Ad

Friday, 29 July 2016

PENGISYTIHARAN MEMERANGI PENGGANAS KOMUNIS DI SEMPADAN TANAH MELAYU-SIAM DITANDATANGANI

Pada  hari  ini  dalam  tahun 1960, satu  pengisytiharan untuk memerangi pengganas komunis di sempadan Tanah  Melayu-Siam telah  ditandatangani.  Upacara  yang  berlangsung  di  Kuala  Lumpur  ini  telah  dilakukan  oleh  Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan  Persekutuan  Tanah  Melayu, Datuk Abdul Razak bin Hussein.  Pengisytiharan ini  telah  berkuatkuasa  mulai  1 Ogos 1960 dan  ianya  turut  terkandung di  dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 yang  mengandungi  butir-butir  lengkap  berkaitan  penetapan daerah  keselamatan di sempadan Tanah Melayu-Siam. Kawasan yang ditetapkan meliputi  bahagian  timur  Perlis  dan  Kedah,  bahagian  Utara  Perak  serta  bahagian utara  dan  barat  negeri  Kelantan.  Antara  Peraturan  keselamatan  Dalam  Negeri  yang  telah  ditetapkan  dalam  pengisytiharan  tersebut  ialah  peraturan umum yang meliputi pembinaan  pagar  berduri  dan  kuatkuasa mengawasi pembersihan belukar dalam kawasan  keselamatan  sempadan   serta  sekatan  dan  larangan  ke  atas  barang-barang  makanan  dan  bekalan.   Sesungguhnya,  pengisytiharan   yang  dibuat  ini  merupakan  antara  langkah  awal  yang  telah  diambil  oleh  Kerajaan  Persekutuan  Tanah  Melayu dan  Siam  untuk  mewujudkan  keamanan  dan  keselamatan di sempadan  secara  bersama  demi  mengekalkan  kemerdekaan  negara.

No comments:

Post a Comment