Ad

Wednesday, 27 July 2016

Cerita pegawai jujur -- RM100,000 ditolak kerana amanah, tanggungjawab

ARKIB : 22/02/1998
MINGGU ini Wak nak sentuh tentang seorang pegawai di Sabah yang menolak rasuah RM100,000.

Terlebih dahulu bagi pihak anak cucu Wak, Wak nak ucapkan syabas pada Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang mendedahkan tentang kejujuran pegawai di Sabah itu. Wak rasa tindakan itu sangat baik. Sebab selain dari buat kenyataan mengenai siasatan, tangkapan dan dakwaan, BPR patut juga berikan cerita-cerita kejujuran manusia macam itu.

Wak rasa cerita macam itu menarik perhatian orang ramai. Cerita macam itu juga boleh beri teladan pada orang ramai. Bagi Wak sendiri, cerita itu sangat baik sebab ia membuktikan bahawa pegawai kerajaan kita masih banyak yang jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Wak tahu duit sebanyak RM100,000 yang cuba disogok itu bukanlah sedikit. Kalau dia pegawai kecil saja, sampai dia pencen belum tentu dia boleh menyimpan duit sebanyak itu. Kalau ikut congak Wak, orang kampung yang tak sekolah ini, kalau seorang itu menyimpan RM150 sebulan, dia perlukan 666 bulan lebih kurang untuk kumpul duit RM100,000. Itu maknanya 55 tahun dia bekerja.

Bagi pegawai kerajaan, gaji mereka bukanlah besar sangat. Kata orang cukup makan saja. Mungkin senang tapi tak mewah. Nak bayar rumah, kereta, hutang sedikit sebanyak, berapa baki yang tinggal? Wak fikir, kalau pegawai rendah boleh simpan RM150 sebulan pun dah bagus.

Memanglah tarikan duit itu memang kuat. Maklumlah dalam keadaan sekarang, ada macam-macam dugaan. Banyak orang nak jadi mewah dengan cepat. Mereka lihat orang keliling mereka mewah, mereka mahu jadi mewah. Mereka lihat orang sebelah ada kereta besar, mereka nak kereta besar. Mereka lihat jiran ada perabot baru, mereka juga mahu perabot baru.

Sekarang pulak mereka lihat orang yang berniaga hidup mewah betul. Ada juga kakitangan kerajaan yang cemburu. Mereka kata, kami kakitangan kerajaan yang bagi jalan pada orang korporat ini. Kenapa mereka saja yang kaya, sedangkan kami bergaji bulan saja? Pendeknya macam-macamlah cerita yang keluar. Sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mahukan kakitangan kerajaan terlebih dahulu bersikap bersih, cekap dan amanah.

Sebabnya mereka harus memberi perkhidmatan yang baik. Mereka harus bantu sektor swasta. Sebab kalau mereka tak cekap, tak bersih dan tak amanah, mereka tak boleh beri khidmat yang baik. Kalau tak boleh buat gitu, susahlah nanti.

Sebab itu PM kata, sektor awam dan swasta itu macam irama dan lagu. Satu memerlukan yang lain. Satu tak cekap, yang satu lagi dapat balanya. Sebab itulah kedua-duanya patut saling bantu-membantu.

Bila sektor swasta berjaya, banyaklah hasil yang boleh dipulangkan dalam bentuk cukai dan macam-macam lagi. Bila pendapatan kerajaan berlebihan, banyaklah upah dan ganjaran yang kakitangan kerajaan dapat. Bila negara makmur, bukan rakyat saja untung, tapi kakitangan kerajaan akan dapat faedah macam gaji lebih dan bonus.

Sebab itulah PM mahu kakitangan awam bersih dari rasuah. Sebab di sektor itu dugaannya banyak. Banyak yang rasa gaji mereka tak cukup. Mereka mahu lebih. Mereka mahu banyak. Memanglah adat manusia, apa pun yang diberi tak cukup. Kata orang makin besar periuk, makin besarlah keraknya.

Sebab itulah kita dengar macam-macam cerita dalam sektor awam. Bagi kontraktor, kontrak dapat, tapi hasilnya lambat dapat. Nak keluarkan cek ambil masa. Sebabnya tak cekap. Atau ada benda lain yang tak lengkap. Cek yang dah ditandatangan dipegang oleh pegawai atau kerani tertentu. Sebabnya cek itu hanya lepas bila "ada apa-apa'' di bawah meja.

Wak harap cerita itu cerita lama. Dah tak berlaku dengan begitu meluas sekarang. Tapi cerita macam itu kita dengar juga sekali-sekala. Tapi macam selalulah, hal macam ini susah nak dibuktikan. Buat tuduhan memang senang. Tapi nak buktikan susah.

Sebab itulah cerita kejujuran yang melibatkan pegawai di Sabah itu kena dibesarkan. Supaya satu negara tahu. Supaya dia jadi teladan pada orang lain. Sebetulnya banyak lagi macam dia. Wak pernah dengar ada kakitangan kerajaan yang disogok RM50 dan bawa kes itu ke pengetahuan BPR. Betullah RM50 itu kecil. Tapi rasuah ini macam barah, bila kecil nampaknya tak ada-apa, tapi lama-kelamaan jadi besar dan berbahaya.

Mulanya beri hampers atau hadiah. Tak berapa sen harganya. Lepas itu besar selalu. Begitu juga kalau beri duit, mulanya sikit, lepas itu lebih banyak lagi. Makin lama makin banyak. Yang memberi lebih berani, yang menerima lebih berani.

Dalam kes di Sabah itu pegawai itu disuruh melenyapkan kes tidak amanah yang membabitkan RM369,000. Khabarnya melibatkan tuntutan palsu. Tapi pegawai itu mahu jalankan tugasnya dengan bersih dan amanah. Dia bawa maklumat itu ke pengetahuan BPR.

Sayang sekali kita tak tahu siapa orang itu sebab namanya dirahsiakan. Wak fikir orang itu patut diberi hadiah Perdana Menteri kerana kejujurannya kalau hadiah semacam itu ada. Sebab patut sangat kita jadikan dia hero kita semua.

Bahaya rasuah ini memang buruk. Macam Wak kata, mulanya kecil, lama-lama jadi besar. Sebab itulah pemberi rasuah juga bersalah macam orang yang menerimanya juga. Sebab tukang beri itu yang jadi puncanya. Dia yang membuat si penerima tak tahan hati atau hilang sabar atau hilang iman atau hilang pedoman.

Maklumlah bahana ringgit. Bukan semua orang boleh tahan iman dengannya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang.

Bukan kakitangan kerajaan dan swasta saja yang terdedah pada bahaya itu. Tapi juga ahli-ahli parti politik termasuk UMNO sendiri. Sebab itulah Dr. Mahathir cukup marah pada mereka yang terlibat dalam politik wang dalam UMNO. Sebab Dr. Mahathir tahu politik wang boleh rosakkan parti.

Wak harap, mesyuarat pada peringkat bahagian dan cawangan yang sedang berjalan dalam UMNO sekarang akan terhindar dari politik wang. Wak tahu sekarang tak macam dulu lagi. Dulu lain betul. Duit banyak keluar khabarnya. Sekarang tak begitu terbuka.

Baguslah kalau begitu. Kalau parti bersih, kerajaan akan jadi bersih. Kalau kakitangan kerajaan bersih, kerajaan akan bersih. Jadi, kita boleh buat kerja dengan baik. Sebab kita tahu kita setaraf dengan orang lain. Tak ada orang lain yang dapat keistimewaan kerana dia pakai duit. Atau dia dapat sogokan.

Wak mahu BPR dedahkan lagi kisah kejujuran macam pegawai di Sabah itu. Wak tahu banyak orang tengok BPR sebagai badan yang nak korek, cari salah dan dakwa saja. Tapi dengan cara baru yang positif, BPR akan tambah dihormati orang.

Kita mesti lahirkan orang yang sanggup tampil ke depan mendedahkan sebarang bentuk sogokan. Sebab mereka bukan sahaja tahu akan dilindungi tetapi mereka tahu tindakan mereka akan mendapat pujian dan sanjungan kita semua.

Wak mendoakan kerja memerangi rasuah ini akan berjalan berterusan dan bukan hangat-hangat tahi ayam saja. Dan langkah BPR mendedahkan rakyat kita yang jujur, bersih dan amanah ini cukup penting dalam usaha memerangi rasuah itu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4FazbuI3B © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

Post a Comment