Ad

Wednesday 27 July 2016

Taman Mahkota penyeri bandar Pasir Puteh

ARKIB : 26/02/1998 
UNIK...binaan model sebuah masjid dengan replika al-Quran di atasnya.

Taman Mahkota yang terletak di tengah kepesatan pembangunan bandar Pasir Puteh, Kelantan, menjadi tempat yang sesuai untuk melepaskan penat dan berekreasi pada waktu petang.

Pendek kata, taman ini menjadi penyeri kepada sesiapa sahaja yang datang ke Pasir Puteh.

Terletak di pinggir laluan utama Pasir Puteh ke Kota Bharu, taman ini dipagari oleh pokok-pokok bunga yang dijaga rapi oleh kakitangan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan menarik pandangan sesiapa sahaja yang melintasinya.

Taman ini juga menyediakan gelanggang bagi remaja-remaja yang ingin bermain kasut roda. Kepada mereka yang pentingkan penjagaan kesihatan bolehlah berjogging di laluan yang dibina di sekitar taman ini.

Kepada pengunjung yang berasa penat dan ingin berehat daripada kepanasan matahari, bolehlah berbuat demikian di beberapa buah wakaf yang terdapat di taman ini. Mereka boleh juga menikmati minuman dan makanan di warung berdekatan dengan taman ini.

Sebagai pelengkap kepada sebuah taman rekreasi, Taman Mahkota juga menyediakan kemudahan kepada kanak-kanak bermain.

Antaranya buaian, terowong bertingkat, besi berpalang dan yang menarik terdapat sebuah gelongsor dibina daripada simen dengan bumbungnya dihiasi ukiran menarik.

Lebih menarik lagi, di tengah-tengah taman ini dihiasi dengan model sebuah masjid berbentuk empat penjuru dengan replika kitab suci al-Quran di atasnya sebagai lambang keutuhan agama Islam.

Bagi menjaga taman ini supaya sentiasa bersih dan indah, beberapa buah tong sampah disediakan oleh pihak MDPP kepada orang ramai agar tidak membuang sampah merata-rata sehingga boleh menjejaskan kebersihan dan keindahan taman ini.

Oleh: H.C. Lee

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4Fba7GCf9 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment