Ad

Thursday, 28 July 2016

Menjaga keindahan asli Tasik Bera

ARKIB : 19/03/1998
 
KAWASAN Tasek Bera ini masih terpelihara.

SELAMATKAN tanah lembap, kekalkan alam anugerah Tuhan, demi masa depan kehidupan sejagat dan anak-anak generasi akan datang.

Siapakah lagi yang perlu menangani perkara itu jika tidak kita? Bertindaklah sekarang sebelum segalanya terlambat.

Mungkin masej itu nampak mudah dan sudah terlalu biasa, tetapi itulah yang terus dilaung dan diulang oleh mereka yang mengerti akan pentingnya mengawal kemusnahan alam anugerah Tuhan untuk keperluan hidupan seluruh umat masa kini dan akan datang.

Namun, laungan dan slogan sahaja tidak akan ke mana jika ia tidak disertakan dengan tindakan dan usaha berterusan untuk mengingat dan terus mengingat golongan yang melihat alam sekeliling hanya untuk keuntungan atas nama pembangunan dan kemajuan.

Lazimnya pula, setiap kali berlaku pertukaran pemimpin kawasan, daerah mahupun negeri, setiap kali itulah berlaku sedikit demi sedikit 'penghapusan' ke atas kawasan yang dikategorikan sebagai 'hutan simpan' dan alam semula jadi.

Dan saban tahun juga akan menyaksikan taman-taman hidupan liar dan pusat-pusat yang digazetkan sebagai taman rekreasi serta 'hutan simpan' akan melalui proses pengecilan terutama untuk 'dibandarkan' dengan pembinaan resort mewah yang serba lengkap.

Keaslian alam dengan kebebasan habitat flora dan fuana yang menjadi penghuninya disingkir samada dengan sengaja atau pun tidak, meskipun hidupan itu sebenarnya tersimpan berjuta nikmat dan bertimbun khasiat bagi keperluan untuk menangani segala macam 'penyakit manusia' dan sekutunya yang terwujud oleh pasca kemodenan global.

Menyedari hakikat semakin terhapusnya bertimbun kepentingan dari sumber alam semula jadi itulah, Wetlands International Asia-Pasifik (WTAP) melalui skim DANCED yang dibiaya oleh kerajaan Denmark tampil meneruskan misi menyelamatkan flora dan fuana serta keasliannya demi masa depan manusia sejagat.

Dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang di bawah Projek Pengurusan Bersepadu Tasek Bera (PPBTB) melalui kontrak tiga tahun bersama WTAP, Tasek Bera sejak tahun 1994 telah diwartakan sebagai kawasan tanah lembap untuk kepentingan antarabangsa.

Sebagai sebuah badan gabungan pertubuhan antara kerajaan (Inter-Goverment Organisation - IGO), WTAP dipertanggungjawabkan mengetuai projek kaji selidik bagi mencari, mengenal pasti dan mempertahan serta mengekalkan habitat spesies di situ dari kemusnahan serta mengeksploitasikannya secara terkawal untuk kepentingan manusia.

Malah, WTAP yang turut beroperasi di Australia, Kemboja, China, Indonesia, Jepun dan Thailand adalah badan pertubuhan yang punya kepakaran dalam pelbagai rancangan pemuliharaan serta pengawalan ekologi, taksiran kesan persekitaran, hidupan air, perhutanan, limnologi serta latihan dan kependidikan.

Tasek Bera adalah satu-satunya rangkaian tasek semula jadi terbesar dan terpanjang yang menakung keaslian air tasek di Malaysia dengan keluasan 61,000 hektar.

Daripada jumlah keluasan tersebut, 6,150 hektar kawasan tasek berkenaan dilingkungi timbunan tanah-tanah lembap yang kini menjadi sasaran utama dalam projek kelolaan WTAP.

Sebagai pertubuhan antara badan kerajaan, WTAP bergerak melaksanakan vision biodiversiti untuk menjaga dan mengekalkan seluruh jenis babitat dalam komuniti dan ekosistem yang terwujud oleh pengaruh air dan kawasan asli sekitarnya.

Projek sulong WTAP di bawah skim DANCED di Malaysia yang dikendalikan menurut konvesyen Ramsar yang berpangkalan di Gland, Switzerland itu mencangkupi kepentingan mengekal dan menjaga kumpulan habitat tanah lembap dan peranan tasek serta kawasan pinggirnya untuk kepentingan manusia.

Ia juga turut berperanan dalam membantu pelbagai masalah yang dihasil manusia pasca kemajuan global serta ancaman alam terutama kejadian banjir.

Melalui agenda konvesyen Ramsar yang dibawa oleh WTAP dengan Crawford Prentice sebagai ketua projek, PPBTB telah mengklasifikasikan kawasan yang berkeluasan 61,000 hektar itu kepada lima zon.

Zon teras (utama) atau core zone yang tertumpu kepada kawasan tanah lembap seluruh pinggir tasek melibatkan keluasan 26,000 hektar diikuti zon penahan (zone buffer) di sekeliling kawasan tanah lembap dan tasek seluas 27,500 hektar.

Bakinya adalah untuk zon hutan simpan di bahagian utara yang bersempadankan zon penahan disamping zon penempatan dan zon simpanan Orang Asli di timur dan barat kawasan tengah pinggir tasek (dalam kawasan tanah lembap).

Dengan pelbagai hidupan habitat air (tasek) yang hanya terdapat di Tasek Bera, kawasan berkenaan juga telah dikenal pasti mengandungi sekurang-kurangnya 106 jenis spesies ikan selain pelbagai spesis buaya serta hidupan liar darat termasuk harimau dan gajah yang hidup berkeliaran di hutan berkenaan.

''Tasek Bera adalah punca terpenting dalam menentukan kawalan limpahan air sungai di musim tengkujuh serta pembekal sumber keaslian terpenting pada kehidupan manusia khususnya pendudukan tempatan,'' kata Prentice.

Selaras dengan konsep dan matlamat dalam perlaksanaan di bawah konvesyen Ramsar yang ditubuh pada 3 Februari 1971 dengan penyertaan 102 buah negara sedunia, Tasek Bera kini telah menjadi pusat penyelidikan dan pengkajian spesis habitat pertama negara untuk para saintis, ahli geologis serta para pelajar institusi pengajian tinggi antarabangsa membuat kajian.

Kerajaan Negeri Pahang melalui Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) juga turut terlibat dalam melicinkan usaha WTAP dan PPBTB itu dengan membina sebuah jeti serta beberapa kemudahan awam di Sungai Bera untuk kemudahan perjalanan bot menyusuri sungai ke tasek.

Tanpa mengetepikan hak dan kepentingan penduduk asal Tasek Bera yang terdiri daripada Orang Asli dari suku Semelai pula, zon penempatan dan zon simpanan diperuntukkan khusus untuk mereka.

Penempatan dan zon simpanan Orang Asli merupakan salah satu usaha membendung kegiatan penerokaan hutan dan pemusnahan hidupan tanpa kawalan.

Selain itu, beberapa buah calet dan tapak perkhemahan turut disediakan bagi tujuan destinasi percutian kepada masyarakat yang gemarkan persekitaran alam semula jadi. Terletak ke barat laut daerah Temerloh dan bersempadankan daerah Bahau di Negeri Sembilan, Tasek Bera yang turut tersimpan pelbagai lagenda di dalamnya antara destinasi pelancongan unik untuk yang mencintai keunikan alam.

Malah ia seharusnya menjadi pusat eko-pelancongan yang kekal demi kepentingan khazanah alam yang tidak ternilai untuk keperluan hidup manusia akan datang.

Oleh: WAN RAHIMAH DERAMAN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4Fi6VjGUD © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment