Ad

Wednesday, 27 July 2016

DEB DAN KEDUDUKAN SYARIKAT MELAYU

ARKIB : 26/02/1998
KENYATAAN Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Tun Daim Zainuddin semalam bahawa bukan bumiputera boleh membeli saham syarikat bumiputera yang bermasalah sudah tentu memeranjatkan banyak orang. Sebenarnya Daim pernah menyentuh soal itu dalam satu wawancara dengan sebuah majalah berita serantau sebelum ini.

Kenyataan Daim disahkan semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri.

Tindakan itu sudah pasti membangkitkan kontroversi kerana maknanya cukup besar kepada negara dan orang Melayu. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia segera membuat reaksi ekoran kenyataan itu dan berpendapat langkah itu tidak bijak dan perlu dikaji semula.

Orang Melayu dan ahli perniagaan Melayu berhak menjadi risau dengan kenyataan itu. Mereka akan membaca bahawa tongkat sakti kerajaan yang telah menolong ahli perniagaan Melayu sewaktu Dasar Ekonomi Baru (DEB) bermula akan ditarik balik. Sebaliknya kerajaan akan membenarkan orang-orang korporat bukan Bumiputera mengambil alih pegangan saham usahawan bumiputera yang bermasalah itu - satu tindakan yang akan ditafsirkan menanggalkan apa juga kejayaan penyertaan orang Melayu dalam sektor korporat yang telah diinstitusi oleh DEB.

Memanglah dengan membenarkan penguasaan bukan bumi itu, kerajaan akan terdedah kepada dakwaan bahawa ia tidak lagi sensitif dalam menjaga kepentingan Melayu dalam bisnes. Malah pimpinan negara akan dituduh mengkhianati kepentingan sektor korporat Melayu yang selama ini telah dipayunginya. Malah lebih buruk lagi kerajaan akan dituduh menghalalkan apa sahaja cara demi menyelesaikan masalah semasa.

Kita percaya sekalipun kerajaan tidak boleh mengamalkan dasar menyelamat orang-orang korporat Melayu itu, namun kepentingan jangka panjang kepentingan Melayu akan dilakukan menggunakan pelbagai strategi baru yang lebih berkesan. Tentu kerajaan tidak tergamak melihat pencapaian membanggakan DEB itu musnah begitu saja.

Orang Melayu pastilah berasa lega kerana jaminan Perdana Menteri ialah hal itu hanya untuk sementara waktu. Lagi pula dalam menghadapi masalah sebesar itu, tentulah lebih baik sesebuah syarikat itu diselamatkan oleh orang yang lebih mampu dari dibiarkan hancur.

Kenyataannya ialah dalam hidup, ada kalanya kita perlu mengambil sikap yang pragmatik. Jika diberi pilihan, kita yakin dan percaya kerajaan tentulah akan membantu mereka yang bermasalah. Tetapi kedudukan ekonomi negara yang genting pada waktu ini, tidak membenarkan kerajaan berbuat demikian. Daripada membiarkan syarikat-syarikat itu jatuh ke dalam genggaman orang asing, tentulah lebih baik ia dibeli oleh warga Malaysia sendiri.

Sekurang-kurangnya syarikat itu masih milik kita. Segala keuntungan kekal di negara ini dan tidak mengalir keluar.

Sudah tentu bukan dengan cara pintu belakang, seperti memiliknegarakan dan kemudian menyerahkan kepada Melayu. Tetapi sebaliknya berasaskan matrik pasaran waktu itu. Cara ini akan menjadikan usahawan Melayu itu lebih dihormati.

Lagi pula ahli perniagaan Melayu sudah diperingatkan bahawa DEB tidak boleh kekal. Lambat laun naungannya akan ditarik kembali. Sepatutnya ahli perniagaan Melayu sudah bersedia menghadapi waktu hujan seperti sekarang. Terlalu lama dilindungi akan hanya menjadikan seseorang lemak dan berpuas hati.

Kenyataan hari ini memang pahit. Tetapi mungkin ada hikmahnya ubat yang pahit itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4Fbe6RjvL © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment