PEMAIN skuad negara, Muhd. Naim
Mukhtar beraksi ketika menewaskan Singapura semalam.
SINGAPURA – Skuad bola sepak
negara menepati ramalan apabila berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas
Singapura pada aksi Kumpulan B temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Pusat
Sukan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) semalam.
Ia sekali gus melayakkan Malaysia
ke pentas separuh akhir selepas tuan rumah serta satu lagi pasukan dalam
Kumpulan B, Kemboja sekadar seri 1-1 pada aksi pembukaan kelmarin.
Ketua jurulatih Malaysia,
Khairun Haled Masron gembira menyaksikan kemenangan itu meskipun sedar
anak-anak buahnya tidak beraksi seperti jangkaan sebenar.
“Saya bersyukur kerana kami
berjaya mempertahankan satu gol ini untuk meraih tiga mata berharga. Mungkin
disebabkan faktor cuaca panas mereka tidak dapat bermain bagus.
“Kami bernasib baik menang
kerana ada banyak kelemahan dalam perlawanan ini terutama masalah komunikasi
dan keserasian antara penjaga gol dengan barisan pertahanan,” katanya.
Gol tunggal Malaysia diperoleh
menerusi tandukan pemain sayap kiri, Mohamad Khairul Nasreen Mohd. Sudin yang
memanfaatkan peluang sepakan penjuru pada minit ke-45.
Asakan bertali arus Singapura
pada babak kedua berjaya dikekang benteng pertahanan negara, selain aksi
cemerlang penjaga gol, Muhammad Azam Jais mengawasi gawang.
Skuad negara hampir menambah
gol kedua melalui percubaan pemain gantian, Nik Syafiq Syazwan Nik Min pada
minit ke-10, namun keputusan 1-0 kekal sehingga tamat permainan.
Bagaimanapun, kejayaan itu
terpaksa dibayar dengan harga tinggi selepas penyerang utama, Syafie Abdul
Rahman mengalami kecederaan.
Syafie terpaksa dikeluarkan
seawal minit ke-14 selepas mengalami kecederaan serius di kepala akibat
berlanggar dengan pemain pertahanan Singapura.
“Kami terpaksa beraksi tanpa
kehadiran dia (Syafie) apabila menentang Kemboja (esok). Saya harap dia dapat
bermain semula pada aksi separuh akhir nanti,” jelas Khairun Haled.
Malaysia wajib menewaskan
Kemboja pada aksi terakhir Kumpulan B esok bagi mengelak bertemu Thailand yang
dijangka muncul juara Kumpulan A, pada separuh akhir Jumaat ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4EBpHICsZ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment