SUSUNAN SAIFUL HAIZAN
HASAM |
15 Julai 2016 12:07 AM
Atlet dalam acara trek bersiap
sedia di garisan pelepasan dalam Sukan Olimpik London 1948.
APABILA London diumumkan
sebagai tuan rumah Olimpik 1948, terdapat perdebatan sama ada temasya itu wajar
dianjurkan kerana dua edisi sebelumnya iaitu pada 1940 dan 1944 ia gagal
diadakan ekoran Perang Dunia II.
Antara yang dibangkitkan ialah
kewajaran menganjurkan festival sedemikian sewaktu banyak negara Eropah
mengalami kemusnahan teruk sehingga rakyatnya hampir kebuluran.
Bagaimanapun, melalui
pendekatan ‘penyesuaian pasca perang’, ia berjaya dilangsungkan dari 28 Julai
hingga 14 Ogos dan muncul antara temasya paling berjaya dan dikenang.
Dengan belanja penganjuran
sebanyak 730,000 pound sahaja, Olimpik tersebut diberi jolokan ‘temasya
berjimat cermat’ yang menyaksikan tiada kemudahan baharu dibina.
Stadium Wembley yang terselamat
dalam peperangan terbukti masih boleh digunakan dan ditingkatkan dengan
kemudahan trek sementara.
Bangunan kerajaan pula
dimanfaatkan sepenuhnya seperti untuk kegunaan petugas media.
Perkampungan Sukan juga tidak
dibina. Atlet lelaki ditempatkan di kem askar di Uxbridge, manakala atlet
wanita menginap di asrama Southlands College.
Atlet tuan rumah pula hanya
menginap di rumah masing-masing dan berulang alik ke venue pertandingan dengan
menaiki pengangkutan awam.
Turut kekurangan ialah bekalan
makanan sehingga penganjur menggalakkan negara peserta membawa makanan sendiri
bagi mengurangkan beban tuan rumah.
Mana-mana negara berkemampuan
disaran menderma makanan kepada negara lain.
Lebihan makanan yang dibawa
kemudian didermakan kepada hospital di Britain.
Dalam semangat Olimpik, banyak
negara menghulurkan bantuan, umpamanya Denmark yang membekalkan 160,000 biji
telur dan Belanda pula menghantar ratusan tan buah-buahan.
Langkah penjimatan turut
merangkumi kos penyediaan pingat sehinggakan pingat emas diperbuat daripada
perak yang teroksida.
Di sebalik kekurangan itu,
terdapat beberapa negara yang membuat kemunculan pertama Sukan Olimpik seperti
Burma, (kini Myanmar) Ceylon, Puerto Rico, Syria dan Venezuela.
Jerman dan Jepun pula yang
merupakan pihak yang agresif dalam Perang Dunia II tidak dijemput menyertai
kejohanan itu, manakala Kesatuan Soviet tidak menghantar wakil walaupun telah
diundang.
Temasya itu turut menampilkan
inovasi apabila blok bagi membantu pelari pecut memulakan larian mereka
diperkenalkan.
Penggunaan Kolam Renang Empire
yang boleh memuatkan 8,000 penonton juga mencatatkan sejarah Olimpik sebagai
venue acara akuatik pertama yang berlangsung di dalam premis berbumbung.
Memandangkan panjangnya
melebihi 50 meter yang menjadi syarat kolam renang Olimpik, penganjur memasang
platform kayu di salah satu penghujungnya untuk memendekkan jarak.
Platform itu digunakan untuk
menempatkan para juri dan pegawai pertandingan.
Buat kali pertama juga, acara
akuatik berlangsung di dalam kolam renang tertutup, tidak sebagaimana
kebiasaan.
Dalam aspek pertandingan,
Britain hanya memenangi tiga emas dan menamatkan saingan di tempat ke-12
keseluruhan.
Ini merupakan kali pertama
negara tuan rumah gagal menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.
Apapun, warna pingat dan
kemasyhuran bukanlah segala-galanya kerana apa yang lebih penting ialah
kejayaan London menganjurkan Sukan Olimpik walaupun dihimpit pelbagai kekangan
dan serba kekurangan.
-sumber-http://www.utusan.com.my/sukan/jimat-cermat-di-london-1948
1.353619#sthash.o8taqT4K.dpuf
No comments:
Post a Comment