KUCHING – Angka ‘18’ nampaknya
membawa tuah kepada pelari pecut Melaka, Mohd. Khairul Hafiz Jantan.
Mana tidaknya, semalam, atlet
berusia 18 tahun itu mencipta kejutan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi
ke-18 apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara tersebut iaitu 10.30s yang
juga sudah berusia 18 tahun.
Catatan yang dilakukan oleh
Khairul pada perlumbaan akhir acara 100m di Stadium Sarawak, Petra Jaya itu
juga ada kaitannya dengan angka ‘18’ iaitu 10.18s.
Pencapaian yang dilakukan oleh
Khairul itu memusnahkan rekod lama milik bekas atlet Sarawak, Watson Nyambek
yang melakukannya pada kejohanan Pra-Sukan Komanwel 1998 di Stadium Nasional,
Bukit Jalil.
Pada perlumbaan semalam,
Khairul yang berlari di lorong ketiga, mengetepikan cabaran dua lagi pencabar
terkuatnya, Jonathan Nyepa (Sarawak) dan Badrul Hisyam Abdul Manap (Melaka)
untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Melaka.
Jonathan dan Badrul yang
melakukan catatan masa 10.36s pada perlumbaan tersebut, masing-masing mendapat
perak dan gangsa.
Dalam aksi saringan pada
sebelah pagi semalam, Khairul sekadar melakukan catatan masa 10.46s yang sudah
cukup untuknya layak ke final.
Lariannya pada perlumbaan akhir
itu ternyata berbeza apabila melakukan permulaan yang kemas dan pada
pertengahan saingan, langkahnya semakin kemas untuk terus memecut tanpa dapat
dicabar sehingga ke garisan penamat.
“Saya langsung tak jangka dapat
pecahkan rekod (kebangsaan). Saya hanya berlari untuk mengejar masa, pencapaian
ini memang tak pernah saya sangka.
“Gembira, memang gembira sebab
rekod kebangsaan berusia 18 tahun sudah saya atasi,” ujar atlet Melaka tersebut
ketika ditemui pemberita sejurus selepas pihak teknikal Sukma mengeluarkan
catatan rasmi bagi acara berkenaan.
Ditanya mengenai faktor yang
mendorongnya untuk melakukan catatan di luar jangkaan, Khairul berkata, beliau
tidak pernah melupakan kewajipan mendirikan solat.
“Solat adalah kekuatan.
Menghormati ibu bapa, jurulatih dan orang yang lebih tua juga menjadikan saya
tidak berasa tertekan.
“Badrul juga antara pendorong
terhadap keinginan saya untuk mencapai kejayaan. Dia banyak memberi dorongan
kepada saya untuk buat yang terbaik. Saya anggap dia seperti abang kandung
sendiri,” tambah pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu
lagi.
Pada bulan Jun lalu, Khairul
turut melakar nama selaku raja pecut Remaja Asia apabila meraih pingat emas
acara 100m dengan catatan 10.36s pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2016 di
Vietnam.
Dia juga merupakan satu-satunya
wakil negara yang berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir acara 100m pada
kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland minggu lalu dengan catatan masa
10.58s.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4FiWtRQvD
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment