ARKIB : 01/04/1998
Pada 22 Mac lalu adalah ulang
tahun kelahiran seniman tersohor, P. Ramlee. Dan kalau hayatnya masih ada, P.
Ramlee telah berusia 70 tahun. Tahun ini juga masyarakat pelbagai kaum dan
darjat telah suku abad kehilangan seniman yang disifatkan sebagai milik rakyat
ini.
Pelbagai gelaran diberikan
kepada P. Ramlee termasuk seniman agung dan Tan Sri; gelaran paling tinggi yang
pernah dimiliki oleh seniman negara ini.
Sekalipun telah suku abad
meninggal dunia tetapi poskad P. Ramlee tentang isu sosial seperti dalam Antara
Dua Darjat, Penarik Beca, Semerah Padi atau trilogi Bujang Lapuk terus ditatap
oleh generasi hari ini.
Bagi kebanyakkan orang, P.
Ramlee adalah seniman besar yang pernah dilahirkan oleh dunia kepulauan Melayu
ini. Beliau menguasai semua bidang dalam seni; berlakon, menyanyi, berlawak
mengarah dan mencipta lagu.
Bakat P. Ramlee memang luar
biasa dan sukar dimiliki oleh seniman lain kalau mengambilkira penguasaannya
dan penerimaan masyarakat terhadap karya filem dan muziknya.
Baru-baru ini sempena
memperingati hari lahir P. Ramlee ada dianjurkan persembahan Pandanglah
Lihatlah. Antara isi kandungan persembahan itu ialah memperagakan pakaian P.
Ramlee dan Saloma serta menyanyikan lagu-lagu P. Ramlee.
Majlis seperti ini bukannya
tidak boleh dianjurkan sebagai memperingati P. Ramlee tetapi sewajarnya ada
acara lain yang lebih mengenengahkan atau membongkarkan pemikiran luar biasa P.
Ramlee.
Karya-karya P. Ramlee adalah
milik masyarakat dan P. Ramlee perlu diketengahkan sebagai seniman yang
menjadikan zaman kegemilanganya di Jalan Ampas sebagai ruang untuk mengubah
pemikiran masyarakat.
Sejak 25 tahun lalu hingga kini
nampaknya belum ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk memartabatkan P. Ramlee
sebagai seniman besar setaraf dengan khazanah seni yang ditinggalkan.
Lebih malang lagi bagi
sesetengah pihak isu royalti karya P. Ramlee lebih penting daripada
menyelongkar ''kekayaan'' dalam karya-karya P. Ramlee. Isu royati P. Ramlee
boleh diselesaikan dengan saluran yang betul dan itu bukan isu masyarakat.
Malanglah bagi P. Ramlee kalau
khazanah yang ditinggalkan tidak ditelaah oleh generasi anak cucunya. Bagi
seniman sehebat dan dihormati seperti P. Ramlee, nilai karyanya bukan terletak
kepada royalti kerana itu bukan isu sejagat.
Banyak orang terlupa bahawa P.
Ramlee dalam konteks kita adalah John Wayne atau Orson Welles. Dan di mana-mana
tempat di dunia tidak mempunyai banyak manusia seperti P. Ramlee. Kerana itu
masyarakat dan negara wajar berbangga memiliki P. Ramlee.
Berbangga sahaja tidak ada
membawa karya P. Ramlee ke martabat sewajarnya kalau tidak dirangsang ke arah
membuat kajian yang menyeluruh ke atas seniman ini. Bayangkan setelah suku abad
P. Ramlee meninggal dunia, belum ada usaha ke arah apresiasi untuk melihat P.
Ramlee dalam konteks cinema dunia.
Saban tahun, P. Ramlee hanya
dilihat daripada sudut yang membangkitkan nostalgia. Sedangkan tidak semua
orang mempunyai nostalgia itu sekalipun mereka terpegun dengan sinikal Bujang
Lapuk kritikan tajam dalam Antara Dua Darjat. Atas alasan itu, P. Ramlee perlu
dilihat secara retrospektif.
Masyarakat tidak perlu merasa
tersinggung kalau ada kalangan generasi muda yang melihat P. Ramlee daripada
sudut pandangan yang agak provokatif. Barangkali masyarakat juga perlu
realistik kalau ada generasi muda menganggap P. Ramlee mendahului pengagum
Marxist atau sosialis mengecam golongan bangsawan.
Ada sesetengah pula menganggap,
P. Ramlee bertanggungjawab menjadikan orang Melayu berjiwa kecil. Lihat sahaja
imej manusia kaya yang digambarkan dalam filem P. Ramlee, mereka semua
berpekerti buruk, tamak dan penindas yang tidak berperikemanusiaan.
Kekayaan bagi orang Melayu
adalah suatu yang negatif malah boleh menjadikan seseorang itu menjadi seburuk
Haji Bakhil dalam filem P. Ramlee.
Benarkah kesan daripada
ketaksuban terhadap filem-filem P. Ramlee menjadikan orang Melayu kecil dan
kerdil jiwa mereka? Ini kerana yang baik pekerti dan budinya adalah yang miskin
melarat dan papa seperti watak lakonan P. Ramlee dalam filem-filemnya.
Benarkah?
Sewajarnya ada apresiasi
tentang P. Ramlee yang membuka atau mengupas tanggapan seperti ini tanpa
sebarang segan silu. Kalau tangapan ini tidak benar, apa pula yang sebenarnya?
Apakah P. Ramlee berfahaman
sosialis apabila melihat semua golongan bangsawan atau orang kaya sebagai musuh
nombor satunya? Semua ini menuntut pengkajian yang menyeluruh tentang P.
Ramlee. Karya P. Ramlee harus dilihat sebagai arkib yang merakamkan pengaruh
seniman dalam budaya popular pada zaman awalnya.
Tentunya ia tidak ada terjawap
kalau sekadar persembahan dan artis generasi hari ini memakai kaca mata hitam
imej Panca Sitara atau sketsa filem komedi P. Ramlee. Sebagai seniman besar, P.
Ramlee perlu dilihat dengan pemikiran yang lebih besar daripada isu remeh yang
mengaibkan P. Ramlee.
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_02.htm#ixzz4FqL7kvPS
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment