PERLETAKAN BATU ASAS KOMPLEKS
PUSAT ISLAM KUALA LUMPUR 6.7.1973
Pada hari ini dalam tahun 1973,
satu upacara meletakkan batu asas Kompleks Pusat Islam telah dilakukan oleh
Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak. Kompleks itu yang terletak
berhampiran dengan Masjid Negara, merupakan bangunan yang menjadi lambang perkembangan
dan kebangkitan Islam di negara ini. Pembinaan Kompleks itu adalah bertujuan
menjadikannya pusat yang akan menempatkan Ibu Pejabat Majlis Kebangsaan Hal
Ehwal Agama Islam Belia Malaysia, Pusat Penyelidikan Islam, Institut Dakwah
Islamiah dan Institut Pengajian AI-Quran. Perdana Menteri dalam ucapannya,
telah menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan supaya satu kajian dibuat
untuk memperkemaskan penyusunan jentera Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam
Malaysia dan semua badan-badan serta institusi-institusi yang terletak di
bawahnya. Penyusunan semula itu akan membawa kepada usaha yang lebih teratur
dan dinamis untuk perkembangan dan kemajuan agama Islam di negara ini. Di
samping itu, Tun Abdul Razak juga menyeru kepada semua golongan umat Islam supaya
memperhebatkan lagi gerakan-gerakan memajukan agama Islam terutama gerakan
dakwah. Sehubungan dengan itu, beliau mengarahkan supaya sebuah Yayasan Dakwah
Islamiah disusun yang akan bertindak sebagai satu jentera pusat bagi menyelaras
dan mengembangkan usaha-usaha dakwah Islamiah di seluruh negara.
SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids
No comments:
Post a Comment