ketika panas terik. Kubang yang luas kira-kira satu ekar dan dipenuhi pokok jambu itu ada penumpangnya, iaitu sejenis ikan yang panjangnya sampai dua meter. Orang kampung menyebutnya ikan limbat, tetapi bukan seperti ikan limbat yang pernah saya lihat di pasar pekan Semenyih, Selangor.

Saya pernah mengail ikan di Kubang Jambu. Rupanya seperti ikan keli sebesar lengan dan ada yang panjang hampir 1 1/2 meter. Ikan ini suka menggigit.

Jadi saya berhati-hati apabila kail mengena ikan berwarna kuning seperti ular tedung selar itu. Orang kampung tidak makan ikan yang serupa ular itu. Kata mereka, haiwan tasik makan bangkai ayam yang dibuang ke dalam tasik.

Air Kubang Jambu tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau. Kononnya Kubang Jambu adalah milik sekeluarga Orang Bunian. Menurut seorang penduduk yang tinggal hampir tasik tersebut, dia sering melihat Orang Bunian mandi di tasik itu. Saya anggap cerita tersebut cerita rakyat zaman dahulu kala.

Oleh: N.A HALIM

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4FqGjHGWw © Utusan Melayu (M) Bhd

PENGISYTIHARAN MEMERANGI PENGGANAS KOMUNIS DI SEMPADAN TANAH MELAYU-SIAM DITANDATANGANI

Pada  hari  ini  dalam  tahun 1960, satu  pengisytiharan untuk memerangi pengganas komunis di sempadan Tanah  Melayu-Siam telah  ditandatangani.  Upacara  yang  berlangsung  di  Kuala  Lumpur  ini  telah  dilakukan  oleh  Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan  Persekutuan  Tanah  Melayu, Datuk Abdul Razak bin Hussein.  Pengisytiharan ini  telah  berkuatkuasa  mulai  1 Ogos 1960 dan  ianya  turut  terkandung di  dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 yang  mengandungi  butir-butir  lengkap  berkaitan  penetapan daerah  keselamatan di sempadan Tanah Melayu-Siam. Kawasan yang ditetapkan meliputi  bahagian  timur  Perlis  dan  Kedah,  bahagian  Utara  Perak  serta  bahagian utara  dan  barat  negeri  Kelantan.  Antara  Peraturan  keselamatan  Dalam  Negeri  yang  telah  ditetapkan  dalam  pengisytiharan  tersebut  ialah  peraturan umum yang meliputi pembinaan  pagar  berduri  dan  kuatkuasa mengawasi pembersihan belukar dalam kawasan  keselamatan  sempadan   serta  sekatan  dan  larangan  ke  atas  barang-barang  makanan  dan  bekalan.   Sesungguhnya,  pengisytiharan   yang  dibuat  ini  merupakan  antara  langkah  awal  yang  telah  diambil  oleh  Kerajaan  Persekutuan  Tanah  Melayu dan  Siam  untuk  mewujudkan  keamanan  dan  keselamatan di sempadan  secara  bersama  demi  mengekalkan  kemerdekaan  negara.

PERDANA MENTERI MALAYSIA TUN ABDUL RAZAK BIN HUSSIEN TELAH MERASMIKAN PERHIMPUNAN GERAKAN BELIA 4B MALAYSIA

Belia memainkan peranan penting kepada pembangunan sesebuah negara. Bagi Malaysia dengan kemajuan-kemajuan yang dicapai oleh pergerakan-pergerakan Belia telah meninggikan lagi taraf dan kedudukan ekonomi penduduk-penduduk di dalam dan luar bandar. Pada hari ini 29 Julai 1974, Perdana Menteri Malaysia YAB. Tun Abdul Razak bin Hussien telah merasmikan Perhimpunan Gerakan Belia 4B Malaysia di Johor Bahru, Johor. Turut serta di Majlis Perhimpunan tersebut ialah YB. Datuk Mohamad Rahmat dan YB. Datuk Haji Othman Saat. Perhimpunan Gerakan Belia 4B diadakan, selain daripada bertujuan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, ianya juga bertujuan untuk memupuk sikap bekerjasama dan persefahaman antara Persatuan -persatuan Belia 4B Malaysia. Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri berkata bahawa adalah lebih berkesan jika semua pertubuhan belia dan lain-lain mengembelingkan tenaga dan bekerjasama di dalam projek-projek yang menyeluruh dan membawa manfaat yang lebih besar kepada negara. Beliau juga berterima kasih kepada pimpinan Pergerakan Belia 4B di atas sokongan dan kerjasama serta khidmat bakti mereka yang banyak untuk faedah belia khasnya dan faedah masyarakat amnya. Sesungguhnya dengan adanya perhimpunan Pergerakan Belia 4B Malaysia diharap akan mewujudkan Belia Malaysia yang berilmu, berakhlak mulia, berbudaya luhur dan berketrampilan dengan berasaskan pembangunan belia yang seimbang di semua bidang kehidupan di samping memiliki semangat patriotik dan budaya kerja cemerlang demi kepentingan agama, bangsa, negara dan dunia sejagat.

Ulu Kenas tumpuan di musim panas


 

ARKIB : 29/03/1998

GUA Bama yang terletak di Kampung Relong, Kuala Lipis terkenal kerana keindahan alam semula jadi dengan Sungai Teris yang mengalir tenang di kakinya.

Keadaan menjadi bertambah panas di mana-mana mengikut tahap dan cita rasa masing-masing.

Walaupun masing-masing sedang tenang menghadapi kegawatan cuaca dan ekonomi, namun warga Malaysia tetap berusaha mengatasinya dengan pelbagai cara mengikut keupayaan setiap individu.

Bagi mengatasi keadaan yang begitu panas, ramai warta kota berpendapat masalah ini boleh diatasi dengan menghabiskan masa seperti berehat di pantai, berendam di dalam kolam air ataupun mandi di air sungai yang sejuk dan nyaman rasanya.

Jadi dalam mencari kesejukan itu, tidak hairanlah mengapa ramai masyarakat kota memilih kawasan berbukit, hutan rimba dan tidak kurang mencari air jeram juga air terjun untuk menyejukkan suasana sambil berehat daripada memikirkan suasana yang gawat sekarang.

Kerana itu tidak hairanlah tempat-tempat rehat seperti di Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak, menjadi kawasan pilihan ramai warga kota untuk bersantai sambil mandi manda. Tidak kurang juga yang mengambil peluang untuk bermalam di kawasan yang sejuk itu untuk mencari ketenangan.

Ulu Kenas terletak 13 kilometer dari bandar di raja Kuala Kangsar, ia merupakan sebuah tempat rekriaksi yang menjanjikan suasana damai, sejuk airnya yang mengalir dari celah-celah batu bukit dan dikelilingi oleh hutan simpan negeri.

Malah bagi yang ingin bermalam, beberapa buah calet disediakan, di sini juga terdapat sebuah kem bina semangat yang selalu digunakan oleh beberapa buah pertubuhan sukarela dan kerajaan bagi aktiviti mereka, terutama yang berkaitan dengan program motovasi.

Selain dari hari-hari biasa, Ulu Kenas sentiasa menjadi tumpuan orang ramai ketika musim cuti sekolah dan cuti hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.

Pada setiap Sabtu dan Ahad penggunjung tidak menghadapi masalah dalam mendapat bekalan makanan, kerana di sini terdapat pelbagai makanan yang dijual oleh penduduk tempatan dengan kadar harga yang berpatutan.

Ulu Kenas benar-benar menjanjikan kepuasan oleh kerana pelbagai keperluan asas terdapat di sini dan keadaan suasana tempatnya mendamaikan.

Oleh: MAZNAH MOHAMAD

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4FoHF9QGr © Utusan Melayu (M) Bhd

KEPUTUSAN MASA PERTAMA

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Kedah 0 : 0     Johor Darul Ta'zim II
Sarawak          0 : 2     T-Team

Melaka United            0 : 0     Felda United

Thursday, 28 July 2016

Khairul Hafiz cipta rekod kedua dalam masa 24 jam


KHAIRUL HAFIZ JANTAN

28 Julai 2016 6:32 PM
  
KUCHING 28 Julai - Raja Pecut Sukma, Khairul Hafiz Jantan membuktikan seleranya belum berkurangan apabila berjaya memecahkan rekod kejohanan acara 200 meter petang ini, kurang 24 jam selepas mencipta rekod kebangsaan 100 meter.
KHAIRUL HAFIZ JANTAN
Catatan 21.14 saat di pusingan separuh akhir acara 200m di Stadium Sarawak itu mengatasi rekod 14 tahun milik bekas pelari pecut negara berasal dari Terengganu, Nazmizan Muhammad iaitu 21.33s yang dilakukan di Sukma 2002 di Sabah.
Persembahan cemerlang Khairul Hafiz itu pasti menjanjikan sesuatu yang menarik di final yang akan diadakan pada pukul 9.30 pagi esok.
"InsyaAllah...saya akan cuba buat yang lebih baik esok," katanya kepada pemberita.
Atlet berusia 18 tahun dari Melaka itu pernah mencatat masa 21.01s di separuh akhir Kejohanan Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh, sebelum berpuas hati dengan 21.15s di perlumbaan akhir untuk membawa pulang pingat perak.
Ketika ini rekod kebangsaan 200m masih milik Tan Sri M. Jegathesan iaitu 20.92s yang dicatat di temasya Sukan Olimpik 1968 di Mexico.
Atlet muda itu kini menjadi sebutan selepas berjaya memecahkan rekod 100m 10.30s berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan baharu 10.18s, semalam. - BERNAMA

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/khairul-hafiz-cipta-rekod-kedua-dalam-masa-24-jam-1.363252#sthash.VygTxr85.dpuf

BUNGA RAYA DIISYTIHARKAN SEBAGAI BUNGA KEBANGSAAN

Pada hari ini 28.7.1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Sebelum pengisytiharan ini dibuat, Menteri Pertanian Persekutuan Tanah Melayu telah meminta pandangan umum tentang pemilihan bunga kebangsaan. Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk pemilihan iaitu; bunga kenanga, bunga raya, bunga melur, bunga teratai, bunga mawar, bunga cempaka dan bunga tanjung.

Mengikut pemilihan umum, bunga mawar telah mendapat undian paling besar dari penduduk Pantai Timur sementara penduduk Pantai Barat memilih bunga melur. Walau bagaimanapun, Kerajaan telah memilih bunga raya untuk dijadikan Bunga Kebangsaan berdasarkan kriteria-kriteria berikut:  
(a) Bunga raya terkenal di kalangan masyarakat -contohnya ialah bunga ini dijadikan pagar rumah. 
(b) Warnanya menandingi warna bunga-bunga lain, warnanya hidup, gembira, girang, gilang-gemilang dan merah itu melambangakan keberanian. 
(c)  Kelopaknya yang lebar dan melentur tidak kurang cantiknya daripada bunga-bunga lain.
(d) Pokoknya berbunga sepanjang masa dan tidak ada musim. la boleh ditanam dengan mudah, cuma disemai dari potongan dahannya sahaja.
Bunga raya juga dikenali sebagai "Queen of Tropical Flowers". Bunga raya telah digunakan sebagai simbol untuk logo, lencana, bendera, setem, sampulsurat dan tekstil seperti batik dan songket.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Khairul Raja Pecut Malaysia

 
KUCHING – Angka ‘18’ nampaknya membawa tuah kepada pelari pecut Melaka, Mohd. Khairul Hafiz Jantan.

Mana tidaknya, semalam, atlet berusia 18 tahun itu mencipta kejutan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-18 apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara tersebut iaitu 10.30s yang juga sudah berusia 18 tahun.

Catatan yang dilakukan oleh Khairul pada perlumbaan akhir acara 100m di Stadium Sarawak, Petra Jaya itu juga ada kaitannya dengan angka ‘18’ iaitu 10.18s.

Pencapaian yang dilakukan oleh Khairul itu memusnahkan rekod lama milik bekas atlet Sarawak, Watson Nyambek yang melakukannya pada kejohanan Pra-Sukan Komanwel 1998 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pada perlumbaan semalam, Khairul yang berlari di lorong ketiga, mengetepikan cabaran dua lagi pencabar terkuatnya, Jonathan Nyepa (Sarawak) dan Badrul Hisyam Abdul Manap (Melaka) untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Melaka.

Jonathan dan Badrul yang melakukan catatan masa 10.36s pada perlumbaan tersebut, masing-masing mendapat perak dan gangsa.

Dalam aksi saringan pada sebelah pagi semalam, Khairul sekadar melakukan catatan masa 10.46s yang sudah cukup untuknya layak ke final.

Lariannya pada perlumbaan akhir itu ternyata berbeza apabila melakukan permulaan yang kemas dan pada pertengahan saingan, langkahnya semakin kemas untuk terus memecut tanpa dapat dicabar sehingga ke garisan penamat.

“Saya langsung tak jangka dapat pecahkan rekod (kebangsaan). Saya hanya berlari untuk mengejar masa, pencapaian ini memang tak pernah saya sangka.

“Gembira, memang gembira sebab rekod kebangsaan berusia 18 tahun sudah saya atasi,” ujar atlet Melaka tersebut ketika ditemui pemberita sejurus selepas pihak teknikal Sukma mengeluarkan catatan rasmi bagi acara berkenaan.

Ditanya mengenai faktor yang mendorongnya untuk melakukan catatan di luar jangkaan, Khairul berkata, beliau tidak pernah melupakan kewajipan mendirikan solat.

“Solat adalah kekuatan. Menghormati ibu bapa, jurulatih dan orang yang lebih tua juga menjadikan saya tidak berasa tertekan.

“Badrul juga antara pendorong terhadap keinginan saya untuk mencapai kejayaan. Dia banyak memberi dorongan kepada saya untuk buat yang terbaik. Saya anggap dia seperti abang kandung sendiri,” tambah pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu lagi.

Pada bulan Jun lalu, Khairul turut melakar nama selaku raja pecut Remaja Asia apabila meraih pingat emas acara 100m dengan catatan 10.36s pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2016 di Vietnam.

Dia juga merupakan satu-satunya wakil negara yang berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir acara 100m pada kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland minggu lalu dengan catatan masa 10.58s.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4FiWtRQvD Hakcipta terpelihara